Ketika manusia terpaut pada dunia, segalanya tak akan pernah cukup. Harus lebih lagi… Lebih kaya, lebih cantik, lebih berkuasa. Yang lemah terus ditindas, umpamanya sifat berat sebelah terhadap wanita. Inilah yang diperjuangkan oleh Amal Clooney serta 11 wanita lain yang diiktiraf Time’s Women of the Year.
Nama peguamcara berketurunan British-Lubnan, Amal Clooney cukup dikenali dengan perjuangannya menegakkan keadilan undang-undang am dan jenayah antarabangsa serta memperjuangkan hak asasi manusia.
Cantik, bijak dan seorang aktivis yang prihatin, Amal sebelum ini pernah bertugas sebagai penasihat bagi Setiausaha PBB Kofi Annan untuk isu konflik di Syria serta pensyarah undang-undang jenayah di Universiti London.
Wanita berusia 44 tahun dan isteri kepada aktor George Clooney itu lahir di Beirut sebelum keluarganya berpindah ke Eropah gara-gara perang saudara di Lubnan pada tahun 1982. Beliau mempunyai sepasang anak kembar iaitu Alexander dan Ella, 5 tahun.
Amal, atau nama sebenarnya Amal Ramzi Alamuddin merupakan seorang peguam hak asasi dan undang-undang antarabangsa tersohor di Britain. Beliau mahir berbahasa Inggeris, Perancis dan Arab.
Selepas menamatkan pengajian di Universiti Oxford, Amal meneruskan program Master di Universiti New York, sekaligus melayakkan beliau mempraktikkan undang-undang di United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Di antara kes berprofil tinggi yang dikendalikan adalah berkaitan pemenang Hadiah Nobel, Nadia Murad serta mewakili wartawan Al-Jazeera yang ditahan di Mesir. Pengasas Wikileaks, Julian Assange dan bekas Perdana Menteri Ukraine, Yulia Tymoshenko juga pernah menjadi anak guam Amal Clooney.
Beliau juga adalah Presiden dan Pengasas Bersama Clooney Foundation for Justice.
Barisan penerbitan Time menyifatkan bahawa pandemik bukan saja menjejaskan kehidupan wanita, malah turut meningkatkan angka keganasan domestik dan menjadi punca kehilangan rezeki.
Dengan mengangkat nama-nama pemimpin wanita atau individu yang berani memperjuangkan kesamarataan gender pasti dapat memberi motivasi agar lebih ramai yang lain menyertai mereka.
Menyertai Amal Clooney dalam barisan senarai Time’s Women of the Year adalah Tracy Chou, Allyson Felix, Amanda Gorman, Sherrilyn Ifill, Jennie Joseph, Amanda Nguyen, Michaela Jaé Rodriguez, Kerry Washington, Kacey Musgraves, Adena Friedman dan Zahra Joya.
Selamat Hari Wanita Sedunia buat semua pembaca Majalah Nona. Bersama kita saling mendukung dan menguatkan satu sama lain!
This website uses cookies.