“Aku Rindu Abah!” Hanya Kirim Doa, Sebaknya Baca Luahan Frontliner Ini Untuk Bapa Di Sabah

Nampak saja kuat, tetap tersenyum kala bertugas, tapi siapalah yang tahu isi hati para petugas barisan hadapan ini. Umpamanya yang dirasakan oleh anggota PDRM, Koperal Nordiana Ibrahim tentang kerinduan seorang anak terhadap bapa tersayang.

Peningkatan kes baru COVID-19 setiap hari di Sabah masih menjadikan negeri itu sebagai penyumbang kes positif tertinggi sejak tiga minggu kebelakangan ini.

Bagi anak-anak Sabah yang bertugas di Semenanjung, situasi ini pastinya merisaukan mereka setiap kali terkenang keluarga tercinta. Koperal Nordiana yang juga merupakan isteri pelawak, Mamat Sepah, tidak terkecuali.

Kerinduan Koperal Nordiana terhadap bapanya, Ibrahim Bin Haji Jal yang kini menetap di Semporna, Sabah diabadikan dalam satu hantaran sayu di Instagram.

‘Aku Rindu Abah’

Masa kecik-kecik aku selalu ikut abah pegi keje. Abah pegi mana-mana mesti bawak aku. Kalau jalan berdua dengan abah, abah suke usik acah-acah ngorat awek. Lepas tu aku cubit abah then repot kat arwah ibu, lepas tu abah gelak.

Abah yang paksa aku jadi polis. Tinggalkan kampung. Jauh dari family. Aku tak nak. Aku cakap nak jadi cikgu. Nak masuk universiti. Masa tu aku form 6, abah dan arwah ibu cakap takpe. Nanti dah jadi polis boleh sambung belajar. Jadi polis ada masa depan.

Dah diterima. Dapat jadi polis. Abahlah orang yang akan nangis bila hantar aku kat airport. Arwah ibu boleh tenang je tengok aku. Abah tak, dan memang kalau setiap kali aku habis cuti nak balik KL, memang abah je la yang selalu nangis hantar aku kat airport. Korang tengok jela pic aku kawin tu. Macam mana abah nangis.

Abah aku ni jenis tak suka bising-bising. Tak suka marah anak-anak dia. Muke je garang tapi abah sangat penyayang. Masa kecik kalau abah pukul sebab tak dengar kata, dia yang akan nangis.

Now, 2020 bila COVID-19 dah ‘sampai’ Semporna, Sabah, sumpah aku takut jadi apa-apa kat abah. Risau sebab Semporna tu kecik je. Aku selalu pesan kat abah.

Jangan keluar umah… Duduk je kat dalam umah tu…

I miss u abah… Kakak jauh ni… Nanti kakak balik ye.

Jaga diri, insyaAllah nanti kita jumpa.

Begitulah antara coretan sayu Koperal Nordiana yang kini bertugas di Shah Alam, Selangor. Selain berkhidmat untuk negara, wanita jelita itu juga turut melahirkan jenama tudung Diana Scarf dan menjalankan bisnes pewangi Acacia Scent.

Ayuh sama-sama kita doakan semoga musibah yang melanda ini akan segera berakhir dan menyatukan semula ahli-ahli keluarga yang terpisah sejak sekian lama. Doakan yang baik-baik, insyaAllah yang baik-baik jua untuk kita semua.

Sumber: Instagram @_cik_nana

Share
Published by
Norzalina