Siapa sangka di sebalik wajah jelita, Alia Bhatt hidap ADHD, malah rupanya heroin Bollywood ini sejak kecil sulit untuk fokus!
Namanya cukup tersohor, kecantikannya jadi pujaan dan bakatnya sering mengangkat nama Alia Bhatt ke peringkat global. Heroin Bollywood berusia 32 tahun ini turut berbakat sebagai penyanyi, malah jumlah pengikutnya di media sosial sahaja mencecah 85.5 juta.
Namun Alia Bhatt baru-baru ini mendedahkan masalah kesihatan yang mengejutkan. Beliau yang kini sibuk mempromosikan filem terbaharu, Jigra, mengakui menghidap Attention deficit hyperactivity disorder (ADHD).
ADHD merupakan satu gangguan perkembangan araf yang menjejaskan tingkah laku atau perkembangan kanak-kanak atau remaja.
Walau bagaimanapun, ramai kanak-kanak yang mempunyai ADHD terus mengalami simptom ini apabila dewasa, tetapi masih dapat menjalani kehidupan yang sihat, terkenal dan berkerjaya.
Alia Bhatt adalah salah seorang selebriti yang kebetulan hidup dengan ADHD.
BUAT PENDEDAHAN
Pelakon itu berkongsi secara terbuka tentang diagnosis ADHD yang dijalani. Dalam satu temu bual terkini dengan media The Lallantop, Alia berkata bahawa dia benar-benar ‘sedar’ sepenuhnya hanya dalam dua situasi – apabila dia berada di set atau bersama anak perempuannya dengan Ranbir Kapoor, Raha, yang dilahirkan pada November 2022.
“Sejak kecil lagi, saya selalu termenung atau ‘zoned out’. Saya kerap melamun dalam kelas atau semasa berbual dengan orang. Baru-baru ini, saya buat ujian psikologi dan dapat tahu yang saya sebenarnya berada di tahap tinggi dalam spektrum ADHD.
Saya ada ADHD – gangguan kurang tumpuan dan hiperaktif. Bila saya beritahu kawan-kawan saya tentang ini, mereka cakap, ‘Kami dah lama tahu’. Ini bukan sesuatu yang mengejutkan bagi mereka. Tapi, saya sendiri tak tahu. Lepas itu, barulah saya faham kenapa saya rasa tenang bila berada di depan kamera,” ujar Alia Bhatt.
Tambah beliau,”Saya hanya ‘sedar’ dan dapat fokus sepenuhnya pada saat itu. Bila saya berada di depan kamera, saya hadir sebagai watak yang saya mainkan.
Sekarang selepas kehadiran Raha, bila saya bersama dia, saya rasa cukup fokus. Inilah dua saat dalam hidup saya di mana saya rasa lebih tenang.”
6 SIMPTOM ADHD
(1) Pelupa
ADHD mempengaruhi cara memori kerja dan memori jangka pendek otak berfungsi. Ini seterusnya mempengaruhi cara kita mengingat perkara, sering kali menyebabkan kita lupa peristiwa yang baru berlaku mahupun yang sudah lama.
(2) Pengurusan Masa
Di bawah ketidakseimbangan dopamin, kita sukar untuk mengatur masa bagi tindakan yang perlu dilakukan. Akibatnya, kita sering melengah-lengahkan kerja dan kemudian tergesa-gesa menyelesaikan tugasan sepanjang hari.
(3) Menangguh Kerja
Kurang aktiviti di bahagian korteks prefrontal mempengaruhi fungsi eksekutif, yang menyebabkan masalah dalam memahami keutamaan tugas yang perlu diselesaikan. Oleh itu, kita cenderung untuk menolak kerja dan terus menangguhkannya.
(4) Fokus Berlebihan
Ia merujuk kepada tabiat memberi tumpuan yang sangat kuat dan perhatian mendalam terhadap sesuatu perkara. Dalam ADHD, orang menghadapi kesukaran untuk mengalihkan perhatian mereka disebabkan cabaran dalam mengawal neurotransmitter, terutamanya Dopamin.
(5) Fikiran Melayang
Gangguan yang kerap dan menyebabkan fikiran melayang ke mod lamunan. Ini berlaku disebabkan oleh aktiviti berlebihan dalam rangkaian mod lalai, yang menyebabkan otak beralih fokus dan terjebak dalam lamunan.
(6) Sensitiviti terhadap Penolakan
Ketidakseimbangan dalam neurotransmitter boleh memperkuatkan reaksi emosi terhadap penolakan yang dirasakan, mengakibatkan pemikiran berlebihan, kebimbangan, dan tekanan. Reaksi emosi yang meningkat boleh menyukarkan untuk menangani emosi dengan cara yang sihat.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/hidayah-itu-mahal-ivan-gunawan-julung-kali-reka-busana-sopan-tertutup/
This website uses cookies.