Krisis Rohingya Kian MELARAT, Air Bersih Disekat Dan Hanya SATU DOKTOR Untuk 160,000 Penduduk!

Rohingya tidak ubah seperti pengemis di negara sendiri. Bukan hanya berdepan penafian hak kerakyatan, kini isu lebih besar datang menghimpit masyarakat Islam Rohingya apabila mereka diperlakukan dengan begitu kejam oleh junta tentera Myanmar.

Nyawa Rohingya bagaikan tiada nilai. Dengan sewenang-wenangnya mereka dibakar hidup-hidup, disembelih, dirogol, di penjara tanpa sebab dan diseksa sehingga mati. Bagi menutup kezaliman yang dilakukan, tiada satu pun agensi media termasuk pertubuhan kemanusiaan dibenarkan masuk ke kawasan yang kini dikenali sebagai Rakhaine itu.

“Akibat krisis ini kira-kira 70 peratus masyarakat Rohingya tidak mendapat akses air bersih dan hanya diberikan seorang doktor untuk sejumlah 160 ribu penduduk di Hospital Daerah Maungda! Bayangkan, bagaimana seorang doktor mampu merawat pesakit seramai itu. Malah, dua peratus wanita Rohingya saja dibenarkan bersalin di hospital. Sementara 44 peratus daripada mereka tinggal di bawah paras kemiskinan.

Disebabkan kekurangan sumber dan kedaifan hidup di Rakhaine, tiada pilihan lain buat etnik Rohingya melainkan melarikan diri ke negara jiran. Misalnya, ada yang masuk ke Bangladesh dan tinggal di kem pelarian di sempadan Cox Bazar. Ada juga yang terpaksa menggadai nyawa menaiki bot untuk ke Malaysia, Indonesia mahupun Thailand.

Paling menyedihkan apabila bot yang dinaiki karam di tengah laut atau mati akibat bersesak-sesak di atas bot. Sampai muncul istilah keranda terapung dan ‘ping pong boat’ kerana bot yang dinaiki tidak dibenarkan mendarat serta dipaksa belayar semula ke negara yang menerima kehadiran mereka. Sebagai saudara seakidah, saya perlu mengambil tahu dan membantu apa yang termampu,” bongkar Dr Syarifah Aisyah Syed Abdul Halim yang merupakan aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik).

Dia yang juga Pensyarah Perubatan Pelatih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang pernah berhajat untuk menjejakkan kaki ke bumi Myanmar terpaksa akur untuk membatalkan niat itu kerana kerajaan negara tersebut melarang kemasukan orang luar ke penempatan Rohingya di Rakhaine.

Sebahagian besar kelompok etnik ini dipercayai menetap di Rakhaine terutamanya di Maungdaw, Buthidaung, Rathedaung, Sittwe dan Kyauktaw. Kerana dihalang masuk ke Rakhaine, dua sukarelawan I-Medik iaitu Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin selaku Naib Presiden 1 dan Setiausaha I-Medik, Prof Dr Azizi Ayob termasuk beberapa ahli Yayasan Ikhlas terpaksa menukar haluan misi dengan mengunjungi kem pelarian masyarakat Rohingya di Kutupalong, Ukhiya, Cox Bazar pada hujung Disember lalu.

Nona turut difahamkan kem yang terletak di Bangladesh dan bersempadan Myanmar ini mengambil masa kira-kira 10 jam perjalanan untuk sampai ke sana jika bertolak dari Dhaka.

“Sebenarnya untuk masuk ke kem Kutupalong juga bukan mudah. Pihak kami kena lalui banyak sekatan sebab isu politik dua negara, Bangladesh dan Myanmar. Tapi Alhamdulillah usaha itu diberkati Allah dan berjaya rakam situasi di sana untuk tatapan rakyat Malaysia dan dunia hendaknya. Jika mampu lihat keadaan di kem tersebut pasti anda terfikir betapa sukarnya takdir hidup Rohingya.

Di sebuah kawasan yang tandus dan kecil, seramai 150 ribu pelarian ditempatkan dalam kem serba daif tanpa bekalan air terawat dan elektrik. Khemah pula dibina dari batang kayu beratapkan nipah dan berdindingkan tanah atau plastik. Tiada sebarang kemudahan disediakan buat mereka.

Survival hidup Rohingya begitu mencabar. Kanak-kanak terpaksa berdikari pada usia yang sangat muda untuk mengait jala, mencari kayu api, mengambil air dan sebagainya. Jauh sekali mendapat pendidikan formal sepertimana yang dilalui kanak-kanak seusia mereka di negara lain. Yang ada hanyalah inisiatif orang alim di kem pelarian itu untuk mengajar Al-Quran dan asas agama.

Kezaliman yang dilakukan tentera Myanmar meninggalkan trauma yang teruk di kalangan etnik ini. Lebam kebiruan dan parut akibat dipukul dan dikelar di anggota tubuh menjadi sebahagian bukti keganasan yang dirasai sehingga ke hari ini.”

Biarpun bermacam-macam bentuk gesaan dibuat pelbagai pihak termasuk sektor awam dan swasta namun derita yang dialami Rohingya masih tidak menemui jalan penyelesaian. Sebagai insan yang dibekalkan pemikiran yang waras, tunjukkan rasa belas terhadap mereka sama ada melalui huluran wang ringgit mahupun kiriman doa. Moga masyarakat Rohingya mendapat kebebasan hidup yang diinginkan selama ini.

Share
Published by
Suzi