Terjun ke dalam dunia hiburan mungkin nampak mudah tetapi untuk terus kekal bertahan adalah cabaran yang perlu dipikul oleh mereka yang bergelar artis.
Mira Filzah sendiri tidak menyangka, niat menceburi bidang modelling telah mempertemukan dia dengan ‘jodoh’ bersama dunia seni lebih sembilan tahun lalu.
Di usia 28 tahun, butir bicaranya begitu matang. Dia tahu apa yang ingin diperkatakan malah petah dalam melontarkan satu penceritaan. Jarang sekali membaca kontroversi memalit Mira, apatah lagi gossip panas.
“Apabila menjadi artis, tentunya kita tahu apa sahaja yang kita lakukan diperhatikan. Sebelum berkahwin saya kawal content
untuk tatapan media sosial. Apatah selepas berkahwin, lebih banyak privasi perlu dijaga. Posting berkaitan suami dan rumahtangga bukan sesuatu yang boleh kita suka-suka tayangkan kepada umum.Saya banyak belajar dari pengalaman. Iyalah, masuk ke dunia seni tanpa sengaja, tak ada niat apalagi casting. Semuanya berlaku secara tiba-tiba dan saya jenis suka go with the flow. Kurang bercakap tapi lebih banyak observe, mungkin dari situ saya belajar gaya hidup orang, cara bekerja dan semua itu saya belajar sendiri.
Nak kata ada pengalaman sendiri…NO, tapi pemerhatian yang mengubah diri menjadi matang. Saya biasanya mengambil pengajaran dari apa yang berlaku pada orang lain,” katanya.
Dalam kehidupan yang dilalui, sekelumit pun rasa menyesal tidak timbul. Dengan restu kedua ibu bapanya, Mira melewati tahun demi tahun dan membina tapak untuk namanya terus dikenali.
Dari kerjaya sebagai model pelbagai jenama fesyen terkemuka tanah air kepada pelakon dan kini bergelar pengacara, Mira Filzah sangat bersyukur.
“Sewaktu kaki mula memijak dunia lakonan, tentulah mak dan abah tak bersetuju. Tapi anak nombor dua biasanya degil sikit. Saya tetap pujuk mereka untuk menerima jalan yang saya pilih.
Asalkan terpacul perkataan ‘ok’ dari mereka, saya anggap mereka merestui kerana pada saya restu mak dan abah sangat penting. Kalau tak, memang apa yang saya lakukan tak menjadi.
Bagi saya, rezeki yang datang saya laksanakan sehabis baik. Walaupun pernah kecewa kerana tidak terpilih dalam top 20 finalis Dewi Remaja, saya merasakan hikmah itu datang dalam bentuk lebih baik di masa hadapan.
Saya bayangkan juga, sekiranya terpilih, perjalanan saya dalam dunia seni ini lebih lambat kerana berada dalam pertandingan.
Tetapi hikmahnya, saya mulakan langkah terlebih dahulu. Saya menerima tawaran berlakon drama bersiri. Di saat memenangi anugerah Artis Bintang Popular, saya terfikir…macam mana kalau saya terpilih menyertai Dewi Remaja?
Mungkin ini bukan ‘laluan’ saya. Saya sangat percaya, hikmah Allah akan datang kemudian. Saya tak pernah regret pun dengan apa yang berlaku. Alhamdulillah, hidup saya kini lebih bahagia,” ujar isteri kepada Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar ini.
This website uses cookies.