Sesungguhnya kasih ibu membawa ke syurga. Sebak baca luahan Fauziah Nawi yang merindui Allahyarham anaknya. Mengintai laman media sosial anak seni ini, dia kerap berkongsi gambar kenangan bersama anak tersayang selain tak putus-putus mengirim doa.
Menghitung hari mengenang pemergian anak tersayang, Pitt Hanif, bagi wanita yang bergelar ibu pasti memahami rasa rindu yang menyelubungi jiwa biduanita negara ini.
Meskipun sudah tiga tahun berlalu namun gelak tawa dan gelagat Pitt atau nama sebenarnya Mohd Firdaus Mohamad Hanif masih segar di ingatan Fauziah.
Jelas terserlah betapa besar rasa kasih aktres ini yang tak jemu mengenang kenangan indah bersama arwah anak dan tabah meniti hari-hari mendatang tanpa kelibat suami kepada pelakon Farah Ahmad itu.
“Rabu 5.4.2023 bersamaan 14 Ramadan 144H. 3 tahun 160 hari sudah kau wahai anak buah hatiku pergi meninggalkan kami bertemu RabbMu.
Setiap hari aku masih merinduimu, masih menitipkan doa buatmu, tak lupa baba, atok dan mak nek.
Kalian kekuatanku dan terus jadi kekuatanku. Kerinduan ini tak pernah hilang.
Moga kau dikasihi dan menerima ehsan Rabbmu. Sebagaimana redanya aku terhadapmu, aku berharap Allah meredaimu juga. Aku terus memperjuangkan hakmu wahai anak.”
Ujar Fauziah lagi, “Bila yang dikasihi jadi kenangan maka segala kenangan itu amat berharga. Al Fatihah buat buah hatiku belaian jiwa Hj Mohd Firdaus bin Hj Mohamad Hanif a.k.a Pitt Hanif.
Moga kau tenang dalam dakapan khaliq mu wahai anak.”
Allahyarham Pitt yang merupakan penulis skrip dan pengarah meninggal dunia pada Oktober 2020 selepas ditemui lemas di Sungai Mela, Jerantut, Pahang ketika bersama temannya keluar memancing usai penggambaran.
Baca https://www.nona.my/luah-rasa-rindu-farah-ahmad-redha-suami-hilang-dari-dakapan/
Moga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. Buat Ibu Fauziah Nawi, semoga Allah kurniakan kesabaran untuk menempuh ujian ini.