Nampaknya rezeki pasangan selebriti Nabil Mahir dan Ayda Jebat semakin mencurah-curah sejak dikurniakan cahaya mata. Mana tidaknya, dalam usia bakal mencecah dua tahun September ini, Ana Nayla telah dilamar menjadi duta untuk beberapa jenama anatarabangsa!
Terbaharu, keluarga selebriti ini telah dilantik sebagai duta Chicco, jenama barangan bayi dan kanak-kanak terkemuka yang berasal dari Itali.
“Pada awalnya saya risau. Bukan mudah untuk menjalani penggambaran dan sesi fotografi, orang dewasa pun penat, apatah lagi bayi,”ujar Ayda Jebat ketika diminta mengulas mengenai rezeki anaknya, Ana Nayla yang mula dilamar menjadi duta untuk beberapa jenama.
KONGSI KISAH DI SEBALIK TABIR
Menurut Ayda, dia dan suami, pengacara Nabil Mahir meletakkan syarat sekiranya ada pihak mahu mengambil Nayla menjadi duta.
“Nayla bakal menginjak usia dua tahun pada September ini. Mula-mula memang saya dan suami risau, takut Nayla penat ketika menjalani penggambaran atau sesi fotografi. Namun, bila difikirkan semula, ini rezeki anak dan barangan yang mahu menjalinkan kolaborasi pula sesuai untuk bayi dan kanak-kanak. Malah Nayla pun sememangnya menggunakan jenama terbabit.
“Jadi, kami letakkan syarat jika mahu melakukan sesi penggambaran dan fotografi, mestilah ia dihabiskan secepat mungkin. Syukur, ketika sesi terbabit berlangsung, Nayla memberikan kerjasama yang baik dan dia suka dengan suasana di set penggambaran.
Kami memberikan Nayla rehat secukupnya serta memainkan lagu kegemarannya ketika sesi terbabit,” kata Ayda.
Pada majlis yang sama, Chicco turut melancarkan produk terbaharu mereka iaitu ‘sterilizer’, ‘dryer’, ‘bottle warmer’ dan ‘MYSA stroller’.
Menganggap peluang yang diberikan Chicco sebagai rezeki, Ayda menyimpan semua bayaran yang diterima Nayla dalam akaun simpanan.
“Nayla sudah ada akaun bank sejak usianya enam bulan. Semua bayaran yang diterima Nayla disimpan dalam akaun miliknya. Selain itu, saya dan suami juga memperuntukan bayaran yang kami terima dalam setiap kerja seni dan kerjasama dengan jenama untuk Nayla.
“Kerjasama Chicco ini memang kami anggap rezeki Nayla. Kami memang menggunakan produk ini semenjak Nayla lahir dan ia memang berkualiti serta mudah untuk digunakan. Semoga apa yang diterima Nayla boleh digunakan untuk Pendidikan dan masa depan Nayla,” katanya lagi.
This website uses cookies.