Terpesona dengan kecantikan yang dimiliki Miss Universe Indonesia 2013, Whulandary Herman ini. Mana tidaknya, walau pun sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak
serta bakal melahirkan anak kedua tidak lama lagi namun kejelitaan Whulan masih segar! Tidak keterlaluan jika penulis katakan rupa paras Whulan lebih berseri sejak bergelar isteri dan ibu. Pastinya sebab sedang diulit bahagia di samping insan tersayang.
Merahsiakan kehamilan keduanya daripada pengetahuan peminat, Whulan bagaimanapun berkongsi berita gembira tersebut pada awal Oktober lepas. Difahamkan ketika sambutan ulang tahun kelahiran pertama cahaya matanya, Nik Zayn pada Jun lalu… Whulan sedang berbadan dua.
Ads
“Hikmah semasa PKP beberapa bulan yang lalu. Negative Covid, positive hamil. Akhirnya doaku, doa Niki didengar Allah SWT untuk diberikan baby number 2. Alhamdulillah ya Allah SWT. Senang sekali bisa berbagi berita baik ini kepada seluruh keluarga online kami di mana pun berada. Mohon doakan aku dan adiknya Nik Zayn selamat dan lancar sampai persalinan ya. Hadiah ulang tahun terindah untuk Nik Zayn. Mama hamil 4 minggu ketika itu.
Aku doakan semoga teman-teman yang sedang berjuang menuju garis dua, diberikan kemudahan sama Allah SWT, berkat yakin dan usaha disertai doa. InshaAllah Allah SWT akan memberikan di waktu yang tepat, semangat ya.”
Pernah menjadi wajah penghias Nona tidak lama dulu, Whulan yang kini berusia 30 tahun seorang yang ramah dan senang didekati. Kaya dengan sifat rendah diri dan kelakar,
Whulan juga merupakan juara Puteri Indonesia 2013 sebelum mewakili Indonesia dalam pertandingan ratu cantik Miss Universe pada tahun yang sama.
Bersandarkan wajah cantik, susuk tubuh lampai dan rambut panjang mengurai… tidak hairanlah dia mampu meraih perhatian juri di pentas ratu cantik. Sememangnya Whulan memiliki pakej lengkap seorang ratu.
“Pertandingan Miss Universe nyata mengubah hidup saya 100 peratus. Sebelum ini saya juga terlibat dalam bidang modelling dan berlakon filem. Bagi saya, tanggungjawab jadi lebih besar bila dah bergelar public figure. Untuk itu saya akan pastikan setiap apa yang saya kongsi kepada masyarakat tidak kira dalam media sosial atau sebaliknya adalah perkongsian yang berguna kepada orang ramai.”
Saat ditanya rutin kecantikan, Whulan tanpa berselindung akui mengamalkan petua tradisi tinggalan nenek moyang. “Dari kecil mama sudah pakaikan minyak kemiri di rambut saya setiap kali sebelum tidur. Ia adalah petua dari nenek yang masih kami amalkan. Begitu juga lidah buaya yang saya tanam di rumah dan pakai untuk muka dan elak selulit. Malah sejak dulu mama ajar, sejauh mana kita ‘terbang’ sekalipun jangan lupa asal usul kita. Termasuklah dari cara merawat diri, interaksi dan sebagainya.
Bahkan lepas bersalin saya turut berpantang 44 hari seperti yang disaran suami dan keluarga. Masa pantang, saya memang pakai bengkung, param dan sapu perut dengan
kapur. Memang saya ni jenis ikut tradisi. Iyalah, kalau tak jaga nanti tinggal kenangan saja body Miss Universe ni,” selorohnya.
Ujar isteri Nik Ibrahim ini lagi, “Mungkin ada di antara ibu-ibu yang ada anak ramai jadi lupa macam mana nak merawat diri sebab terlalu sibuk. Kalau saya, waktu ‘me time’ selalunya Subuh. Contohnya sambil siapkan sarapan sambil tu kita rawat rambut atau kulit wajah. Penting bagi isteri menjaga kecantikan lepas bersalin. Jangan sampai suami pulang ke rumah dan nampak keadaan isteri tak terurus.
Ads
Mama nasihat, macam mana rupa kita pergi ke mall… macam tu jugalah kita kena cantikkan diri depan suami. Bukanlah maksud kena mekap tebal. Sekurang-kurangnya berdandan dan suami tengok pun tenang. Kalau suami pandang perempuan lain kita cemburu tapi bagaimana pula rupa kita depan suami? Adakah baik atau sebaliknya? Itulah yang mama selalu ajar dan ingatkan saya.
Bab makan pula saya jenis yang suka menu padang. Diet harian saya mesti ada ikan, sayur, daging dan nasi putih cuma saya lebihkan lauk daripada nasi. Ais krim pun saya makan sebab saya suka makanan yang manis tapi bersederhana. Cukup pukul 7 malam saya stop makan.”
Ads
Dikenali sebagai personaliti TV dan individu yang berpengalaman luas dalam pertandingan ratu cantik, Whulan kini merupakan pengusaha sebuah Beauty Camp dikenali sebagai
Artika Whulandary. Tidak sekadar mengajar wanita tentang cara berjalan, bercakap dan kemahiran berkomunikasi untuk bertanding dalam ratu cantik… Whulan juga menjalankan
perniagaan Dapur Universe yang mengetengahkan aneka sajian masakan Padang. Pandai Whulan merencana karier!
Selamat bergelar ibu pada tanggal 18 Jun 2019, ibu Nik Zayn Nik Ibrahim ini melahirkan cahaya mata sulungnya secara pembedahan memandangkan bayi lelaki yang dikandung
lahir pramatang. Dirisik tentang perkenalannya bersama suami tercinta, Whulan terbuka berkongsi kisah cinta yang terjalin dengan usahawan Malaysia berkenan.
“Semuanya bermula ketika saya sedang bercuti di Fiji Island sementara suami pula di Fuji Mountain. Kawan-kawan cuba kenalkan kami menerusi whatsapp group kerana mereka sangka kami bercuti di tempat yang sama. Suami ketika itu whatsapp saya secara peribadi dan mahu berjumpa. Lepas dia kongsi lokasinya, baru kami perasan yang tempat kami jauh beribu batu. Dan dari situlah sebenarnya bibit permulaan kami.
Kami sempat bertunang dan hanya enam bulan kenal, masing-masing setuju untuk nikah. Awal pertemuan dulu saya beritahu jika dia mahu serius dan sedang mencari isteri… saya sudah bersedia dan minta dia datang ke Indonesia untuk bertemu keluarga. Alhamdulillah, kami bahagia sampai sekarang,” akhiri Whulan yang gemar rutin senaman yoga dan boxing.
Kredit foto: Instagram Whulandary Herman
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Buah pinggang adalah antara organ yang paling penting dalam tubuh manusia. Kerosakan buah pinggang boleh membawa kepada penyakit yang serius atau kematian. Setiap buah pinggang mempunyai struktur dan fungsi yang sangat kompleks.
Buah pinggang mempunyai dua fungsi penting iaitu menyingkirkan sisa bahaya yang toksik dan mengekalkan keseimbangan air, cecair, mineral dan bahan kimia iaitu elektrolit seperti natrium, kalium dan sebagainya. Oleh itu, penjagaan buah pinggang amat penting untuk memastikan sistem tubuh dapat berfungsi sebaiknya.
Namun begitu, terdapat juga individu yang hidup dengan hanya mempunyai satu buah pinggang sahaja.
Penyanyi dan pelakon Indonesia, Acha Septriasa pernah mendedahkan bahawa dia pernah tidak menyedari bahawa dirinya hidup dengan hanya mempunyai satu buah pinggang sahaja.
Acha, 33, berkata, dia hanya menyedari tentang perkara itu sewaktu berusia 18 tahun ketika membuat pemeriksaan di hospital. Pelakon filem Layla Majnun ini memberitahu tabiat jarang minum air putih serta suka menahan kencing telah membongkar tentang keadaan kesihatan dirinya.
Ketika menginjak usia 18 tahun, hasil pemeriksaan USG, MRI serta CT Scan dilakukan dan hasil pemeriksaan mendapati selama ini Acha hidup dengan hanya satu buah pinggang sahaja.
“Ketika menjalani penggambaran filem saya sering pengsan kerana tidak kuat disebabkan perlu berada di lokasi sehingga 20 jam lamanya.
“Saya juga jarang minum air putih dan suka menahan kencing apatah lagi kalau terpaksa menempuh perjalanan jauh,” katanya.
Ekoran kerap pengsan, Acha mengambil keputusan ke hospital untuk membuat pemeriksaan selepas mengadu sering sakit pada bahagian perut sebelah kiri.
“Hasil pemeriksaan dan CT scan mendapati saya tidak mempunyai buah pinggang di bahagian kanan. Sepanjang hidup saya rupa-rupanya hanya bergantung pada satu ginjal sahaja,” ujarnya kini menetap di Australia memandangkan suami tercinta berkhidmat sebagai jurutera di sebuah syarikat teknologi di sana.
Ibu kepada seorang cahaya mata Bridgia Kalina Kharisma atau lebih mesra di sapa Brie berkata keadaan kesihatannya itu juga merupakan sesuatu yang memberi kejutan bukan sahaja untuk dirinya, malah turut memberi tamparan hebat buat kedua orang tuanya.
Jelas Acha, ibu bapanya juga tidak mengetahui tentang keadaan dirinya mungkin disebabkan ketika dia dilahirkan tiada alatan canggih untuk mengesan masalah itu.
Sementelah mempunyai satu buah pinggang, bagi pelakon yang memegang watak Roekmini dalam filem Kartini di samping Dian sastrowardoyo ini tidak melihat ia sebagai kekurangan buat dirinya tetapi dia perlu menjaga kesihatan dengan lebih teliti.
“Apa menjadi kesalahan kalau kita bekerja terlalu kuat dan tidak menjaga pemakanan sehingga buah pinggang terpaksa menampung beban. Akhirnya boleh menyebabkan buah pinggang rosak dan perlu menjalani rawatan dialisis,” katanya.
Sambung Acha lagi, dia tidak lagi minum sebarang minuman pewarna tiruan, malah minum air masak lebih banyak dari orang lain demi memastikan sistem kumbahan badannya dapat berfungsi dengan baik.
Meniti usia 32 tahun, Acha atau nama sebenarnya Jelita Septriasa kini menetap di Australia memandangkan suami tercinta berkhidmat sebagai jurutera di sebuah syarikat teknologi di sana.
Sering berkongsi aktiviti harian dengan pengikutnya di media sosial, jelas terserlah kehidupan bahagia Acha di samping keluarga tersayang. Malah, isteri Vicky Kharisma ini juga kelihatan makin cantik jelita! Sejak kehadiran cahaya mata sulungnya, Bridgia Kalina Kharisma pada 20 September 2017, kebahagiaan Acha sebagai ibu dan isteri semakin terserlah walaupun berada jauh di bumi kangaru.
Fakta Mengenai Buah Pinggang:
Kebanyakan orang (lelaki dan perempuan) mempunyai dua buah buah pinggang.
Buah pinggang terletak di bahagian atas dan belakang abdomen, pada sisi tulang belakang (lihat rajah). Tulang rusuk melindungi dua buah pinggang tersebut.
Buah pinggang terletak di dalam abdomen dan biasanya tidak boleh dirasa dari luar badan.
Buah pinggang adalah sepasang organ berbentuk kacang. Bagi orang dewasa, buah pinggang adalah kira-kira 10 cm panjang, 6 cm lebar dan 4 cm tebal. Berat setiap buah pinggang adalah kira-kiranya 150-170 gram.
Air kencing yang dihasilkan dalam buah pinggang mengalir ke pundi kencing dan kemudian melalui ureter. Setiap ureter adalah kira-kira 25 cm panjang dan strukturnya adalah seperti tiub berrongga yang terdiri daripada otot-otot khas.
Pundi kencing adalah organ kosong yang terdiri daripada otot, yang terletak di bahagian bawah dan bahagian belakang abdomen. Ia bertindak sebagai takungan atau simpangan air kencing.
Pundi kencing dewasa biasanya menakung kira-kira 400-500 ml air kencing; apabila penuh, seseorang akan merasakan dorongan untuk membuang air kecil.
Air kencing dalam pundi kencing dikeluarkan melalui uretra semasa proses membuang air kecil. Bagi wanita, uretra agak pendek, sementara ia lebih panjang bagi lelaki.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perasan tak bila kita rajin bersenam, muka pun semakin berseri-seri. Pelakon, model dan pengacara, Ramona Zamzam misalnya semakin hari semakin cantik. Siapa sangka satu masa dahulu kulit Ramona pernah breakout sampai dia terpaksa ‘berehat’ dari berlakon!
Ruang masa yang ada, Ramona gunakan untuk terus menjaga kesihatan dan kecantikan diri. Dalam tempoh kuarantin sejak PKP lalu, Ramona cukup gembira kerana dapat melakukan aktiviti senaman walaupun hanya dari rumah. Boleh ‘curi’ idea ni dari Ramona!
Bagi Ramona, kecantikan bukan perkara yang boleh dipandang remeh. Baik sewaktu belum berkahwin atau sudah mempunyai anak, penjagaan kecantikan tetap diutamakan. Cuma bezanya, ruang masa yang terhad membataskan untuk dia lebih fokus.
Sama sahaja sebelum dan selepas ada anak, cuma lepas ada anak lebih struggle untuk mencari masa terutamanya ketika tahun pertama. Saya sering membuat rawatan muka sebulan sekali dulu kerana kerjaya saya memerlukan saya menggunakan banyak makeup. Jadi secara tidak langsung muka menjadi kering dan apabila selalu dicuci ia kehilangan minyak semulajadinya. Saya akan ke salun kecantikan untuk refresh balik.
Apabila ada anak, paling susah sekali adalah untuk work out. Dulu, saya paling seronok dapat keluarkan peluh, buat senaman sebab kita rasa sangat puas dan sihat. Sekarang kalau ada masa, saya akan buat dua benda iaitu berenang kerana ia paling senang. Sejenis senaman yang membuatkan seluruh badan bergerak. Sangat vigorous. Work out the whole body. Kedua saya akan buat core work out, plank, sit-up, squad dan banyak lagi.
Membelek laman Instagramnya, Ramona banyak memperkenalkan jenama kecantikan untuk kulit wajah. Apabila sudah banyak terdedah dengan penggunaan chemical dalam solekan, tentu Ramona pernah mengalami masalah kulit.
“10 tahun lepas, saya mengalami masalah kulit wajah yang sangat teruk. Hampir setiap hari menjalani sesi penggambaran untuk modelling dan berlakon. Muka menang tidak pernah lekang dengan mekap sehingga menyebabkan kulit saya rosak.
Ketika itu saya memang tak tahu untuk menanggalkan solekan perlu gunakan cleanser water, makeup remover dan sebagainya. Saya hanya gunakan pencuci biasa sahaja.
Lama-kelamaan tumbuh bintik-bintik kecil memenuhi ruang wajah. Pernah juga saya menolak tawaran untuk penggambaran sebagai salah satu cara untuk ‘memberi kebebasan’ pada wajah daripada sebarang bahan kimia solekan pada kulit.
Beratus kali juga buat facial dan jaga pemakanan terutamanya buah dan sayur. Sayuran dan buah-buahan ini berkait rapat dengan penghadaman. Jika ada masalah penghadaman, boleh juga membuatkan kulit menjadi tidak sihat.”
“Saya gembira sangat dapat take a break daripada penggambaran kerana masuk saja tahun 2020 ni, jadual saya agak ketat. Somehow saya sangat bersyukur dengan saranan yang diambil pihak kerajaan ini,” katanya.
Kredit foto dan video: Instagram Ramona Zamzam
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terpegun melihat keanggunan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima ibni Almarhum Sultan Idris Afifullah Shah. Personaliti Tuanku yang mesra dan sentiasa mengukir senyuman membuatkan rakyat mengagumi keperibadian Raja Nazhatul Shima. Apatah lagi Raja Puan Besar Perak ini juga dikurniakan rupa paras cantik dan menawan.
Pernah menghiasi Majalah Nona edisi Jun 2016 dalam ruangan Tetamu VIP, Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima ialah anakanda kedua pasangan Almarhum Sultan Idris Shah II dan Almarhumah Raja Perempuan Muzwin. Kongsi Raja Nazhatul Shima kepada Nona pada ketika itu, kekanda sulung mangkat ketika berusia enam bulan pada tahun 1944.
Menelusuri latar belakang dan keperibadian Raja Puan Besar Perak ini, Raja Nazhatul Shima baru sahaja menyambut ulang tahun hari keputeraan ke-68 pada 28 Februari lalu. Yang pasti, mesti ramai rakyat ingin tahu bagaimana Raja Puan Besar Perak menjaga penampilan diri dan sentiasa tampil mempersona.
Mengimbas kembali persoalan tentang rahsia awet muda yang diamalkan sewaktu mengadakan sesi fotografi bersama Tuanku di Istana Riswin, Perak kira-kira empat tahun lepas… kekanda kepada Permaisuri Johor Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofia ini tertawa kecil.
“Eh, tak ada rahsia pun! Ambil wuduk selalu, automatik nanti wajah pasti berseri. Saya percaya pada ketenangan hati dan beristighfar selalu, insyaAllah. Amalkanlah!”
Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima turut dikurniakan lima orang putera iaitu Syed Saifullah Alsagoff, Syed Ibrahim, Syed Redzuan, Syed Shareef, Syed Idris dan Syed Iskandar.
Kredit foto: Instagram Raja Nazhatul Shima Idris
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tahniah diucapkan kepada pelakon dan penyampai radio popular, Shiera dan suami atas kelahiran cucu sulung mereka baru-baru ini. Terhibur tengok gelagat lucu pasangan suami isteri ini yang menyambut kehadiran cucu mereka di sebuah hospital swasta di Kuantan, Pahang ...