Hari terakhir Minggu Fesyen Sao Paulo (SPFW) di Brazil pada Sabtu lepas gempar apabila salah seorang model tiba-tiba rebah ketika sedang memperagakan koleksi busana terbaharu Ocksa. Tales Soares, model lelaki berusia 26 tahun itu dikatakan jatuh ketika mahu berpusing meninggalkan pentas.
Pada awalnya, Soares tidak menunjukkan sebarang reaksi sakit. Namun belum sempat dia meninggalkan pentas… model berkenaan kelihatan terhuyung-hayang dan rebah di hadapan para penonton.
Menurut kenyataan penganjur, “SPFW baru sahaja menerima berita kematian model Tales Soares yang sakit secara tiba-tiba semasa pertunjukan Ocksa.” Bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan punca sebenar kematian Soares.
Para penonton yang menyaksikan pertunjukan Ocksa nyata panik dan terkejut. Saat tubuh longlai Soares rebah ke lantai… pasukan perubatan lantas menerpa ke arahnya dan segera diberikan rawatan.
Tambah penganjur lagi, mangsa telah dibawa ke hospital sebaik insiden tersebut berlaku namun dia disahkan telah meninggal dunia.
Memetik salah satu kenyataan label fesyen terlibat, Ocksa pula… seluruh tenaga kerja mereka terkejut dengan kejadian yang berlaku ke atas model lelaki berbakat tersebut yang telah pun menandatangani kontrak bersama agensi modeling Base MGT.
Henti Sebar Virus Merata, Sekarang Tersedia Perkhidmatan Ujian COVID-19 Dari Rumah!
Kebelakangan ini, bukan seorang dua yang paranoid kalau terpaksa keluar rumah membeli barang keperluan. Takutnya bukan main, beli roti pun siap bertopeng muka, bersarung tangan, berbut getah… bimbang betul dapat jangkitan virus COVID-19 di tempat awam. Nak bersalaman, ah jauh sekali.
Amalan menjaga jarak dan social distancing itu bagus. Tapi kalau sampai paranoid nak ke hospital atau klinik kesihatan, pun susah juga. Mujurlah Kementerian Kesihatan (KKM) kita prihatin keluhan orang awam, sekarang diwujudkan perkhidmatan door-to-door bagi mereka yang ingin membuat ujian pengesanan virus itu di rumah.
Kita ni bukanlah meminta, nauzubillah. Tapi kalau tiba-tiba ahli keluarga atau diri sendiri bergejala jangkitan COVID-19, cepat-cepatlah hubungi salah satu daripada 11 syarikat swasta yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan pengambilan sampel ujian COVID-19 dari rumah ni.
- Bookdoc (muat turun app)
- DoctorOnCall (muat turun app)
- Pantai Premier Pathology Sdn Bhd (03-42809115)
- Lablink (M) Sdn Bhd (KPJ) (03-40234588)
- Qualitas Medical Group Sdn Bhd, Gleneagles Kuala Lumpur (03-79646363)
- Gleneagles Kuala Lumpur (011-13013579)
- Twin Tower Medical Centre KLCC (03-23823500)
- Pantai Hospital Kuala Lumpur (03-42809115)
- Pantai Hospital Cheras (03-42809115)
- Pantai Hospital Klang (03-42809115)
- Pantai Hospital Ayer Keroh, Melaka (03-42809115)
Orang awam boleh menjalani ujian COVID-19 di rumah tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan. Ujian di rumah itu nanti akan dilakukan oleh pegawai perubatan dan paramedik swasta yang terlatih, dan sampel akan dihantar ke makmal swasta untuk dianalisis. Keputusannya pula akan diberitahu dalam masa beberapa hari. Mudahkan?
Waktu begini teringat pula rayuan bekas pesakit COVID-19, Hamdan Hashmuddin, yang telah disahkan sembuh dan dibenarkan discaj dari Hospital Rembau semalam.
Sehingga kini, masih ada individu berisiko yang enggan tampil membuat ujian pengesanan COVID-19. Terutamanya mereka yang ada hubungan rapat (close contact) dengan pesakit. Walaupun ditakdirkan tidak jatuh sakit tapi anda masih berisiko menjangkiti orang lain.
Isteri Dato’ Menteri Besar Selangor Kongsi Petua Hilangkan Bau Durian Yang ‘Meraung’ Kat Tangan
Musim Raja Buah kembali, cuma kali ini tiadalah nikmat kendurian atau makan secara terbuka di tepi jalan. Baunya yang harum sudah memanggil-manggil, penggemar durian tentu dah tak sabar nak menjamah isi durian yang lemak manis.
Satu suasana yang menarik dan tidak terdapat di mana-mana negara lain selain Malaysia, adalah kecintaan rakyat kita terhadap buah tempatan ini.
Nona tertarik dengan perkongsian isteri Dato’ Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad tentang ilmu makan durian.
Ibu kepada enam orang anak ini tidak lokek berkongsi petua menghilangkan bau durian yang melekat di tangan.
“Kalau makan durian mesti tangan berbau durian, payah nak hilang. Saya kongsikan petua bagaimana nak hilangkan bau durian…”
“Ambil pangsa durian, letakkan air di dalam dan cuci tangan menggunakan air itu. Kemudian untuk menghapuskan baunya dengan lebih berkesan lagi, cuci tangan dengan menggunakan air lemon atau sabun aroma limau.”
Jadi pada yang berhajat nak makan durian dengan famili, sekarang tak perlu risau dengan bau tangan yang kuat. Ikut je petua tu. Datin Seri Masdiana ni hebat tau, tengoklah teknik beliau kopek sendiri buah ni.
TIP LAIN
Bau durian yang kuat juga boleh melekat di dalam kereta apabila dibawa pulang. Tak kira apa pun cara yang dipilih untuk menyimpan durian; sama ada dalam bekas kedap udara, beg Ziploc atau plastik cling wrap, bau durian tetap ‘meraung’ di mana-mana.
Tip mudah hilangkan bau durian:
(1) Bancuh secawan kopi dan letakkan di atas meja dapur atau di ruang makan. Hasilnya bau durian yang kuat akan berkurangan dalam masa yang singkat.
(2) Pastikan buah durian dibawa pulang dengan tangkainya sekali. Caranya, patahkan tangkai durian dan belah sedikit di bahagian tengah. Selitkan tangkai pada jejaring hawa dingin di dalam kereta seperti anda meletakkan car freshener.
(3) Letakkan beberapa keping roti putih di atas meja dan biarkan beberapa hari. Roti dikatakan dapat menyerap bau-bauan yang tidak enak dengan berkesan.
(4) Selepas makan durian jangan buang pangsanya. Simpan satu pangsa, isikan air dan berkumur dengan air tu kerana ia boleh menghilangkan bau mulut. Ada juga yang akan minum air dari pangsanya kerana dikatakan dapat menghalang sakit tekak akibat terlalu banyak makan durian.
Kedengarannya memang tidak saintifik, tetapi petua ini sudah bergenerasi diamalkan orang dan ada yang percaya ia mujarab.
Selamat mencuba!
Hamil IVF Lebih Risiko Alami Spotting, Ketahui 6 Punca Pendarahan Ketika Mengandung!
Satu perempat daripada wanita hamil mengalami pendarahan ketika usia kandungan memasuki trimester pertama. Meskipun dianggap satu kelaziman di kalangan wanita hamil namun anda harus ambil tahu tahap pendarahan yang dialami.
Ibu hamil terutama yang menjalani prosedur IVF atau rawatan seumpamanya berisiko tinggi mengalami pendarahan ringan atau spotting iaitu warna darah merah hingga kecoklatan. Mungkin disebabkan dua embrio yang terlekat tetapi tidak kekal hingga menyebabkan pendarahan.
Pun begitu, terdapat juga situasi pendarahan yang menjadi tanda lebih serius seperti keguguran. Walau apa pun penyebab pendarahan tersebut, segeralah mendapatkan pemeriksaan doktor.
APAKAH PUNCA PENDARAHAN?
Ada beberapa faktor yang mencetuskan pendarahan faraj kepada ibu-ibu hamil. Antaranya termasuk:-
- Hormon yang mengawal kitaran haid ketika anda sepatutnya datang haid yang dipanggil pendarahan penembusan. Mungkin boleh mengalaminya lebih daripada sekali.
- Telur yang disenyawakan telah terlekat pada lapisan uterus atau dipanggil pendarahan implantasi.
- Ketumbuhan pada dinding rahim atau fibroid.
- Jangkitan serviks atau faraj.
- Permukaan serviks terengsa disebabkan hormon kehamilan.
- Penyakit Von Willebrand atau penyakit keturunan yang disebabkan darah sukar membeku.
Terdapat sesetengah kes pendarahan pada awal kehamilan sebagai tanda keguguran atau kehamilan ektopik iaitu kehamilan luar rahim. Punca pendarahan yang lebih jarang berlaku ialah kehamilan molar.
Kehamilan ini terjadi apabila embrio tidak membesar dengan sempurna hingga sel yang membentuk plasenta terus membesar secara abnormal. Jika anda disahkan kehamilan molar ia perlu digugurkan segera.
LANGKAH PENGAWASAN
Tiada cara untuk menangani pendarahan faraj secara khusus. Perkara pertama yang perlu anda lakukan jika mengalami keadaan ini adalah dengan menghubungi pihak hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Seterusnya, menjalani pemeriksaan bahagian dalam faraj dengan melakukan imbasan ultrasound. Prosedur imbasan ini boleh mengenalpasti sekiranya terjadi kehamilan luar rahim atau memeriksa keadaan bayi di dalam kandungan.
Seandainya doktor masih tidak dapat mencari punca permasalahan tersebut beberapa ujian rutin seperti darah dan air kencing akan diuji untuk memantau tahap hormon kehamilan.
ADAKAH BAYI BERADA DALAM KEADAAN SELAMAT?
Usah terlalu khuatir kerana pendarahan ringan biasanya tidak membahayakan. Ramai wanita yang mengalami pendarahan pada awal kehamilan tetapi masih dapat meneruskan kehamilan dengan sihat. Spotting juga lazimnya akan berhenti dengan sendiri.
Walau bagaimanapun, dapatkan rawatan dan nasihat selanjutnya daripada doktor untuk memastikan tiada simptom lain yang boleh menjejaskan kandungan. Ibu hamil juga disaran agar berfikiran positif terhadap pendarahan ringan seperti yang dinyatakan di atas kerana kebiasaannya ia hanyalah satu misteri yang tidak membahayakan bayi mahupun nyawa anda.