Kelibat pengacara terkenal Maria Tunku Sabri sentiasa mencuri tumpuan dek kerana kepetahannya bercakap. Namun, dalam riang gembira mendengar celotehnya, siapa sangka Maria Tunku Sabri pernah melalui pengalaman membuang ovari kerana menderita fibroid.
“Saya mula didiagnosis fibroid ketika mengandungkan anak kedua. Kedudukan fibroid yang melekat dengan ovari membuatkan doktor tidak dapat membuangnya sekali ketika saya melahirkan anak secara c-sec, kerana bimbang akan bleeding, 14 tahun lalu. Masa tu besar fibroid yang ‘menumpang’ sudah sebesar 5cm.
Saya mengaku saya memang takut hospital. Selepas bersalin doktor minta saya datang balik untuk scan
fibroid tersebut. Tapi saya takut. Pada pandangan saya jika menyerah diri ketika itu mesti doktor akan melakukan pembedahan sekali lagi. Kerana takut saya tangguh-tangguh sehingga 5 tahun lamanya. Rupa-rupanya dalam masa 5 tahun itu, daripada 5cm sudah membesar jadi 14cm. Besar sangat.Bila dah besar kitaran period saya benar-benar terganggu. Dia datang sekali banyak dan berketul-ketul besar. Period saya keluar umpama air paip, keluar banyak dan berketul-ketul sehingga memaksa saya memakai adult diapers,” bicara Maria.
Menurutnya lagi, pada permulaan kehadiran fibroid ini tidak terlalu mengganggu aktiviti hariannya. Minat dan hobi yang dikongsi bersama suami, travel
turut terjejas.“Saya pernah pergi Australia dalam keadaan period. Pihak house keeping di sana tidak mahu tukar cadar akibat darah tumpah di atasnya. Saya terpaksa mencuci dan menukar sendiri cadar hotel di sana. Di Bandung pula saya memakai adult diapers tapi bocor juga dan menyebabkan darah menitis di atas lantai.
Akibat tidak tahan tengok saya menderita, suami memberi kata dua kepada saya. Kalau masih mahu travel bersama, saya mesti membuang fibroid yang telah berkembar dengan ovari. Ketika usia anak bongsu menginjak 5 tahun, baharu saya mempunyai kekuatan untuk buang fibroid bersama dengan ovari sekali.
Saya buang sebab sudah tidak tahan menanggung sakit dan tidak mahu menyusahkan travel buddy saya,” terang Maria yang positif walaupun sudah tidak mempunyai ovari lagi.
“Alhamdulillah selepas buang fibroid saya memang lega dan memperoleh kehidupan yang normal seperti sebelum ini. Saya tidak perlu menahan period pain sehingga terbongkok-bongkok berputar macam washing machine.
Walaupun saya tidak mampu melahirkan anak lagi tetapi saya bersyukur kerana telah memperoleh sepasang anak yang melengkapkan kehidupan kami suami dan isteri. Saya reda dengan kekurangan tetapi syukur kerana doktor tidak membuang tiub fallopian yang boleh membuat hormon saya seperti biasa.
Jadi saya tidak melalui sebarang perubahan emosi atau fizikal akibat pembuangan ovari tersebut. Sebab kalau tak ada hormon kulit jadi cepat kering dan cepat tua,” tutur ibu kepada sepasang anak ini, yang sulung sudah berusia 22 tahun manakala yang bongsu pula baru tingkatan dua.
Siapa suka masak-masak mesti suka guna air fryer. Masak dengan mudah dan dapur tak berkecah.
This website uses cookies.