Sudah hampir 4 bulan tragedi serangan berdarah di Christchurch, New Zealand berlalu namun kesannya sangat mendalam di hati umat Islam sedunia.
Mengintai khabar terbaharu salah seorang rakyat Malaysia yang tercedera dalam kejadian itu, Nazril Hisham Omar, 49 tahun, nyata kesihatannya semakin pulih.
Menghubungi isteri kepada Nazril Hisham Omar, seorang Pensyarah di Fakulti Perhotelan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Dr Zurinawati Mohi, 48 tahun, yang masih di New Zealand menyatakan suaminya telah melalui perkembangan yang positif.
“Alhamdullilah, saya masih bercuti menjaga suami dan anak-anak. Nazril pun dah boleh berjalan dalam rumah tanpa tongkat.
Physioterapist yang merawatnya mencadangkan agar suami membuat aquajog dan kayuh basikal di gym,” tutur ibu kepada Muhammad Haqiem Daniel, 18 tahun, Muhammad Hazieq Daniel, 14 tahun, dan Muhammad Hazriq Daniel 10.
Tambah Dr Zurinawati lagi “Banyak lah beransur-ansur sihat tetapi masih perlu ke hospital untuk rawatan susulan,” cerita Dr Zurinawati yang sedang membawa pelajar-pelajarnya membuat lawatan sambil belajar ke Hatyai, Thailand ketika tragedi berdarah itu berlaku.
Bercerita tentang anak-anak pula, tutur Dr Zurinawati, “Anak-anak dah mula bersekolah. Tetapi sekarang 2 minggu term break. Sekarang di New Zealand sedang winter, jadi kami hanya berkurung dalam rumah saja,” katanya.
Mengimbau kisah peristiwa berdarah itu, “Suami dihempap beberapa mayat berlumuran darah dan melihat jelas lelaki itu menembak jemaah lain, namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana cedera.
Suami menganggap letupan yang berlaku dalam masjid itu adalah letupan mercun. Bagaimanapun, suami memberitahu dia terkejut apabila melihat jemaah lain ditembak dan dia cuba melarikan diri, tetapi tidak berjaya kerana turut ditembak di bahagian belakang dan kaki.
Ketika menceritakan kejadian itu, suami menangis sambil tidak berhenti menyatakan rasa syukur kerana masih bernyawa walaupun dihempap banyak mayat dan cedera ditembak dalam tragedi itu,” kata Prof Madya Dr Zurinawati yang terus berangkat ke New Zealand sebaik menerima berita tragedi yang menimpa suaminya.