Terkejut bila dapat tahu suami kepada Ziana Zain, Armin Zaharin didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini. Merujuk laporan Sinar Harian, penahanan Armin dibuat atas pertuduhan dengan sengaja menggunakan rotan terhadap anaknya hingga menyebabkan luka dan lebam di kediaman mereka pada 25 Februari lalu.
“Saya ajar anak solat dan mengaji, tetapi dia tak faham. Saya tak dera anak! Saya mohon jaminan rendah dibenarkan,” jelas Armin Zaharin Ahmad Zambri yang kelihatan agak tidak terurus ketika ditahan dengan memakai T-Shirt polos berwarna kelabu.
Sementara itu, ketika Nona menghubungi Ziana Zain untuk mendapatkan reaksinya berhubung perkara tersebut, ini pesan beliau. “Saya tak boleh komen lanjut sebab kes mahkamah. Ini terlalu peribadi. Doakan yang terbaik.”
Pendakwaan ke atas Armin dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan. Majistret, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin bagaimana pun membenarkan jaminan RM5, 000 dengan seorang penjamin.
Dalam pada itu mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes bekas Pramugara Kanan Malaysia Airlines itu pada 4 April depan.
Armin, 53 tahun ditangkap pada 2 Mac lalu selepas Ziana Zain membuat laporan polis pada 27 Februari. Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana yang pernah popular dengan lagu Putus Terpaksa telah mendirikan rumah tangga bersama Armin sejak 9 Mei 1998.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 18, Muhammad Ammar, 14 dan anak kembar, Muhammad Ariel serta Siti Nur Kaseh, 9 tahun.
Harapan kami agar segalanya dipermudahkan dan sama-samalah mendoakan yang terbaik buat Ziana serta keluarga. Sebagai orang luar yang tidak tahu pucuk pangkal tentang isu ini, hentikan menyebar persepsi negatif tentang Ziana mahupun Armin. Hanya mereka berdua saja tahu apa sebenarnya yang terjadi.
This website uses cookies.