Cantiknya Dr Syafiqa Hayra di majlis pertunangan baru-baru ini. Ternyata, anak gadis Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr Os ini bukan hanya seorang wanita yang cantik. Malah dia juga berpendidikan tinggi, sopan-santun dan cukup menghormati orang tua.
Meniti usia 30 tahun, Dr Syafiqa pada 19 Jun lepas berkongsi detik bahagianya apabila bergelar tunangan orang. Anggun dalam persalinan merah jambu, terserlah seri wajah anak sulung daripada dua beradik ini.
Ketika dihubungi Nona, graduan Bachelor of Medicine and Surgery (MBBCh) Mansoura-Manchester, Mansoura University, Mesir ini mesra menyambut panggilan penulis dan terbuka berkongsi khabar gembira berkenaan.
Difahamkan Dr Syafiqa mula mengenali tunangnya itu sejak setahun lalu dan umur sebaya. “Kami berkenalan melalui mutual friends. Dia ialah kenalan kepada kawan saya yang merupakan graduan Masters of Mechanical Engineering dari University of Strathclyde, Glasgow, United Kingdom.
Sepanjang perkenalan kami, saya lihat dia seorang yang bekerja keras dan berwawasan tinggi. Tunang saya sekarang bekerja di sebuah syarikat perunding kejuruteraan. Dia juga dalam proses untuk menjadi seorang ‘Professional Engineer with Practising Certificate (PEPC)’.
InsyaAllah dia akan diiktiraf sebagai Jurutera Bertauliah/Accredited Engineer dengan kelayakan Inseniur (Ir.) dalam masa terdekat ini.”
Mengulas penerimaan keluarga tersayang, Dr Syafiqa yang kini bertugas di Klinik Pusrawi Batu Muda bersyukur ibunya merestui hubungan mereka.
“Ibu saya menerima tunang dengan sebaiknya memandangkan dia seorang yang sangat ramah, menghormati orang tua, humble dan jujur. Majlis nikah dan resepsi masih dalam perancangan insyaAllah pada hujung tahun ini. Tema pun masih lagi dalam perancangan.”
Tambahnya lagi, dia sekeluarga mengadakan majlis pertunangan tersebut secara sederhana. Bahkan baju tunang Dr Syafiqa ialah baju yang sama digayakan ketika Hari Raya.
“Baju majlis tunang simple saja, hanya pakai baju raya saya dari Jlabella Atelier dan bertempat di rumah keluarga saya di Kuala Lumpur. Pelamin dari Azzuieena Couture.”
Ditanya keistimewaan jejaka berkenaan di matanya, Dr Syafiqa berkata dia terpikat dengan keperibadian yang dimiliki.
“Dia seorang yang kelakar dan selalu menghiburkan saya, cerdik, berpendidikan tinggi, baik dan peramah. Kami berdua boleh dikatakan ‘sekepala’ dari aspek pemikiran, visi dan misi hidup.
Dia juga sentiasa ada ketika saya dalam kesusahan, selalu beri ketenangan kepada saya, dan selalu memudahkan urusan saya. Ada satu ketika saya terlibat dalam kemalangan
yang hampir meragut nyawa pada awal tahun ini akibat microsleep dalam perjalanan pergi ke kerja.
Waktu itu kami hanya sekadar kawan sahaja. Dia sanggup datang dari KL ke Gerik di tempat saya bekerja, kemudian hantar saya pulang ke rumah saya di KL.
Ketika itu terlintas di fikiran saya mungkin dia adalah jodoh yang terbaik untuk saya. Tak semua orang sanggup untuk berkorban membantu saya ketika itu.”
Semoga ikatan suci dan mahligai yang bakal dibina anak selebriti Allahyarham Mr Os dan tunangnya ini berjalan lancar, dipermudah segala urusan dan berkekalan hingga ke Jannah.
Dalam pada itu, wanita berjiwa besar ini turut memberitahu bakal membuka klinik miliknya sendiri pada tahun hadapan.
Dr Syafiqa kehilangan sosok bapa tersayang iaitu pelawak Mr Os pada 8 April 2016 ketika dia masih belajar di Mesir dan hanya dapat berbicara kali terakhir dengan bapanya melalui skype video call.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/kesayangan-kajol-ajay-makin-hot-nysa-devgan-kini-20-tahun-tumpuan-paparazzi/