AMANAT Tahun Baru Editor NONA! Anda Adalah #NONASUPERWOMAN2018

Seperti yang dijangkakan cabaran tahun 2018 akan lebih hebat dan sengit. Jadi gerakan kung fu kita harus lebih pantas. Tidak boleh terus selesa menarikan rentak perlahan sedangkan waktu begitu pantas mengejar kita. Jika kisah semalam ada yang meninggalkan luka dan keperitan, ini masanya untuk kita terus bangun dan ‘move on’!

Alhamdulillah ternyata, tugas di bidang penerbitan ini banyak mengajar saya berlari dalam merancang sesuatu. Berlari untuk menguasai dunia digital yang menuntut segala-galanya dengan pantas dan menjadi lebih kreatif dalam merealisasikan sesuatu yang mampu menjadi perhatian mata umum. Biarpun terkadang rasa juga sesak untuk bernafas, maklumlah dalam usia begini ingin bersaing bersama generasi muda.

Namun, saya bersyukur semakin hari, saya semakin matang memahami kehendak yang diinginkan oleh follower dan pembaca Majalah NONA. Saya amat bersyukur Majalah NONA secara fizikalnya masih kekal berada 32 tahun di pasaran ini. Anda pembaca yang bertuah masih dapat merasai nikmat bacaan majalah ini secara fizikalnya. Bukan mudah untuk terus bertahan dalam dunia kepupusan ini tetapi saya percaya dengan sokongan yang tidak putus Majalah Nona akan terus berada dalam industri penerbitan, biarpun fokus utama kami sekarang untuk menawan dunia digital Nusantara keseluruhannya.

Tahun baru, Majalah NONA terus melangkah dalam usia yang lebih matang tetapi bukan tua, tidak juga uzur. Suntikan idea-idea baru sentiasa kami usahakan agar wajah dan penampilannya lebih segar. Bukan gaya botok tetapi secara semula jadi… REALITI IMPIAN WANITA mempunyai maksud yang nyata. Saya mahu setiap paparan yang disampaikan menjadi pendorong kepada wanita Malaysia untuk mengubah hidup agar lebih sukses. Menjadikan Majalah NONA sebagai inspirasi utama dalam meningkatkan karier dan taraf kehidupan.  Mengetengahkan wanita-wanita yang cantik, senang, sukses dan kaya bukan bermaksud mengetepikan keperluan pembaca golongan pertengahan. Saya dan team editorial punya matlamat untuk anda sama-sama mencapai sebuah kehidupan yang lebih baik dan memiliki cita rasa tersendiri.

Pada tahun 2017 ini banyak sekali kejadian yang telah berlaku, sempena kehadiran tahun 2018 marilah kita ambil hikmah dan pelajaran agar kita terus ke depan dan menjadi manusia yang lebih berguna dan terhindar daripada negatif, efek daripada perkembangan zaman yang begitu cepat berubah. Paling penting hati kita tidak berubah, sentiasa bersih hatinya. Hati yang indah akan melahirkan kata-kata yang indah dan setiap bait ucapan kita itu adalah cermin pada keperibadian diri.

Marilah kita bersama mempersiapkan diri ke arah lebih sukses dan cemerlang. Kebahagiaan kita bukan orang lain yang menentukannya, tetapi diri mu sendiri, semoga pada tahun baru 2018 ini menentukan bahagia masa depan kita bersama. Banyak harapan serta doa dipanjatkan untuk sebuah kehidupan yang lebih baik. Tinggalkan segala bentuk kesedihan yang telah berlalu biarkanlah ia berlalu. Bebaskanlah… Mari kita mulai mengharungi hidup yang baru dengan penuh semangat dan optimis. KR

 

 

 

 

Share
Published by
Suzi