Akur Masyarakat Kini Ramai Alami Depresi, FAZURA Pilih Lagu Ketuhanan Kongsi Rasa

Bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke 40 pada 27 September ini, nampaknya Nur Fazura bakal bergandingan dengan penyanyi kumpulan Dewa, Ahmad Dhani  untuk sebuah projek khas.

Menurut isteri kepada Fattah Amin ini, dia bakal menyanyikan semula lagu berjudul Jika Cinta Allah yang pernah dipopularkan oleh Ahmad Dhani. Tambah Fazura lagi, meskipun projek tersebut tertangguh setahun atas perkara-perkara yang tidak dapat elakkan, namun dia bersyukur akhirnya ia bakal terlaksana.

“Jika diikutkan, saya sudah mempunyai lagu bersama Ahmad Dhani yang dinyanyikan semula serta mendapat sentuhan Ahmad Dhani dari segi arrangement baharu. Meskipun sudah merancang untuk melancarkan lagu tersebut pada tahun lalu, namun aturan Allah lebih baik.

Jadi, dengan izin Allah, saya bercadang untuk melancarkan lagu tersebut September ini sempena ulang tahun kelahiran saya. Doakan ya,” ujar ibu kepada Nur Fatima Aisya.

Pernah mempunyai single dalam bahasa Melayu dan Inggeris, sememangnya Fazura menyimpan hasrat untuk menyanyikan lagu-lagu berunsur ketuhanan. Tambah Fazura lagi, sebagai penghibur dia perlu berkongsi motivasi kepada para pendengar memandangkan situasi kini di mana ramai yang mengalami masalah depresi dan tekanan hidup.

“Kalau nak buat album pun memang saya ingin berkonsepkan ketuhanan. Saya rasa penting untuk kita beri motivasi kepada masyarakat kerana sekarang ini ramai orang mengalami tekanan dan depresi, ” ujar Fazura yang mengakui jiwanya tenang apabila mendengar lagu-lagu berunsur ketuhanan. Untuk rekod, Fattah Amin juga turut mempunyai beberapa lagu berunsur ketuhanan.

“Jika diberi peluang untuk membuat lagu, saya ingin menyanyikan lagu berkonsepkan ketuhanan kerana sejak dahulu lagi saya sering menyelitkan mesej menaikkan semangat orang lain. Ini cara saya berkongsi dengan para peminat,” ujar Fazura seraya mengakhiri perbualan.

 

 

Share
Published by
Rosmah Idayu