Siapa kata lelaki tak pandai hias rumah? Lihatlah kediaman bujang ini, milik Pengasas Charismatic Leaders Academy (CLA), Said Saiful Fazli. Baru saja berusia 31 tahun tetapi sudah mampu memiliki kediaman sendiri terletak di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur.
Mesra disapa sebagai Said, dia memilih untuk tinggal bersendirian di kediaman ini agar dapat menikmati suasana lebih privasi sambil menyaksikan keindahan KLCC yang tersergam indah di ruang balkoni.
Penulis sendiri teruja melihat dekorasi kediamannya yang terpapar indah di depan mata. Nuansa moden yang diadun bersama elemen mewah serta elegan diserlahkan lagi dengan kombinasi rona putih dan biru menyerlahkan kedamaian.
Bijak sungguh Said merencana idea dekorasi untuk ruang kediaman jenis kondo yang didiaminya sejak setahun lalu. Walaupun keluasannya sekitar 1700 kaki persegi Said berjaya mengubah ruang asal menjadi lebih hebat. Idea dan cita rasanya berjaya direalisasikan oleh pereka hiasan dalam profesional pilihan Said sendiri.
“Semasa mula-mula beli rumah ini kosong saja. Saya ubah suai hampir 90% antaranya menambah petisyen dan wainscoting
di seluruh dinding. Saya memang obses dengan kedua-dua elemen ini kerana ia memberi kesan classy pada ruang kediaman.Saya tidak suka ruang yang kelihatan terlalu sarat. Maka, saya cuba elak penggunaan aksesori mahupun perabot yang tak diperlukan. Lagi pun ruang yang terlalu penuh menyebabkan habuk mudah terkumpul,”kongsi Said yang memilih gaya Inggeris moden sebagai konsep utama kediaman.
Ruang tamu adalah sudut paling digemari oleh Said kerana pemandangannya yang mendamaikan. Kombinasi rona biru, silver dan gold menyerlahkan gaya elegan di ruang tamu.
Menjadikan Dato’ Rizalman sebagai sumber inspirasi serta rujukan dalam penataan gaya kediaman, Said sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik demi kediaman kesayangannya itu.
“Sejujurnya saya berpendapat Dato’ Rizalman seorang yang sangat kreatif, teliti, bercita rasa tinggi dan ada kelas tersendiri. Antara koleksi dekor beliau yang pernah saya beli ialah pasu hiasan kerana saya seorang penggemar pasu yang unik” akhiri Saiful sambil tersenyum.
This website uses cookies.