Pertama kali bertentang mata dengan Datin Dr Norazlin Mokhtar ini, menimbulkan rasa cemburu di hati penulis. Masakan tidak, Datin Dr Norazlin Mokhtar bukan hanya dikurniakan raut wajah dan personaliti menawan bahkan beliau juga memiliki tubuh badan yang langsing biarpun usianya sudah mencecah 54 tahun!
Melihat gaya hidup yang dipraktikkan oleh ibu kepada empat cahayamata ini membuka mata penulis untuk memberi perhatian yang lebih terhadap aspek penjagaan kesihatan dan kecantikan malah wajar dijadikan sumber inspirasi kepada seluruh wanita yang mendambakan kesihatan dan rupa paras yang menarik walaupun di mamah usia. Bak kata pepatah Inggeris, let’s aged gracefully.
Hasrat Nona untuk menembual wanita ini sudah diatur dan mendapat kerjasama jitu dari lokasi kegemaran Datin Dr Norazlin untuk mengadakan aktiviti riadah mahupun bersosial bersama kenalan. Cuaca cerah pagi Rabu itu seolah-olah merestui penggambaran kami. Seperti direncana, penulis tiba di TPC Kuala Lumpur disambut mesra oleh pihak TPC Kuala Lumpur yang bertindak sebagai lokasi penggambaran Tetamu VIP kali ini.
Kehadiran kami turut disambut oleh Datin Dr Norazlin dengan wajah yang polos. Sementara menunggu beliau disolek, kami meninjau beberapa lokasi menarik di sekitar TPC Kuala Lumpur yang boleh dijadikan lokasi untuk mencari pencahayaan dan sudut fotografi terbaik.
Membongkar kehidupan seharian isteri kepada seorang pakar bedah terkemuka di ibu kota ini, penulis dapat melihat personaliti ibu kepada empat orang cahayamata ini bukanlah calang-calang orangnya. Berpendidikan tinggi, kaya dengan budi bahasa dan mudah mesra menjadi sebahagian dari personaliti yang dimiliki oleh Datin Dr Norazlin Mokhtar. Biarpun terpaksa melepaskan kerjaya ketika anak-anak masih kecil, namun ia bukanlah penghalang untuk dirinya memiliki segulung ijazah yang menjadi sebahagian dari kejayaan peribadi miliknya.
“Saya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan pada tahun 1990. Selepas itu, saya mula berkhidmat selama beberapa tahun di Hospital Universiti sebelum mengikut suami melanjutkan pelajaran ke United Kingdom selama beberapa tahun. Sekembalinya ke tanahair, saya menyambung kerjaya tetapi mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebaik sahaja mendapat cahayamata ketiga,” ujar Datin Dr Norazlin ramah memulakan sesi temubual.
Walaupun mengambil keputusan untuk menamatkan kerjaya, namun soal mengejar pendidikan tidak pernah terhenti begitu sahaja buat Datin Dr Norazlin apabila dia memilih untuk mengambil MBA setelah melepaskan jawatan terakhirnya di bidang perubatan.
“Walaupun saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan terhadap anak-anak, ini tidak bermakna saya melupakan hasrat untuk menyambung pelajaran. Saya mengambil MBA untuk mengisi masa lapang dan menjadi motivasi untuk anak-anak untuk meneruskan pelajaran walaupun sudah berkahwin dan mempunyai cahayamata kelak,” ujar Datin Dr Norazlin ternyata memberi sokongan dan dorongan untuk anak-anak berjaya dalam bidang yang diceburi.
Minat yang mendalam dalam untuk memajukan diri sendiri mendorong beliau mengambil Sarjana Pengurusan Perniagaan atau MBA. Lebih istimewa, beliau memilih tajuk thesis yang berkaitan dengan kehidupan sehariannya iaitu “Golfer’s motivation and satisfaction: An empirical study in Klang Valley”.
Tatkala penulis mengajukan persoalan mengapa TPC Kuala Lumpur menjadi sinonim di dalam gaya hidupnya, menurut Datin Dr Norazlin lagi kelab golf bertaraf dunia itu bukan sahaja menjadi pilihan untuk dia dan suami melakukan aktiviti riadah, malah ia sudah menjadi sebahagian dari gaya hidup pasangan suami isteri tersebut. Tambahnya lagi, sejak menjadi ahli dari tahun 2000 hingga kini, ia merupakan lokasi pilihan bukan sahaja untuk bermain golf, malah terdapat pelbagai kemudahan yang ditawarkan dimana ia memenuhi gaya hidup mereka suami isteri yang mementingkan gaya hidup sihat dan berkualiti.
“Menjadi ahli untuk sesuatu kelab selama 19 tahun bukanlah satu jangkamasa yang singkat. Malah, saya sudah melihat pelbagai perkembangan tempat ini dari dahulu hingga kini. Malah, tempat ini bagaikan ‘rumah kedua bagi saya dan keluarga.’ Ia bukan sahaja menawarkan kemudahan untuk peminat sukan golf semata-mata, malah ia juga merupakan tempat riadah untuk seisi keluarga. Kalau nak tahu, anak-anak saya juga membesar di dalam persekitaran TPC Kuala Lumpur di mana ia menawarkan perkhidmatan untuk sukan lain seperti kolam renang, boling, spa dan sebagainya,” ujar Datin Dr Norazlin yang aktif mengikuti kelas aerobik di sini.
“Tambahan pula, jarak tempat ini dengan kediaman kami hanyalah dalam 10 minit perjalanan. Jadi, ia amat sesuai untuk dijadikan tempat berkumpul bersama keluarga dan bertemu rakan-rakan lama dan baharu. Pada usia mencecah 50-an ini, aktiviti sosial seperti ini perlu untuk memastikan tahap kesihatan yang optimum dan mengelakkan penyakit-penyakit seperti nyanyuk mula menjengah,” ujar Datin Dr Norazlin yang ternyata amat mengambil berat soal penjagaan kesihatan secara emosi dan luaran.
Wanita anggun ini juga pernah membuka spa di TPC Kuala Lumpur selama enam tahun sebelum mengambil keputusan menamatkan operasi kerana ingin memberi tumpuan terhadap aktiviti sosial dan keluarga. Walaupun spa yang dikenali sebagai Athina Spa telah menamatkan operasi, namun jauh di sudut hati Datin Dr Norazlin amat bersyukur kerana berpeluang meneroka bidang perniagaan dan memberi perkhidmatan kecantikan untuk wanita yang mementingkan penampilan diri. Memandangkan kini masa lapangnya begitu fleksibel, beliau memilih untuk mengikuti rutin aerobik sebagai salah satu cara memastikan tubuh badan mendapat penjagaan yang terbaik.
“Selain memilih aktiviti riadah, saya juga seorang yang gemar menikmati hidangan yang ditawarkan di sini. Selain itu, aktiviti senaman di gimnasium dan driving range menjadi pilihan saya untuk memastikan tahap kecergasan dan kesihatan yang baik. Dalam usia mencecah 54 tahun ini, saya perlu lebih memberi perhatian terhadap soal kesihatan dan kecergasan. Soal kesihatan ini banyak bergantung kepada kehendak diri sendiri. Jika kita mahu kekal sihat di usia melewati 50-an, ia perlu dimulakan dengan pemilihan senaman dan pemakanan yang seimbang,” ujar Datin Dr Norazlin lagi.
Tatkala melihat susuk tubuhnya yang langsing dan tidak langsung menampakkan usianya mencecah 54 tahun, penulis cuba mengorek rahsia bagaimana ibu kepada empat cahayamata ini menjaga tubuhnya. Sambil tersenyum, menurut Datin Dr Norazlin, walaupun hidup di bandar yang moden dan memilih gaya hidup aktif seperti bersukan sebagai sebahagian aktiviti harian, dia juga tidak memandang sepi petua tradisi untuk diamalkan dalam kehidupan harian.
“Jangan ingat bila tinggal di bandar saya tidak mengamalkan petua tradisi kerana pada dasarnya petua tradisi mempunyai rahsia kebaikan untuk kesihatan. Sebagai contoh, semasa berpantang selepas melahirkan cahayamata, saya mengamalkan pengambilan jamu yang dibuat sendiri oleh arwah nenek. Malah, saya mengamalkan pemakanan yang sihat di samping memastikan diri mendapat rehat yang secukupnya,” ujar Datin Dr Norazlin yang sememangnya prihatin terhadap penjagaan kesihatan secara keseluruhan.
Sebelum mengakhiri perbualan, Datin Dr Norazlin sempat menitipkan pesanan untuk wanita agar menjaga kesihatan apatah lagi selepas mencecah usia 40 tahun ke atas. Memandangkan dirinya mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan serta bersuamikan seorang pakar bedah, sudah semestinya gaya hidup sihat menjadi sebahagian dari amalan sehariannya.
“Setiap kali memperkatakan tentang kesihatan, sudah tentu aspek senaman perlu diberi perhatian. Tidak dinafikan senaman amat penting bukan sahaja untuk kekuatan stamina, malah memastikan sistem tubuh dapat berfungsi dengan baik. Apatah lagi apabila sudah berusia, bersenam amat penting untuk mencegah penyakit seperti tulang reput dan nyanyuk. Jadi saya amat sarankan wanita mengamalkan senaman sekurang-kurangnya seminggu sekali. Selain itu, dapatkan nasihat dan jalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dengan doktor agar kita mengetahui tahap kesihatan. Jangan lupa untuk menikmati makanan yang tidak diproses kerana ia membekalkan sumber nutrien yang baik untuk tubuh.
Selain itu, wanita usah culas untuk menjalani pemeriksaan mammogram dan pap smear untuk mengesan sebarang gejala kanser. Usah takut untuk melakukan pemeriksaan ini kerana pemeriksaan awal mampu menyelamatkan nyawa,”ujar Datin Dr Norazlin seraya mengakhiri perbualan.
This website uses cookies.