“Aku Menyesal Kahwin Dengan Kau!” PUTERI SARAH Akui Sudah Penat Dengan Drama, Hanya Mahu ‘Move On’

Pergolakan rumah tangga Puteri Sarah Liyana dan Syamsul Yusof terus tidak menampakkan sebarang tanda-tanda untuk berdamai apabila kedua-dua mereka saling berbalas kenyataan di media sosial. Terbaharu, Puteri Sarah membuat pengakuan, kekesalan yang dilakukan dalam hidupnya ialah berkahwin dengan pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu.

Pengakuan itu dibuatnya dalam hantaran di akaun Instagram peribadinya, sebentar tadi. Selain itu Puteri Sarah sekali lagi membuat permintaan untuk Syamsul menceraikannya agar dia dapat keluar daripada perkahwinan yang disifatkannya penuh toksik.

“Aku hanya mahu ‘move on’ dan gembira bersama anak-anak aku. Satu benda yang paling aku yakin menyesal aku lakukan dalam hidup aku ialah berkahwin dengan kau.”

Dalam hantaran itu juga, artis berkenaan turut meluahkan betapa dia sudah terlalu penat untuk melalui proses yang penuh ‘drama’, namun bersyukur dikurniakan keluarga mentua yang baik.

“Sejujurnya aku sangat penat dengan semua drama yang berlaku. Kepada Mohd Shamsul, kau tak nak bagi nafkah aku? Suka hati kau. Kau nak menang? Kau menanglah, aku kalah. Kau jawab kat akhirat nanti. Aku hanya mahu keluar daripada perkahwinan toksik ini,” tulis Puteri Sarah dalam hantaran yang bercampur bahasa Melayu dan Inggeris itu.

Ibu kepada dua orang anak itu juga menegaskan, sekiranya Syamsul mendambakan kemenangan daripada perbicaraan kes itu, dia sedia memberikannya kepada suaminya.

“U nak menang? U ambillah semua harta-harta u. Aku tak nak satu sen pun. Cuma hak anak sebagai ayah bertanggungjawab. Lepaskan aku, ceraikan aku,” pinta Puteri Sarah daripada Syamsul.

Pada 18 April lalu, pasangan berkenaan pada asalnya dijangka menemui jalan penyelesaian terhadap krisis rumah tangga mereka, namun, keadaan sebaliknya pula berlaku apabila Syamsul menarik balik keputusannya untuk menceraikan Puteri Sarah.

Syamsul berkata, keenggannya melepaskan Puteri Sarah disebabkan oleh isterinya menambah beberapa terma dalam perjanjian perceraian mereka termasuk isu nafkah dan kes terhadap madunya, Ira Kazar.

Syamsul dan Puteri Sarah bernikah pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul mengejutkan dunia hiburan apabila membuat pengakuan memadukan Puteri Sarah dengan menikahi Ira Kazar di Thailand.

Sumber: Astro Awani

***

Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

Share
Published by
Wan Firdaus