Selebriti dari Indonesia yang terkenal dengan raut wajah comel, Acha Septriasa kini sedang meniti momen indah untuk bergelar seorang ibu.
Bakal melahirkan cahaya mata sulung pada 19 September depan, pujian harus diberikan kepada Acha dan suaminya, Vicky Kharisma yang tidak lupa mensyukuri nikmat kehamilan dengan mengadakan majlis kesyukuran sekitar hujung April lalu ketika usia kandungannya mencecah empat bulan.
Dalam majlis ringkas itu, Acha dan suami serta ahli keluarga mengenakan pakaian sedondon berwarna putih.
Ayu mengenakan kerudung kepala, kedua-dua pasangan romantis ini juga berkesempatan membacakan ayat suci Al-Quran termasuk surah Yusuf dan Maryam.
Seperti yang diketahui, kedua-dua surah tersebut memiliki keistimewaan yang tersendiri termasuk memberi kemudahan kepada ibu untuk bersalin, memperoleh anak yang cantik rupa, akhlak, sabar dan taat.
Moga segala urusan Acha dan suami dipermudahkan dan dikurniakan anak yang sihat dan soleh.
Persediaan Emosi Ibu Hamil
Hanya wanita bergelar ibu saja tahu betapa besar ujian yang pernah mereka tanggung. Biar betapa perit kesakitan yang dialami sebelum, semasa dan selepas hamil, mereka tak pernah takut untuk menghadapi fasa sama berulang kali demi kesinambungan zuriat.
Ya Allah, besar sungguh kurniaan yang diberikan kepada wanita!
Selain menitikberatkan soal kesihatan diri, para ibu hamil khususnya yang beragama Islam amat disarankan untuk mengamalkan surah-surah lazim sepanjang tempoh kehamilan.
Disamping dapat mendekatkan diri pada Yang Maha Esa, ia juga sebagai pendedahan awal ibu kepada bayi dengan ayat-ayat suci Al-Quran. Dalam masa sama menenangkan jiwa dan memberi kesan positif kepada kedua-duanya.
7 Surah-Surah Amalan Sewaktu Hamil
(1) Surah Al-Fatihah
Bagi memenangkan hati dan menguatkan daya ingatan.
(2) Surah Yusuf
Untuk memperoleh anak yang cantik rupa dan cantik akhlak dengan izin Allah.
(3) Surah Yaasin
Juga untuk ketenangan hati dan memohon anak yang teguh hati dan tidak terpengaruh dengan kejahatan.
(4) Surah Luqman
Untuk memperoleh anak cerdik akal dan jiwa.
(5) Surah Maryam
Bagi memudahkan ibu bersalin dan memperoleh anak yang sabar dan taat.
(6) Surah At-Taubah
Membersihkan jiwa dan terpelihara daripada sebarang maksiat.
(7) Surah Al-Hujurat
Baik untuk memperbanyakkan susu ibu.
Sebenarnya, masih banyak lagi surah yang boleh diamalkan oleh ibu hamil. Jika dapat khatam Al-Quran sepanjang kehamilan amat digalakkan namun jika tidak berkemampuan, mengamalkan surah-surah yang dinyatakan di atas sudah memadai.
Tidak dilupakan juga untuk sentiasa basahkan lidah dengan memperbanyak bacaan kalimat :
‘Laa haula walaa quwwata illaa billaah’ – yang membawa erti tiada daya dan kekuatan melainkan kerana pertolongan Allah. Juga, lafaz istighfar Astaghfirullaah serta selawat ke atas Rasulullah SAW. Suziana Abu Daud
This website uses cookies.