“Allah Dah Bagi Honeymoon 10 Tahun Berdua, InshaAllah Kelak BERTIGA Pula!”

Inilah ganjaran buat mereka yang bersabar. 10 tahun percaya dengan penuh sabar dan bersangka baik terhadap rezeki dari-Nya, Adam Corrie dan isteri temui ‘kegembiraan’ yang paling dinanti-nantikan selama ini.

Berkongsi rasa syukur dan teruja bergelar bapa tidak lama lagi, potret aktor lagak ngeri berusia 50 tahun yang tersenyum sambil memegang gambar imbasan kandungan zuriat sulungnya di IG ini menerima ribuan ucapan tahniah daripada rakan artis dan peminat.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi atas kurniaanMu.. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan kebahagian kami. Alhamdulillah. Allah dah bagi honeymoon

10 tahun berdua. InsyaAllah kelak bertiga pula. ‘Ya Allah, semoga Engkau jadikan bayi ini sihat, sempurna, berakal cerdas dan mengerti dalam urusan agama. Ya Allah semoga Engkau memberikan kepada bayi ini umur yang panjang, sihat jasmani dan rohani, bagus budi perangainya, fasih lisannya. Serta bagus suraranya untuk membaca Al-Quran dan tinggikanlah darjat. Dan luaskanlah rezeki dan jadikanlah bagi manusia yang selamat di dunia dan akhirat dan taat pada agama dan Allah.’

Kami doakan juga pasangan yang masih berusaha dapatkan zuriat diberikan zuriat yang soleh dan solehah.”

Adam Corrie Lee bernikah dengan Fazema Mohd Fuad pada 21 November 2008 selepas hanya tiga kali bertemu. Hasil perkongsian hidup selama 10 tahun, Fazema turut pernah berkongsi luahan hati dan mengaku pernah merasa nikmat hamil sebanyak tiga kali sebelum ini.

“Setiap kali mendengar khabar berita orang sekeliling hamil, saya mesti menangis kerana gembira. Hingga sekarang kami masih berusaha, yang pasti kami masih tidak berputus asa dan kecewa. Kerana Allah dah beri banyak nikmat yang perlu saya rasa bersyukur. Iaitu mendapat seorang suami yang baik dan penyayang serta keluarga yang memahami dan sentiasa beri sokongan di kala susah dan senang.

Setiap perkara yang berlaku mesti ada hikmahnya. Yang penting kami berdua bahagia. Teruskan mengharap dengan Allah tanpa putus asa. Hikmahnya 3 orang zuriat kami iaitu Amin, Alif dan Idris sudah menunggu di sana,” tulis Fazema di Instagramnya suatu ketika dulu.

Adam Corrie dan Fazema adalah antara contoh pasangan suami isteri terbaik yang menghadapi setiap ujian Allah SWT dengan tenang dan sabar. Apa yang pasti, setiap kebaikan dan sikap positif insan kepada pencipta-Nya pasti akan beroleh kejayaan kelak. Buat Adam Corrie dan Fazema, teruskan menjadi inspirasi di samping menjaga kesihatan diri dan dipermudahkan segala urusan.

Sumber: Instagram @adamcorrielee

 

Share
Published by
Suzi