Siapa yang tak kenal dengan isteri kesayangan, mantan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Zinin ini, lebih-lebih lagi mereka yang minat dengan dunia masakan. Dah lah cantik, pandai masak pula tu sehingga bergelar cef selebriti. Wanita keturunan Yemen dan Turki ini juga tak lokek berkongsi resipi di laman media sosialnya. Semua sajian yang dikongsi oleh Puan Sri Nisa memang menggoda.
Puan Sri Nisa atau nama sebenarnya Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid memegang prinsip memasak makanan dengan penuh kasih sayang dan ikhlas kerana ia menghubungkan jiwa sesama manusia selain memberi kepuasan kepada diri sendiri. Memang benar kata Puan Sri Nisa tu, memasak bukan sekadar menyediakan hidangan tetapi mengeratkan hubungan dalam sebuah keluarga.
Puan Sri Nisa pernah mengharumkan nama Malaysia apabila mementaskan keunikan air tangannya di salah satu kota fesyen dunia terkenal dunia iaitu London, England. Pada Minggu Fesyen London 2018 Puan Sri Nisa diberi kesempatan menghidangkan pelbagai masakan Malaysia asli dan unik kepada semua hadirin yang terdiri daripada golongan VVIP di acara fesyen yang berprestij itu.
Walaupun memiliki kehidupan sempurna namun nenek kepada dua orang cucu ini begitu merendah diri dan kerap melakukan kerja amal. Salah satunya, Puan Sri Nisa menghulurkan bantuan menyediakan makanan untuk Frontliners yang bekerja 24 jam mendepani penularan pandemik COVID-19.
Mungkin kekuatan jiwa Puan Sri Nisa hadir kerana mengamalkan amalan yang baik dan dituntut oleh agama. Puan Sri Nisa telah berkongsi tentang amalan yang dilakukannya di laman media sosialnya.
Wanita cantik ini setiap hari akan berselamat 1000 kali, Istigfar 100 kali dan membaca surah Al-Waqiah serta Al-Mulk setiap malam. Puan Sri Nisa juga akan membaca surah Al-Kahfi 10 ayat awal dan akhir setiap pagi. Mungkin amalan yang dilakukan oleh Puan Sri Nisa boleh dijadikan panduan.
Tuah Wajah Cantik ANGELABABY, Catat Perkahwinan Termahal Di China & Miliki Kekayaan USD50 Juta!
Tercengang mengetahui perkahwinan gilang-gemilang selebriti China, Angelababy dan Huang Xiaoming ini bernilai tidak kurang daripada USD31 juta! Ia sekali gus menjadikan majlis resepsi pasangan selebriti popular negara tembok besar tersebut sebagai yang termahal pernah diadakan di sana. Mendapat gelaran ‘Chinese Kim Kardashian’ dari Vogue, Angelababy atau nama sebenarnya Yang Ying dilahirkan pada 28 Februari 1989 di Shanghai, China.
Ibu Angelababy berasal dari Shanghai sementara bapanya merupakan rakyat Hong Kong yang berketurunan Jerman dan China. Disebabkan perkahwinan campur itu, Angelababy mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris, Mandarin, Shanghai, Jepun dan Kantonis. Sepanjang pembabitannya dalam industri perfileman, aktres ini sudah menembusi
pasaran filem Hollywood antaranya menerusi filem Hitman: Agent 47 (2015) dan Independence Day: Resurgence (2016).
Pada tahun 2014, Angelababy dinobatkan sebagai Weibo Queen dan Weibo Goddess serta mempunyai lebih 100 juta followers dalam aplikasi media sosial popular China Weibo.
Laporan Forbes mendedahkan majlis bersejarah Angelababy dan Huang dianggarkan mencecah tidak kurang daripada USD31 juta. Meskipun perkahwinan tersebut diadakan hampir lima tahun lalu iaitu pada tahun 2015 namun kemewahan persandingan mereka masih tersenarai sebagai perkahwinan termewah di China hingga ke hari ini.
Bergelar isteri pada usia 26 tahun, gaun perkahwinan yang dipakai Angelababy nyata berjaya mencuri tumpuan. Mana tidaknya, gaun dari label mewah Perancis, Dior tersebut diperbuat daripada 115 kaki ivory satin organza dan 165 kaki tulle yang mengambil masa hampir lima bulan untuk disiapkan.
Bukan itu saja bahkan kek perkahwinan mereka setinggi 10 kaki dan berinspirasikan carousel juga mengambil masa selama sebulan untuk diselesaikan. Eksklusif sangat!
Menerusi Instagram milik Angelababy, jelitawan ini pernah berkongsi gambar cincin perkahwinan kepada peminat di laman media sosial. Apa yang mengejutkan ialah sebentuk
cincin bertatah berlian ‘Josephine Aigrette Imperiale’ rekaan jenama perhiasan mewah Paris, Chaumet berkenaan bernilai lebih USD1.5 juta!
Pada majlis persandingan yang diadakan 8 Oktober 2015… Angelababy dan suami menjemput seramai 2,000 tetamu ke majlis bersejarah mereka yang turut menyaksikan acara pra-perkahwinan diadakan di Paris dengan pengantin perempuan mengenakan persalinan mewah dan anggun dari Elie Saab. Paling best, tetamu yang hadir menerima bermacam-macam cenderahati dan salah satunya berupa telefon pintar Meitu!
Bukan hanya dikurniakan rupa paras cantik, comel, bergaya dan kaya… nama Angelababy juga dikenali di China dan Hong Kong. Memulakan karier sebagai pelakon dan model,
personaliti ini menarik perhatian dunia apabila dia berkahwin dengan pelakon terkenal China, Huang Xiaoming yang 11 tahun berusia darinya. Angelababy dan Huang dikatakan menjalin hubungan cinta selama beberapa tahun dan hanya mendedahkan kepada umum tentang perhubungan mereka pada tahun 2014.
Sejak kecil Angelababy sudah didedahkan dengan dunia fesyen memandangkan bapanya memiliki empayar fesyen di Shanghai. Bagaikan sudah sebati dengan kerjaya bapa
tersayang, wanita berjiwa besar ini begitu tertarik dengan fesyen dan menceburkan diri dalam bidang peragaan.
Bersandarkan wajah sempurna, susuk tubuh tinggi lampai dan cita rasa fesyennya Angelababy telah menandatangani kontrak bersama Style International Management ketika usianya baru mencecah 14 tahun iaitu setahun selepas dia berhijrah ke Hong Kong.
Mewarisi bakat berniaga dari bapanya, selebriti ini juga mengusahakan perniagaan berasaskan kecantikan, kafe dan butik pakaian. Antara empayar yang diusahakan Angelababy termasuk butik merias kuku dan kafe yang dikendalikan bersama seorang aktor Hong Kong. Malah, dia juga terlibat dalam pelaburan berskala besar serta aktif sebagai aktivis.
Berdasarkan populariti yang diraih, Angelababy telah dilantik wajah kempen Christian Dior di China selain merupakan antara artis paling kaya di Hong Kong yang memiliki kekayaan USD50 juta. Begitu juga suaminya yang mengutip USD80 juta.
Sebagai menghargai jasa peminat dan masyarakat di sana, pasangan ini berbesar hati memberi sumbangan berjumlah USD2.5 juta sebagai dana untuk membantu graduan
universiti memulakan perniagaan atau mencari pekerjaan. Pada tahun 2016, Forbes mengiktiraf Angelababy sebagai salah seorang daripada Top 30 selebriti muzik, atlet dan bintang filem bawah umur 30 tahun yang mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing.
Ketika China dilanda wabak Coronavirus, pasangan suami isteri yang juga selebriti ternama China iaitu Angelababy dan Huang Xiaoming tanpa berlengah menghulurkan sumbangan semampu mereka bagi mengekang virus tersebut terus dijangkiti ramai. Khabarnya, bantuan yang diberikan mereka bukan sedikit. Sebaliknya melibatkan sejumlah wang yang besar iaitu 200,000 yuan atau bersamaan RM117,700!
Wang derma berkenaan adalah sebagai bantuan membeli surgical mask untuk diagihkan kepada petugas perubatan di Wuhan yang ketika ini diserang Covid-19. Walaupun tidak menguar-uarkan bantuan mereka kepada umum namun usaha murni Angelababy dan Huang diketahui ramai apabila China Siyuan Project Poverty Alleviation Foundation yang menerima wang derma tersebut mendedahkan sumbangan pasangan selebriti ini menerusi platform Weibo.
Sesuatu yang menarik menanti di sini.
Sumber: Forbes & Showbizz Daily
10 Tahun Jadi Usahawan ‘Birdnest’, Kejayaan Datin Fouziah Gous Jadi Inspirasi & Optimis Berniaga!
Kagum dengan pencapaian dan semangat Datin Fouziah Gous sebagai usahawan. Walau bermula sebagai model dan anak seni, kini namanya bukan lagi asing dalam dunia keusahawanan. Apatah lagi empayar perniagaan FG Walet miliknya sudah pun berada di pasaran luar negara.
Diasaskan pada tahun 2013, pembuatan produk FG Walet mendapat sijil perakuan antaranya Good Manufacturing Practise (GMP), Hazard Analysis and Critical Point (HACCP), Halal dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MESTI).
Ibu dua anak yang juga isteri Datuk Md Zhafran Md Yusof ini rancak menguruskan bisnes berasaskan sarang burung atau lebih dikenali sebagai FG Walet. Saban tahun, pelbagai pencapaian baharu diraih Datin Fouziah.
Percaya dan merasai sendiri keberkesanan khasiat sarang burung terhadap kesihatan, pengacara ini mendedahkan dia terbuka hati untuk mengusahakan produk sendiri dengan tujuan untuk berkongsi manfaat sama dengan orang ramai.
Kongsinya di media sosial satu ketika dulu, “FG Walet Premium Birdsnest (by hand) ni lah my first baby. 10 years back gigih masak sampai 4 jam (whole process) di rumah.
Sebab saya ada eczema, alhamdulillah dengan mengamalkan FG Walet Birdsnest lebih dari 10 tahun sebenarnya, banyak perubahan.
Sampai sekarang saya minum setiap hari. Ia betul-betul memberi kesan yang terbaik untuk kulit saya dan kekal muda. Selepas mengamalkan, saya mengambil keputusan untuk menjual. Makan masa bertahun untuk menjadikan product.
Iyalah masa tu orang tak kenal sarang burung, takde reference untuk follow. Semua benda perlu buat sendiri. Sehingga sarang burung menjadi satu fenomena baru.
Bukan sahaja FV Walet dapat lahirkan partner yang berjaya tapi ramai juga peniaga mula jadikan FG Walet sebagai rujukan untuk mereka membuat bisnes. Alhamdulillah ini semua rezeki dari Allah SWT.
Setiap hari dapat testimoni yang positif dan pujian dari pengamal FG Walet. Alhamdulillah itulah rezeki yang berharga buat saya. Bila ia memberi manfaat kepada orang lain, ia merupakan satu kejayaan buat saya.”
Lebih manis, Datin Fouziah turut memberitahu produk FG Walet pada September tahun lalu mendapat pujian dan terima tempahan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Matrade sendiri.
“The caller has expressed his satisfaction consuming FgWalet product and place an order for 1 Carton Premium FGWALET Birdsnest. Later, baru introduced himself siapa.
Rupa-rupanya Datuk Mustafa CEO Matrade! Nasib baik jawab phone. Jarang-jarang jawab number tak kenal. So pagi-pagi terus pergi hantar sendiri dengan Zhaf.
Alhamdulillah, rezeki dapat hantar sendiri dan dapat luangkan masa sebentar bersama CEO Matrade.”
Menelusuri perjalanan FG Walet, selepas berjaya melancarkan mesin inovasi minuman kesihatan pertama di Malaysia, Datin Fouziah turut meluaskan empayar niaga melalui kerjasama dengan Circle K Vietnam iaitu rangkaian kedai serbaneka terkenal yang mempunyai ratusan outlet di seluruh dunia sekitar bulan November 2019.
Malah, dia turut pernah menerima penganugerahan The Asia Halal Brand Awards.
Dari Minat Jadi Kerjaya, PUAN SRI NISA Bangga Bawa Masakan Tradisi Sampai Kota London!
Puan Sri Nisa Bakri nyata bukan calang-calang wanita. Kejayaan yang diraih beliau bukan hanya dalam industri kulinari tempatan malah diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa. Salah satu pencapaian membanggakan yang terpahat segar di ingatan Puan Sri Nisa pastinya saat beliau berjaya membawa masakan warisan Malaysia sampai ke Kota London!
Menceritakan kembali perjalanan awal dalam bidang ini, pemilik nama Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid ini mengakui aktiviti memasak pada mulanya hanya dijadikan sekadar hobi. Namun lama-kelamaan isteri Tan Sri Mohd Bakri Zinin ini memilih dunia kulinari sebagai kerjaya.
Beliau yang mempunyai kelulusan dalam bidang ekonomi dan kewangan telah menempa nama dan reputasi cemerlang sepanjang bergelar cef selebriti.
“Memasak ini memang hobi saya dan dari hobi itu ia kemudian berputik menjadi passion. Sejak suami bersara kira-kira enam tahun lepas, saya banyak menghabiskan masa dengan memasak di rumah. Sepanjang aktif memasak ini juga saya akhirnya berjaya keluarkan buku masakan dan ada program masakan sendiri.
Tak sangka dari hobi, ia makin menjadi-jadi. Ingat hendak berehat dah, tapi Tan Sri faham minat saya dalam dunia masakan dan mahu saya teruskan minat ini. Mengenai pencapaian terbaik, alhamdulillah pada bulan Ramadan tahun lalu saya dapat buat program masakan sendiri yang disiarkan di saluran TV Okey bersama artis-artis tersohor negara.
Itu adalah salah satu pencapaian bermakna bagi saya. Keduanya pula ialah apabila saya dapat masak di London Fashion Week 2018. Saya buat masakan warisan Malaysia untuk empat fashion show melibatkan 700 orang. Memang ia pencapaian berharga buat saya,” telus Puan Sri Nisa yang merupakan penulis buku masakan, I Am Not A Chef.
Buku masakan yang diterbitkan pada tahun 2015 tersebut merupakan sebuah karya unik beliau berkonsepkan Romance, Food and Love yang menghimpunkan 25 resipi tradisional. Selepas kejayaan menerbitkan buku masakan sendiri, Puan Sri Nisa turut mendapat pengiktirafan sebagai Top Outstanding Gourmet Ambassador di World Gourmet Award 2018 selain dilantik Culinary Advisor oleh World Gourmet Award Association 2019.
Pada tahun sama juga Puan Sri Nisa menerima Anugerah Outstanding ASEAN Women Enterpreneur Award 2019 anjuran Awen iaitu ASEAN Women Entrepreneur Network di Bangkok, Thailand.
Berbicara soal rutin harian, Puan Sri Nisa mengambil manfaat situasi pandemik Covid-19 untuk mengajak semua kakitangannya tampil lebih kreatif dan berani mencuba strategi pemasaran baharu dalam usaha menarik semula permintaan pasaran.
Antara inisiatif yang dijalankan adalah pengenalan pek makanan, menyediakan makanan DIY, membantu golongan wanita yang diberhentikan kerja menjana pendapatan dari rumah, menyediakan modul perniagaan dari rumah, memantapkan jenama NisaBakri secara dalam talian, mengadakan kelas makanan online dan kelas masakan untuk kanak-kanak.
“Setiap minggu hari Jumaat, NisaBakri (NB) Gourmet akan tutup katering untuk public business. Kami ambil hari Jumaat untuk memasak bagi pihak pemberi sumbangan sebelum diagihkan kepada anak-anak yatim, gelandangan, warga emas, petugas barisan hadapan dan golongan yang memerlukan makanan sihat dan lazat.
Individu-individu yang memberi sumbangan kepada NB Gourmet ini percaya dengan kebolehan kami untuk melaksanakan niat mereka sebab kami amat mementingkan masakan yang sihat tanpa pengawet atau preservatives.
Sejujurnya, saya sudah mulakan program ‘Friday Givings’ ini sejak enam tahun lepas. Sekarang alhamdulillah, ramai yang sudah tahu program berkenaan. Hari Jumaat ialah hari paling istimewa buat saya dan saya sendiri akan masak untuk insan-insan istimewa berkenaan.
Antara menu yang disediakan ialah Biryani Ayam Yemen, Biryani Grill, Ayam Masak Merah, Lontong Ayam Sayur, Daging Dendeng dan banyak lagi,” jelas Puan Sri Nisa yang mengambil tempahan makanan bagi tujuan kebajikan.
Terinspirasi dengan gaya hidup Puan Sri Nisa. Meskipun sibuk mengurus keluarga, cucu dan anak, tetap komited dengan bisnes yang diusahakan. Moga kejayaan beliau menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai wanita.
Kredit foto: Instagram Puan Sri Nisa Bakri