Bertuah Harith Iskander dikurniakan seorang wanita yang bukan saja pintar dan cantik tapi yang lebih penting, mempunyai sekeping hati yang sangat baik. Secara luaran, ramai menyangka dengan gaya penampilan moden mesti Dr Jezamine Lim seorang wanita yang mementingkan kelas. Hakikatnya, ibu kepada tiga anak ini cukup merendah diri dan prihatin terhadap nasib masyarakat sekeliling.
Kebaikan Dr Jezamine tersebut didedahkan sendiri oleh suaminya. Ketika ditanya perwatakan isteri yang membuatkan dia jatuh cinta, ini jawapan jujur Harith. “Tiga perkara yang saya suka tentang isteri. Pertama, dari segi bisnes dia lebih cekal dan baik dari saya. Kedua, dia tahu cara untuk menjaga hati dan diri saya. Pendek kata, dia lebih faham diri saya lagi daripada saya faham tentang diri dia.
Ketiga, dia baik dan saya jatuh cinta dengan dia masa kami pergi dating di sebuah gerai ketika zaman bercinta dulu. Biasanya kalau ada pengemis datang, kita akan buat tak tahu. Tak nak pandang, tapi my girlfriend at that time dan sekarang my wife buat perkara luar jangkaan. Ada orang tua ini datang ke meja kami dan isteri saya tanya dia, “Pak cik dah makan?”, “Nak makan apa?” dan dia jemput duduk sebelah serta belikan makanan. Sepanjang 40 tahun hidup, saya tak terfikir nak buat benda simple macam ni. Tapi dia sebaliknya.”
Harith dan Dr Jezamine mendirikan rumah tangga pada Jun 2010 ketika masing-masing berusia 43 tahun dan 27 tahun. Hampir sedekad melayari bahtera perkahwinan, pasangan romantis ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zander Xayne Iskander, Alessandrea Jayne dan Zydane Xayne Iskander.
Mengimbas kembali memori pertemuan mereka berdua menerusi Facebook, selebriti komedi popular ini mengakui cukup tersentuh dengan pengorbanan isteri yang sanggup mengutamakan dirinya berbanding keluarga demi mahu menjadi pasangan kepada Harith Iskander.
“Pada mulanya mak ayah dia tak bersetuju dengan persahabatan kami. Dia tahu yang dia kena buat pilihan dan akhirnya memilih saya. Saya tahu ia keputusan yang paling susah bagi dia. Tapi alhamdulllah, sekarang semua ok. Dulu dia rasa sakit hati… rasa sedih. Bagi saya, ia adalah satu pengorbanan besar yang diambil Jezamine waktu itu.”