“Aku tidak ada anak yang merampas suami orang dan hidup bermadu…”

PENGALAMAN yang dilalui oleh Nadiah (bukan nama sebenar) ini memang agak memilukan. Sudahlah ditinggalkan suami, dirinya pula seperti disingkirkan oleh keluarga. Dengan anak-anak seramai enam orang dan dia pula tidak mempunyai pekerjaan.

Apa yang memilukan, sepanjang tempoh itu, keluarganya langsung tidak ambil kisah. Tanpa sebarang pekerjaan dan kemudian setelah bekerja, ditipu pula. Pun tidak ada siapa yang ambil tahu walau pun dia tinggal menyewa di sebelah rumah ibunya yang tersergam. Tetapi keadaan menjadi kecoh dan seluruh keluarga menjadi gempar apabila Nadiah mengambil keputusan menjadi isteri ketiga kepada seorang ahli perniagaan.
Luahan rasa Naidah…

SAYA datang dari sebuah keluarga besar. Dari segi perangai, saya memang agak berbeza berbanding dengan adik beradik yang lain. Seorang yang agak ‘reserve’ dan mempunyai sedikit kelebihan dari segi rupa dan pelajaran. Kemudian saya juga bertemu jodoh dengan seorang yang agak berkedudukan.

Saya tidak pernah meninggi diri dengan kelebihan yang saya miliki itu. Namun saya sedar, ada di antara adik beradik yang cemburu. Apa lagi, setelah berkahwin suami pula tidak suka saya terlalu bergaul dengan adik beradik. Semuanya gara-gara dia tidak berkenan dengan sikap mereka termasuk ibu saya yang kononnya ‘busy body’, cakap lepas dan macam-macam lagi.

Saya tidak menafikan kata-kata suami itu. Namun walau apa pun, bagi saya mereka tetap keluaga saya. Kerana itu setelah berkahwin, saya minta tinggal berhampiran dengan keluarga. Dan saya hanya bertemu mereka ketika suami tiada di rumah. Kerana itu tidak hairanlah apabila kehidupan saya lebih banyak tertumpu kepada rumah tangga. Saya tidak pernah bersama adik-beradik duduk bersembang-sembang di rumah ibu pada waktu petang.

Selepas melahirkan anak pertama, saya berhenti kerja. Sejak itu, saya benar-benar bergantung hidup pada suami. Namun suami tetap memberi wang untuk saya berikan kepada ibu. Kerana suami saya tidak kedekut dari segi wang ringgit. Malah boleh dikatakan agak boros.

Suami memang mahukan anak yang ramai kerana dia merupakan anak tunggal. Namun saat melahirkan anak ke enam, bermulalah episod duka di dalam hidup saya. Saya ditinggalkan kerana dia telah mempunyai orang lain.

Sebenarnya saya tidak tahu apa yang dia cari. Kerana bukan saja perempuan itu lebih tua daripadanya (suami 11 tahun lebih tua daripada saya) tetapi mempunyai latar belakang yang tidak baik. Tapi apakan daya, itu pilihannya.

Saya diceraikan sewaktu suami dipecat atas tuduhan pecah amanah. Kemudian kami membuka butik. Tetapi bankrap kerana ditipu. Dia bekerja pula di sebuah syarikat pengiklanan. Ketika itulah saya dengar cerita dia bertemu dengan perempuan itu dan saya diceraikan… Ketika saya diceraikan, tidak ada apa yang mampu saya tuntut kerana dia memang tidak mempunyai apa-apa sudah.

Dia memang sedang jatuh teruk. Kalau dulu kami mempunyai tiga buah kereta, tetapi kini basikal anak pun telah dijual. Bahkan banyak barang-barang berharga di rumah yang telah dijual dan wang simpanan juga tepaksa dikeluarkan ketika bankrap dulu.

Dalam keadaan ‘tidak ada apa-apa’ itulah saya terpaksa hidup bersama enam orang anak. Sedangkan dia terus menghilangkan diri. Dari menyewa rumah besar, saya terpaksa berpindah ke sebuah rumah tanpa bilik. Mana barang-barang yang boleh dijual telah saya jual semuanya kerana ingin menampung kehidupan kami anak beranak.

Akhirnya saya mendapat pekerjaan. Ibu mahu menjaga anak-anak saya yang belum bersekolah tetapi saya perlu membayar sebanyak RM300 seorang. Mana nak cari duit sebanyak itu? Akhirnya hanya anak yang kecil saya hantar sementara yang lain (yang belum bersekolah) tinggal di rumah. Jiran sebelah yang tolong tengok-tengokkan.

Hanya tiga bulan pertama, saya menerima gaji. Bulan-bulan berikutnya, gaji mula tersekat-sekat. Bahkan tak pernah lagi dapat cukup. Apabila ditanya, syarikat kata ada masalah. Saya cuba minta kerja di tempat lain. Dengan usia yang dah banyak, bukan mudah untuk mencari kerja. Dalam pada itu, ramai pula yang mengambil kesempatan atas status janda saya.

Dalam terkapai-kapai itulah saya diperkenalkan dengan Sham (bukan nama sebenar). Pada peringkat awal, saya tidak menganggap apa-apa terhadapnya. Lagi pun saya tidak terfikir untuk berkahwin lagi. Apa lagi, dia sudah mempunyai dua isteri. Bagi saya berkahwin lagi bererti saya mencari masalah. Lagi pun siapalah yang jujur hendak mengahwini janda beranak enam?

Perkenalan itu berjalan biasa-biasa saja. Sering juga kami keluar makan tetapi saya pastikan bukan berdua. Banyak kali juga dia menghulurkan wang kerana tahu keperitan hidup saya. Tapi semuanya saya tolak dengan baik.

Suatu hari, saya didatangi seorang wanita yang walau pun telah agak berumur tetapi masih cantik dan bergaya. Berderau darah saya apabila dia mengenalkan dirinya sebagai isteri Sham. Saya sangka wanita itu ingin menyerang saya. rupa-rupanya tidak. Sebaliknya dia menyuarakan hasrat untuk melamar saya sebagai madunya.

Sekali lagi saya terkedu. Bala apakah yang datang ini? Enam bulan saya mengambil masa untuk berfikir. Dalam pada itu, sering juga isteri Sham (termasuk isteri mudanya) bertemu dengan saya. Ada juga beberapa kali mereka menjemput saya dan anak-anak makan-makan bersama. Waktu itu saya sedar, isteri mudanya kurang senang dengan kehadiran saya. Maklumlah, usianya belum pun menjangkau 30 sedangkan saya sudah 37 tahun.

Melihat keikhlasan Sham dan isterinya, akhirnya saya nekad untuk menerima lamaran itu. Tetapi seperti yang diduga, ibu dan seluruh adik beradik menentang sekeras-kerasnya. Saya dituduh menjatuhkan maruah keluarga, merampas suami orang, perempuan gatal dan tak tahan nak berlaki dan macam-macam kata nista lagi.

Saya benar-benar sedih. Untuk pengetahuna semua, sepanjang saya susah selepas ditinggalkan suami, tidak ada seorang pun adik beradik yang menghulurkan bantuan. Walhal mereka tahu saya tidak bekerja dan setelah bekerja tidak dibayar gaji pula. Ibu ada beberapa rumah sewa, tetapi langsung tidak menawarkan sebuah untuk saya. Sanggup dia melihat saya dan anak-anak menyewa di rumah yang sempit dan usang begitu. Ketika anak-anak sakit, jiran dan rakan-rakanlah yang membantu.

Kini telah hampir dua tahun saya menjadi isteri ketiga Sham. Dan selama inilah juga, saya hidup tersisih daripada keluarga.

“Aku tidak ada anak yang sanggup merampas suami orang. Aku tak ada anak yang hidup bermadu. Kau dah gatal, kau ikutlah lelaki tu,” itulah kata ibu ketika saya bersalam sengannya selepas bernikah dengan Sham.
Dan setiap kali saya pulang ke rumah, ibu hanya buat tak kisah. Begitu juga dengan adik beradik yang lain. Bukan hanya pada saya, bahkan juga pada anak-anak. Saya terlalu rindukan ibu dan adik beradik yang lain kerana sejak kecil kami memang tidak pernah berpisah. Tapi apakan daya.

Namun saya masih tetap bersyukur kerana mempunyai suami dan madu-madu yang baik. Hidup saya kini seperti orang terbuang dalam keluarga sendiri. Hanya madu-madu itulah yang kini menjadi saudara saya di dunia dan akhirat hingga kini…

Share
Published by
KR