Ramai yang percaya tubuh yang sihat dan minda yang cergas datang daripada gaya hidup yang sihat. Tetapi, ramai pula yang sukar melakukannya kerana kekangan mental diri sendiri.
Alasan tidak punya masa yang mencukupi, anak masih kecil atau tidak mempunyai tempat yang sesuai sudah tidak relevan lagi. Masa yang diperuntukkan dalam kehidupan manusia semua sama iaitu 24 jam, cuma cara pengurusan masa yang membezakan orang yang boleh beriadah atau tidak.
Bagi pelakon terkenal, Sasqia Dahuri, 30 tahun, memang benar pengurusan masa itu sangat penting buat seseorang manusia.
Menurut pelakon yang muncul dalam filem pertamanya, Senario Ops Pocot ini, aktiviti riadah sudah sebati dalam hidupnya kerana telah aktif bersukan sejak di bangku sekolah lagi.
Malah aktiviti bersukan tetap diteruskan walau sudah menjejakkan kaki ke menara gading. Tambah gadis yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini, hidupnya bagai tidak lengkap jika menggantung kasut sukan terlalu lama.
“Walaupun kerjaya sebagai pelakon tidak seperti orang lain yang masuk kerja pukul 9.00 pagi dan pulang pukul 5.00 petang tetapi saya tetap memperuntukkan masa untuk bersenam.
Walau sesibuk mana sekalipun saya akan mencari masa dan paling mudah adalah melakukan regangan 30 minit setiap hari.
Pada pandangan saya, bersenam ini bukan untuk menjaga bentuk badan atau kurus semata-mata. Bersenam adalah untuk membina kekuatan otot dan minda.
Jika saya perlu berada di lokasi terlalu lama dan kurang bersenam, nanti badan mula terasa lemah, tiada tenaga untuk bekerja dan sukar untuk mengekalkan stamina.
Namun, berbeza pula apabila saya terus bersenam, pasti badan akan rasa sedap, bertenaga dan boleh berlakon sampai lewat pagi tanpa masalah,” ungkapnya yang turut membintangi drama bersiri ‘Mencintaimu’ ini.
Minat Hiking
Menyingkap kisah bagaimana gadis lulusan Universiti Multimedia ini terjebak dengan aktiviti riadah hiking ini, semuanya bermula apabila mengikut pelawaan kawan.
Percubaan pertama sudah membuat pelakon tinggi lampai ini terus jatuh cinta. Bermula dengan mendaki bukit-bukit kecil sekitar Melaka terus membawa gadis berkelulusan Pengurusan dan Pemasaran ini memanjangkan langkah ke puncak Gunung Ledang, Johor.
“Kepuasan ketika sampai ke puncak sesebuah bukit atau gunung sukar diungkap dengan kata-kata. Hanya orang yang pernah melaluinya tahu dan faham erti kepuasan hiking ini. Jika dahulu saya lebih suka berlari untuk bersenam namun, setelah mencuba mendaki kepuasannya luar biasa.
Mendaki ini nampak mudah kerana hanya perlu mengikut trek (jika kawasan tersebut telah disediakan laluan ke puncak) tetapi menuntut stamina yang tinggi.
Denyutan jantung pula berdegup dengan lebih kencang ketika mendaki. Pergerakan ketika mendaki sebenarnya boleh membakar kalori lebih cepat dan membakar lebih lemak serta elok untuk kekuatan kaki.
Berlari memang bagus tetapi memberi tekanan kepada kaki dan tidak elok buat mereka yang mempunyai masalah kaki atau lutut,” ungkap pelakon yang terkenal dengan watak antagonis tersebut.
Tambah pemegang watak Erni Humaira dalam drama Cik Bunga Encik Sombong ini, kebelakangan ini dia mula mencuba sesuatu yang baru iaitu mendaki pada waktu malam.
Hanya berbekalkan lampu pada topi keledar, dia dan rakan-rakan mendaki Bukit Kiara yang terkenal dengan trek pendakian. Cabaran berjalan di dalam gelap menguji kekuatan minda dan fizikal.
Dalam keterujaan bercerita pengalaman mendaki, Sasqia juga turut pernah ditimpa kemalangan. Walaupun tidak pernah mengalami kemalangan yang teruk tetapi pernah tergelincir ketika mendaki adalah suatu pengalaman yang bernilai.
Mengakui pengalaman tergelincir itu adalah salah sendiri kerana tidak memakai kasut yang betul. Namun, itu bukan menjadi punca untuknya berhenti mendaki. Menurutnya ketika mendaki sangat penting memakai kasut yang betul agar tidak terjatuh.
“Memang saya belum lagi berkesempatan untuk mendaki gunung yang tinggi-tinggi namun itu adalah sasaran setiap pendaki.
Jika diberi kesempatan, ruang dan masa saya ingin mendaki gunung yang tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu.” ungkapnya mengakhiri perbualan kami pada pagi itu. Hamizatul Maizan Mohamed