Cipta Tabung Sedekah Subuh Dengan Paip PVC, Ini Pesan USTAZAH ASNI MANSOR “Ajar Tangan Kita Untuk Selalu Memberi”

Kalau sudah kreatif apa pun ‘menjadi’. Bukan sekadar lukisan, kebolehan Ustazah Asni juga bukan calang-calang. Terbaharu, di kala berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Allah SWT telah mengilhamkan beliau untuk mencipta tabung sedekah Subuh dan tabung korban sebagai saham akhirat.

Lantas kreativitinya itu dikongsi buat semua pencinta karya seninya yang sentiasa tertunggu-tunggu dengan ‘buah tangan’ terbaharu.

Ustazah Asni Mansor.

TERCETUSNYA IDEA

“Tercetusnya idea untuk mewujudkan tabung sedekah Subuh ini adalah ketika saya sedang mengisi hasil lukisan yang ditempah ke dalam bekasnya. Tiba-tiba terdetik di fikiran saya, selain lukisan alangkah baiknya kalau bekas itu juga dapat memberi manfaat kepada penerimanya. Lalu saya pun mendapat idea untuk mencipta tabung sedekah Subuh.

Sebenarnya saya sudah pun memulakan projek tabung DIY ini sejak PKP lagi. Ideanya pun datang secara kebetulan, alhamdulillah saya terinovasi untuk melakukan beberapa perkara. Antaranya tabung DIY ini. Saya turut mencipta bentuk Kaabah daripada kotak-kotak.

Tabung sedekah Subuh yang diperbuat daripada paip PVC. Kreatifnya!
Replika Kaabah yang dicipta oleh Ustazah Asni Mansor.

Tabung ini diperbuat daripada paip PVC yang dipotong kemudian dibersihkan, digosok dan dicat mengikut kreativiti. Pada awalnya saya mengikut warna asal buluh pada tabung ini sehingga ramai yang ingat itu adalah buluh lemang. Sekarang ini saya upgrade semula menjadi edisi istimewa atau premium. Saya hasilkan dalam pelbagai bentuk seperti Frozen untuk anak perempuan, dan Spiderman untuk anak lelaki, pilihan warna biru dan merah.

GALAKKAN BERSEDEKAH

Tujuan utama tabung sedekah ini ialah untuk menggalakan kita bersedekah pada setiap hari dan setiap pagi. Maka dengan adanya tabung sedekah Subuh ini pagi-pagi lagi kita boleh masukkan wang. Rasulullah SAW bersabda “Bersegeralah bersedekah kerana bala bencana tidak pernah mampu mendahului sedekah. Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala dan bencana, dan yang paling ringan ialah penyakit kusta dan sopak.” (Riwayat al-Baihaqi & al-Tabarani)

Selepas solat Subuh boleh masukkan wang ke dalam tabung. Ketika memasukkan wang niatkan untuk bersedekah. Dari segi berapa jumlah wang yang hendak dimasukkan tidak kisah asalkan ada niat untuk bersedekah pada pagi itu. Ajar juga anak-anak kita untuk menabung dengan niat hendak beramal sedekah.

Boleh keluarkan seminggu sekali atau sebulan sekali, terpulang. Yang pentingnya niat untuk bersedekah pada setiap hari telah pun terlaksana. Jika kita tidak tahu kepada siapa hendak bersedekah, boleh gunakan wang tersebut untuk belanja makan anak-anak, keluarga atau kawan-kawan. Itu juga dianggap bersedekah.

Seterusnya ialah tabung korban. Kita digalakkan melakukan ibadah korban pada setiap tahun, bukannya sekali seumur hidup. Korban umpama renew roadtax, setiap tahun kena renew. Maka kita hendaklah melatih diri dan anak-anak faham bahawa setiap orang paling tidak pun ambil satu bahagian.

Kita satu keluarga jangan langsung tiada bahagian dalam ibadah korban. Kalau kita mampu menabung untuk pergi bercuti, kenapa tidak boleh menabung untuk korban? Sedangkan itu tanda bukti cinta kita kepada Allah SWT.

Ajar tangan kita untuk selalu memberi. Kita hendak ajar diri kita supaya ‘harta’ ada di tangan. Apabila ada di tangan senang untuk lepas. Tapi kalau harta ada di hati itu yang jadi bakhil (kedekut). Ini juga adalah training

untuk mengajar keluarga dan anak-anak bahawa rezeki bukan untuk kita. Dalam hidup ini kita perlu belajar memberi. Barulah hidup kita akan bahagia.”

DAKWAH MELALUI KAYRA SENI

“Terpukau melihat setiap naskhah lukisan yang dikongsi di Instagram milik pendakwah terkenal, Ustazah Asni Mansor. Lukisan yang indah, unik dan semestinya kreativiti itu datangnya dari jiwa seni yang halus. Tidak sekadar cantik bahkan setiap lukisannya itu dititipkan cebisan doa dengan maksud yang cukup mendalam.

Lukisan yang dilengkapi dengan ‘Doa tidak putus rezeki’.

Saya berdakwah melalui karya seni iaitu lukisan. Saya mula serius dalam lukisan sejak lapan tahun lepas. Saya memang sukakan apa jua yang berkaitan dengan seni. Selain melukis saya juga suka berqasidah, bermain kompang dan piano. Saya yakin bahawa ada bakat-bakat tertentu yang sangat berguna untuk berdakwah.

Selalunya sebelum berkarya saya akan berdoa terlebih dahulu untuk mendapatkan ilham daripada Allah SWT. Dua tiga tahun lepas sebuah stesen televisyen ada menjemput saya untuk membuat tafsir Al-Quran. Alhamdulillah tercetusnya idea untuk saya taddabur ayat itu dengan satu karya yang saya tafsirkan maksud-maksudnya.

Kadangkala tercetusnya idea apabila saya banyak menerima direct message (DM) daripada wanita-wanita yang mempunyai masalah seperti rumahtangga. Maka saya akan kongsi doa-doa melalui lukisan untuk mereka amalkan setiap hari. Saya juga kongsikan di Instagram, doa Nabi Yaakub AS yang merintih dan merayu kepada Allah SWT. Kalau Nabi pun mengadu dan merintih kepada Allah SWT kenapa tidak kita.

Lukisan indah ini dilengkapi dengan doa rintihan Nabi Yaakub AS.

Selain itu, saya turut kongsikan doa-doa yang bagus untuk kita amalkan setiap hari. Contohnya kalau kita suka letakkan perhiasan di rumah, biarlah perhiasan itu bermakna. Bila dilihat dan disebut kita boleh amalkan serta mendapat pahala. Itulah maksud saya berdakwah melalui karya seni. Bukan sekadar cantik tetapi juga memberi manfaat.

Telah banyak karya seni yang telah saya hasilkan, mungkin sudah hampir mencecah seribu karya sepanjang lapan tahun. Antara penyokong serta yang telah membeli hasil karya seni saya ialah Cik Puan Muda Julita Aishah, Jihan Muse, Heliza Helmi, Fara Fauzana (Fafau), Sherry Alhadad, Diana Amir dan sahabat-sahabat di Brunei.

PENDORONG

Antara sahabat baik yang menjadi pendorong kuat untuk saya terus melukis ialah Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa dan Allahyarhamah Ustazah Shadiya Abbas. Kedua-duanya sangat memberi galakan kepada saya supaya terus berkarya kerana kata mereka ini merupakan satu kelainan dan sangat bagus untuk dikongsikan. Selain itu, ibu juga pendorong kuat saya. Adakalanya beliau rajin mengikut saya pergi berkarya.”

Bersama Allahyarhamah Ustazah Shadiya Abbas tahun lalu.
Ibu kepada Ustazah Asni Mansor.

Ustazah Asni sangat bersyukur dan gembira kerana keempat-empat anaknya mewarisi bakat melukis. Masing-masing mempunyai minat serta karakter yang tersendiri. Paling ketara boleh melukis ialah anaknya yang keempat.

Ternyata, dakwah melalui karya seni ini merupakan satu kelainan yang cukup hebat dengan bersandarkan kebolehan yang dipinjamkan oleh Allah SWT untuk memberi manfaat buat insan-insan lain.

Kredit Foto & Video: Instagram Ustazah Asni Mansor

 

Share
Published by
Amy Mohd