Datin Adzliana atau mesra dengan panggilan Datin Nana merupakan seorang wanita berdedikasi dan memiliki misi yang jelas untuk memartabatkan kaum wanita dalam arena keusahawanan. Lahir dalam keluarga yang mempunyai empayar niaga sendiri nyata bukan tiket mudah bagi figura ini untuk hidup bersenang-lenang.
Sebaliknya, beliau dididik mempelajari selok-belok ilmu perniagaan bermula dari bawah. Ini dibuktikan apabila Datin Nana pernah menjadi salah seorang pekerja di syarikat ayahnya sejurus tamat pengajian pada tahun 2006.
“Saya didedahkan kepada bidang keusahawanan oleh arwah ayah saya sebaik tamat pengajian. Minat itu memang ada dan peluang yang diberikan oleh ayah untuk meneruskan perniagaan keluarga, secara tidak langsung menguatkan lagi semangat saya di dalam perniagaan.
Pun begitu, langkah saya bukan mudah kerana ayah mahu saya bermula dari bawah.
Percaya atau tidak, saya bermula sebagai kerani walaupun syarikat itu ayah punya. Semua kerja ayah beri kepada saya untuk saya mahir dan tahu selok-belok pengurusan di peringkat bawahan. Ketika menjadi kerani pada masa itu, saya juga tak terlepas dalam duty roster membersihkan pejabat dan tea lady.
Ayah saya mengusahakan sebuah syarikat keselamatan. Habis belajar, saya ingat saya akan bekerja sebagai pekerja human resource (HR) atau bahagian akaun sebaliknya ayah letak saya sebagai kerani. Saya dibayar gaji kerani dan duduk bekerja dengan dua ke tiga orang lagi staf di bahagian itu.
Sebagai kerani, saya kena isi segala maklumat berkaitan klien dan uruskan all the documents . Di samping banyak berurusan dengan pihak kerajaan dan korporat. Ayah kata saya perlu belajar dan memahami perniagaan yang dilakukan. Dari situ saya mula belajar dari bawah dan alhamdulillah sekarang saya mampu kelolakan syarikat sendiri.
Saya sangat berterima kasih kepada ayah yang meletakkan saya belajar dari bawah kerana kejayaan itu hendaklah bermula dengan kesusahan dan usaha yang tinggi untuk berjaya. Terima kasih Abah untuk segalanya,” telus graduan Ijazah Perniagaan Antarabangsa dari Multimedia University ini.
Mengulas lanjut pembabitannya dalam dunia keusahawanan, Datin Nana tanpa berselindung mengakui kagum dengan kepimpinan ayah tersayang dan menjadi sumber inspirasi buat beliau selama ini.
“Mentor saya semestinya arwah ayah, Prof Dato’ Sri Dr Hasan Yusoff yang membawa dan mengajar saya tentang dunia perniagaan. Saya kagum dengan beliau yang asalnya merupakan bekas Ketua Polis tetapi mampu menjalankan perniagaan.
Malah perniagaan ini berjaya sehingga menjadi empayar buat keluarga kami. Semangat dan hala tuju arwah ayah yang agak lewat memulakan perniagaan menjadi inspirasi dan saya benar-benar kagum kerana beliau berjaya mengharungi cabaran dalam perniagaan di bidang keselamatan dan beberapa bidang yang lain.
Sebab ini jugalah yang membuatkan saya rasa bertanggungjawab untuk menjadi usahawan. Seterusnya mentadbir dan menguruskan perniagaan keluarga serta berusaha mengembangkan perniagaan hingga ke hari ini,” telus Ketua Pegawai Eksekutif USANITA Sdn Bhd ini yang nekad membantu usahawan B40 dan M40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
This website uses cookies.