Anak 5 Tapi Badan Tetap Langsing Datin Jaja Kongsi Rahsia Berpantang

Pertama kali bersua muka dengan wajah jelita persis kakak kesayangannya Rozita Che Wan ini telah membuat mata tidak berhenti memandang. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui beliau mempunyai lima orang anak yang masih kecil. Memiliki tubuh langsing bak anak dara membuatkan Datin Rohaiza Che Wan atau mesra di sapa Datin Jaja ini pasti menjadi idola setiap wanita.

Memiliki anugerah bertubuh tinggi membuatkan penampilan Datin Jaja pasti mencuri tumpuan di setiap majlis yang dihadirinya. Sudah lah berwajah cantik sikap ramah-tamahnya menambat hati sesiapa sahaja yang mendampinginya malah tidak lokek berkongsi rahsia kecantikannya.

“Sebenarnya saya tidak mempunyai rahsia kecantikan yang khusus. Namun, apa yang boleh saya kongsi adalah amalan ketika berpantang selepas melahirkan anak. Saya jenis seorang yang kuat berpantang selepas melahirkan anak. Lebih-lebih lagi apabila jarak umur anak-anak saya sangat rapat. Oleh itu penjagaan amalan berpantang sangat penting.

Saya mahu kelihatan cantik dan bertenaga seperti mak. Saya patuh semua pantang larang yang mak ajar ketika berpantang. Pemakanan sangat penting ketika berpantang, saya cuma amalkan makan nasi panas dan halba serta ulam. Di samping itu saya juga banyak makan pegaga untuk memperbanyakkan aliran susu sebab saya menyusukan anak secara eksklusif selama dua tahun. Mungkin menyusukan anak ini merupakan ‘perancang keluarga’ saya sementelah saya tidak mengamalkan apa-apa jenis perancang keluarga.

Jika ada yang bertanya bagaimana saya menguruskan masa dengan mempunyai anak-anak yang masih kecil, bagi saya tiada sebarang cabaran. Ini kerana apabila umur mereka rapat rutin harian saya tidak berubah. Sejak melahirkan anak pertama sehingga anak kelima saya sudah terbiasa untuk bangun malam menyusukan anak atau menukar lampin mereka. Bagi saya cabaran datang apabila kita sudah lama tidak mempunyai anak kecil dan sudah terbiasa tidak bangun malam untuk menyusukan anak tetapi tiba-tiba mempunyai anak baru lahir. Ketika itu rutin harian sudah lari dan pasti menimbulkan masalah.

Jika diizinkan Allah SWT saya mahu mendapat seorang anak lagi dan kalau boleh kali ini saya mahu anak lelaki untuk menjadi kawan kepada Fareez,” tutur ibu kepada Nur Fa’iqah Faiza Muhammad Faizal, 9 tahun, Nur Fa’izah Faiza Muhammad Faizal, 7 tahun, Muhammad Fareez Faiza Muhammad Faizal, 5 tahun, Nur Fareeqah Faiza Muhammad Faizal, 4 tahun dan Nur Fareeda Faiza Muhammad Faizal 2 tahun, ini.

*Kredit gambar: Instagram @jcw_81

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan