Dalam kehangatan filem Sangkar mula ditayangkan minggu ini, pasti peminat sukan MMA teruja untuk menyaksikan filem yang dilakonkan oleh Zul Ariffin, Remy Ishak dan Mira Filzah ini. Selain penglibatan kaum lelaki, wanita juga tidak kurang hebatnya apabila memasuki ‘sangkar’.
Bukan mudah melihat wanita yang fizikalnya gagah dan perkasa. Tiada istilah wanita lemah, itu persepsi baru penulis sebaik menyaksikan sendiri aksi Ann Osman bertarung di gelanggang MMA Fighting. Ketangkasan wanita ini menangkis serangan bertubi-tubi dan menyerang balas pihak lawan secara lebih taktikal mengangkat dirinya sebagai di antara atlet MMA wanita yang terkenal di seluruh dunia.
Kehebatan Ann Osman tatkala menyertai kejohanan seni mempertahankan diri atau Mixed Martial Arts (MMA) pada tahun 2015 lalu mendatangkan rasa teruja dan semangat patriotik yang kental di kalangan penonton yang hadir. Masakan tidak, Ann merupakan satu-satunya wanita Muslim dan antara wanita pertama di Malaysia yang tersenarai dalam kejohanan berstandard dunia itu. Persis dewi perang Greek, dia digelar Ann ‘Athena’ Osman kerana reputasi bertempur yang cemerlang!
Pertemuan Nona dengan wanita lasak ini diatur pantas setibanya Ann dari Sabah. Seorang wanita putih melepak dengan rambut ikal yang didandan kemas mesra menyambut salam penulis. Seperti tak percaya… inikah wanita sama di gelanggang tempoh hari? Ann yang berbadan dua cuma tertawa kecil. Dia mengangguk tanda mengiyakan.
Empat tahun lalu, nama Ann Osman dijulang dan disorak peminat meskipun bertubi-tubi dilayang tumbukan padu daripada pihak lawan. Hasilnya beliau berjaya merangkul kejuaraan bagi kategori tersebut. Bermula tahun 2018, Ann akhirnya mengambil keputusan untuk tidak lagi berlawan di dalam ‘sangkar’. Pun begitu, dia masih lagi bergiat aktif di arena MMA dan menjadi salah seorang jurulatih yang memilih atlet-atlet di dalam negara.
Ternyata Ann membuktikan sukan yang dianggap ekstrem itu tidak sesekali melenyapkan sisi kewanitaannya apatah lagi wanita berusia 33 tahun ini merupakan seorang wanita yang gemar bersolek dan berhias cantik. Wanita berdarah campuran Sabah dan Selangor itu lebih selesa berkomunikasi menggunakan Bahasa Inggeris memandangkan dia pernah dibesarkan di Amerika Syarikat. Sesekali terdengar juga loghat Sabah yang pekat, memandangkan dia dan keluarga menetap di sana.
Turut mendapat jolokan Wonder Woman Malaysia, Ann masih mengekalkan ciri-ciri kewanitaan yang sejati apabila tidak berada di dalam gelanggang. Buktinya sewaktu sesi fotografi di studio Ideaktiv baru-baru ini, Ann yang sarat hamil enam bulan kelihatan berseri-seri dalam persalinan maternity.
“Selepas mendirikan rumah tangga pada tahun 2016, saya teruja untuk memulakan kehidupan berkeluarga. Walaupun hamil, tapi saya masih mengekalkan rutin senaman dan kecergasan hinggalah usia kandungan mencecah 8 bulan. Siapa kata orang mengandung tak boleh bergerak aktif? Sebenarnya bersenam amat baik untuk proses kehamilan. Tapi sebelum melakukan apa-apa senaman, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu bagi mengetahui keadaan fizikal serta memastikan senaman tersebut tidak membahayakan bayi di dalam kandungan,” terangnya.
Umum sedia maklum kejohanan seni mempertahankan diri memerlukan ketangkasan dan kemahiran yang tinggi. Menurut Ann, minat untuk mempelajari seni atau skil mempertahankan diri itu bermula sejak tahun 2012. Bersandarkan minat, dia fokus terhadap latihan hingga melayakkan diri ke peringkat profesional. Selain itu, rutin dan gerakan dalam seni mempertahankan diri juga ibarat senaman yang bagus untuk kesihatan.
“Walaupun saya bermula tanpa sebarang latihan formal, saya sebenarnya seorang yang aktif dalam sukan. Sukan seperti bola jaring dan bola keranjang merupakan kegemaran saya ketika di zaman persekolahan. Apabila saya diberi kesempatan untuk mencuba seni mempertahankan diri dan seterusnya mixed martial arts, saya teruja untuk mencuba sesuatu yang baru.
Tambahan pula, ketika itu saya sudah mula bekerja dan terpaksa berjalan seorang diri untuk berulang-alik ke tempat kerja. Suatu hari berlaku detik mencemaskan. Saya pernah berdepan situasi menakutkan apabila kereta diekori oleh orang tidak dikenali. Sejak peristiwa itu, saya nekad mengambil kelas seni mempertahankan diri dengan menyertai Muay Thai.
Minat terhadap sukan seni mempertahankan diri semakin mendalam dan saya akan berlatih sekerap mungkin. Selepas beberapa bulan menjalani latihan, jurulatih mencadangkan agar saya mengikuti pertandingan Amateur MMA di Petaling Jaya. Walaupun saya tewas dalam pertandingan tersebut, tetapi ia telah membuka jalan untuk saya terus mencuba.
Setahun kemudian, saya ditawarkan untuk bertanding di platform MMA terbesar di Asia iaitu ONE Championship dan menjadi wanita pertama Malaysia untuk bertanding di kejohanan sukan MMA pada peringkat antarabangsa,” ujar Ann yang beranggapan wanita sememangnya mempunyai dorongan adrenalin yang tinggi untuk mencuba sesuatu di luar batas akronim seorang wanita.
Kini Ann mengambil keputusan menceburi bidang perniagaan berasaskan pelancongan lasak bersama suami tersayang. Selain itu, Ann turut menyandang jawatan sebagai Pengurus Atlet dan Bakat di One Championship. Walaupun telah mencecah usia 33 tahun, dia merasakan belum tiba masanya untuk bersara dari bidang sukan seni mempertahankan diri.
Atas inisiatif ingin melihat lebih ramai wanita menyertai sukan yang dianggap lasak ini, Ann sering berkongsi kelebihan serta perkembangan sukan tersebut bersama para pengikut di laman Instagram. Sesekali dia diundang ke institusi pengajian tinggi untuk menyampaikan ceramah serta berkongsi pengalaman yang dilalui.
“Ramai orang Asia tersalah anggap bahawa wanita itu lemah dan patut menjauhi sukan seperti seni mempertahankan diri. Tapi bagi saya, kaum wanita sebenarnya sangat kuat dan berpotensi luar biasa dari aspek kekuatan fizikal dan mental. Saya selalu percaya dengan kata kata ‘You never know your limits unless you push yourself to them.’
Seni mempertahankan diri bukannya sebuah sukan yang mudah tapi itulah yang menyebabkan saya jatuh cinta padanya. It teaches me so much. Bukan sahaja dari segi teknik tapi juga menghargai kehidupan seperti mempelajari rasa hormat terhadap rakan sepasukan dan tidak mudah putus asa. Ia juga membina karakter dan keyakinan diri agar kita tidak cepat mengalah. Saya yakin ramai wanita akan menikmati kepuasan dalam bidang sukan seni mempertahankan diri ini,” ujar Ann seraya mengakhiri perbualan.
This website uses cookies.