Heidy Quah, gadis berusia 26 tahun ini berjaya mencuri tumpuan dunia dengan sumbangannya sebagai seorang aktivis. Ternyata, dia bukan calang-calang anak muda kerana pernah menerima anugerah pemimpin muda bertaraf dunia iaitu The Queen’s Young Leaders Award pada Jun 2017.
“Pendidikan sangat penting bagi setiap kanak-kanak. Selain beramal kami di Refuge for the Refugees membantu meningkatkan kesedaran masyarakat. Kebanyakan kanak-kanak pelarian bukan saja tidak pandai berbahasa Inggeris malah tidak tahu membaca dan menulis. Status juga menjadi kekangan apabila mereka tidak dapat hadir ke sekolah seperti kanak-kanak lain.”
SUKARELAWAN
Refuge for the Refugees ditubuhkan oleh Heidy Quah bersama sahabat baiknya, Andrea Prisha. Waktu itu Heidy baru berusia 19 tahun. Ideanya tercetus ketika Heidy Quah menjadi sukarelawan mengajar bahasa Inggeris di sekolah kanak-kanak pelarian iaitu Pusat Pendidikan Kanak-Kanak Chin kira-kira 7 tahun lalu.
“Beberapa bulan mengajar di sekolah itu saya kemudiannya diberitahu ia bakal ditutup kerana UNHCR menghentikan pemberian dana. Ia menyebabkan saya rasa sangat sedih kerana pelajar-pelajar tidak dapat meneruskan pembelajaran sedangkan mereka sangat berminat. Kami tekad membantu kanak-kanak ini meneruskan pembelajaran.”
Selain usaha sendiri, mereka juga menerima sumbangan daripada beberapa badan korporat serta individu bagi pembiayaan kos pembelajaran dan operasi sekolah.
“Memandangkan sukar untuk mendapatkan dana secara berterusan, kami mula melatih kanak-kanak ini berniaga. Mereka didedahkan dengan konsep pembelajaran mikro-kewangan bagi membolehkan mereka mengembangkan bisnes secara online. Mereka menjual berbagai barangan seperti mainan, cenderahati dan sambal Burma.
INSPIRASI
Heidy Quah menjadikan aktivis hak asasi manusia, Datuk Dr Hartini Zainuddin sebagai sumber inspirasi. Dia sangat mengkagumi perjuangan tokoh wanita itu dalam memperjuangkan hak asasi wanita dan kanak-kanak. Datuk Dr Hartini Zainuddin juga bertugas sebagai perunding untuk pelbagai organisasi kerajaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perjuangan beliau adalah terhadap isu kanak-kanak terpinggir dan kurang bernasib baik khususnya dari segi taraf kerakyatan. Baginya, setiap kanak-kanak berhak untuk memiliki kehidupan sempurna tidak kiralah betapa miskinnya mereka. Beliau juga sanggup korbankan kehidupannya demi masa depan kanak-kanak.
Saya segera menghantar email kepada beliau termasuk beberapa yang lain. Saya memberitahu niat saya untuk melakukan kerja amal dan sedang mencari mentor. Tak sangka pula hanya beliau seorang yang memberi respon. Saya tahu beliau sangat sibuk.
Kredit Foto: Instagram @heidyquah
This website uses cookies.