
Meskipun berstatus anak kepada bekas Perdana Menteri dan isteri ahli politik namun Nori Abdullah enggan kejar populariti. Selesa mengembangkan karier dan cukup menjaga privasi, tidak dinafikan ramai yang ingin mengetahui wanita di sebalik kejayaan Yang Berhormat Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ ini.
Turut kelihatan memberi sokongan kepada suami tercinta ketika hari penamaan calon bagi Parlimen P107 Sungai Buloh pada 5 November lalu, Nori yang setia di sisi KJ saat ditemui media sempat melempar senyuman kepada khalayak. Personaliti Nori yang sederhana dan tidak begitu mencampuri kerjaya suami membuatkan dia disenangi ramai.
Terkenang kembali momen Nona bersama Nori sewaktu ibu penyayang ini menjadi penghias muka depan bagi Edisi Sihat & Cantik kira-kira enam tahun lepas. Disifatkan seorang wanita sofistikated dan berdikari, Nori menyambung legasi Allahyarhamah ibu tersayang Tun Endon Mahmood yang memartabatkan batik dan pejuang kanser payu dara.
Malah, dia juga merupakan Pengerusi Yayasan Budi Penyayang.




Tatkala diminta berkongsi peribadi suami di matanya, anak kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi ini menjelaskan, “Kalau saya diperlukan untuk menyokong acara atau kempen yang dijalankan oleh Khairy, pasti saya akan turun padang begitulah juga dengan Khairy, dia akan sentiasa menyokong acara yang dilakukan oleh Yayasan Budi Penyayang jika kehadirannya diperlukan.

Bagi saya dia ialah seorang yang memberi inspirasi. Dia sangat berdisiplin, rajin bekerja dan paling penting dia seorang yang sangat komited dengan kerjayanya. Sebagai contoh, bila dia kata dia nak buat sesuatu memang apa yang dikatakan itu menjadi, bukan setakat seratus peratus tapi lebih dari itu usaha yang akan diberikan.”
Nori dan Khairy mendirikan rumah tangga sejak tahun 2001 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Jibreil Ali, Timor Abdullah dan Raif Averroes.
Anak kedua mereka iaitu Timor Abdullah merupakan seorang kanak-kanak autistik dan mereka sekeluarga menerima keadaan itu dengan penuh reda. “Setelah didiagnosis pakar perubatan, pada usia tiga tahun Timor disahkan menghidap ASD iaitu Autism Spectrum Disorder, maka boleh dikatakan ia banyak mengubah kami.
Saya juga memberikan tumpuan yang lebih sedikit kepada Timor memandangkan dia memerlukan perhatian yang lebih. Tiada apa yang perlu kita malukan dengan anak-anak autistik kerana mereka anugerah Tuhan yang paling indah.”




Pada 13 November lalu, Nori menghadiri Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Kelab Penyayang 2022 dan Pelancaran Piala Sukarelawan Menteri Pendidikan Malaysia 2023 di Kajang. Selaku Pengerusi Yayasan Budi Penyayang juga, Nori turut mengikuti sesi lawatan ke Hospital Sungai Buloh dan aktif menjayakan program Yayasan Budi Penyayang dengan agensi berkaitan bagi membantu golongan kurang bernasib baik.
“Dalam Motokar, Dia Pegang Tangan Saya. Pegangan Tangan Dileraikan Bila Kami Melintasi Tol & Jari-Jemari Kembali Bertaut Selepas Itu” – Tun Siti Hasmah

Pagi bersejarah itu jantung penulis seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan, Jun 2016… hampir empat tahun yang lalu.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
https://www.instagram.com/p/BGddj18yOc2/?hl=en&taken-by=kiffyrazak_nona
MENULIS
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Kayuh Basikal Sejauh 700 Kilometer, Cara NIRINA ZUBIR & ERNEST COKELAT Sambut Lebaran Tahun Ini!

Di saat masyarakat Indonesia mudik lebaran baru-baru ini, penyanyi dan pelakon, Nirina Zubir dan suaminya, Ernest Fardiyan Sjarif atau Ernest Cokelat mengambil kesempatan melakukan siri jelajah dari Jakarta ke Pacitan dengan jarak perjalanan lebih 700 kilometer. Pasangan ini memilih untuk mengayuh basikal sepanjang perjalanan tersebut!

Pasangan selebriti ini memilih memulakan kayuhan pada Hari Raya kedua bagi mengurangkan masalah kesesakan lalulintas yang boleh menyebabkan perjalanan mereka terganggu.
Bagi memastikan siri jelajah tersebut berjalan lancar, pelbagai persiapan rapi telah dilakukan oleh pasangan ini yang dikongsikan di laman Instagram milik Nirina Zubir.
“Menyiapkan segala sesuatu yang sangat penting untuk touring menggunakan basikal. Apalagi perjalanannya bukan 100 atau 200 kilometer, tapi lebih 700 kilometer. Jadi ini dia persiapan saya dengan suami,” tulis Nirina melalui muat naik di laman Instagram miliknya.
Pada usia 43 tahun, Nirina sememangnya amat mengambil berat soal pemakanan dan kesihatan dirinya dan mula jatuh cinta dengan sukan berbasikal sejak setahun yang lalu.
Malah, sebelum memulakan siri jelajah berbasikal bersama suami tersayang, baik Ernest mahupun Nirina memastikan keadaan kesihatan mereka berada pada tahap terbaik dan menjaga pengambilan makanan sepanjang bulan Ramadan.
Menempuh perjalanan yang jauh sememangnya memerlukan persiapan fizikal dan mental yang tinggi. Selain itu, keadaan basikal dan faktor cuaca juga banyak mempengaruhi kelancaran perjalanan yang jauh ini.
Masalah tayar pancit adalah antara masalah yang tidak dapat dielakkan sepanjang siri jelajah tersebut. Namun, Nirina dan suami bertuah kerana mempunyai pasukan khas yang membantu mereka dalam sebarang kesulitan sepanjang perjalanan tersebut.
Pada usia 43 tahun, wanita berdarah Minangkabau itu memilih berbasikal sebagai sukan kegemarannya. Katanya, berbasikal bukan sahaja mengeluarkan peluh malah dapat menikmati udara yang segar.
Pernah terhalang akibat pendemik Covid-19, kini Nirina berkata, dia kembali semula aktif dan merancang membuat kayuhan mengelilingi Indonesia.
“Saya mahu mengelilingi Indonesia naik basikal, saya mahu mengenal Indonesia menerusi sukan seperti berbasikal atau diving” katanya yang menganggap hobi dan siri penjelajahan bersama suami tersayang telah merapatkan lagi hubungan mereka berdua.
“Dialah Yang Sentiasa Beri Sokongan Dari Dulu Sampai Sekarang Tanpa Jemu” DR CK KOH Kenang Jasa Isteri

Demi kelainan dan mendapatkan capture yang menarik, sebuah kandang kuda bertaraf elit, The Royal Town Equestrian Club dipilih sebagai lokasi fotografi bersama penerima Nona Best Business Strategies Award, Dr CK Koh yang juga merupakan penasihat kelab berkuda ini.Beliau antara ikon superhero yang wajar dijadikan sebagai sumber inspirasi. Pelbagai bidang diceburi menjadikan beliau seorang yang percaya dengan kemampuan diri dan berkeyakinan tinggi. Dr CK Koh atau nama sebenarnya ialah Koh Chin Keong berpengalaman luas hampir sedekad dalam bidang pertanian biarpun memiliki kelulusan dalam kejuruteraan mekanikal.

“Selepas menamatkan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal peringkat Ijazah di University of Aberdeen, United Kingdom, saya memulakan kerjaya sebagai Jurutera Pembuatan Senior di Daikin Malaysia Sdn Bhd. Di situ saya bertanggungjawab untuk memantau proses-proses pembuatan bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti rangkaian pengeluaran,” kongsi Dr CK Koh memulakan bicara.
Dr CK Koh kemudiannya menyertai Consolidated Fertilizer Corporate Sdn Bhd dan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Operasi. Ketika menguruskan bahagian operasi, Dr CK Koh juga turut terlibat secara langsung dalam urusan penyelidikan kerjasama bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia untuk formulasi MPOB F6 di bawah Program Subsidi Baja Malaysia seterusnya menyertai kajian kolaborasi bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan.
Terkini, Dr CK Koh bergelar Perunding Strategi Perniagaan. Lebih sedekad berada dalam industri pertanian, Dr CK Koh mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam pembekalan perdagangan baja kepada GLC (syarikat berkaitan kerajaan) serta bertindak selaku Penasihat Perniagaan yang dilantik oleh pelbagai syarikat terkemuka antaranya ialah Ken Biotech Inetrnational Sdn Bhd, Salvo Ventures Sdn Bhd, Agrojoy Sdn Bhd, Growth International GMBH (Austria) serta Tripelon Sdn Bhd.
“Saya seorang yang sentiasa melihat kepada pencapaian diri. Saya berfikir apa lagi pencapaian yang boleh dikembangkan. Saya mula mengendalikan bahagian pemasaran. Dari front manager tukar ke bahagian marketing. Dari situ saya melibatkan diri dengan bahagian R&D, syarikat GLC, MARDI dan MOA. Dari situ juga saya kendalikan bahagian pemasaran di samping membina formula baharu untuk bidang sawit di Malaysia.

Selama 6 tahun saya lebarkan network dan bina kerjasama termasuklah mengendalikan bahagian pengurusan dan pemasaran. Dari pengalaman tersebut banyak yang saya belajar terutama perkara-perkara baharu. Dan bidang kerjaya saya kini lebih profesional.”
Dr CK Koh telah memulakan kerjasama R&D bersama MARDI berkaitan teknologi Cocos Emulsion melalui syarikatnya iaitu Innshelf Sdn Bhd dan ia diedarkan oleh syarikat penjagaan kulit miliknya yang dikenali sebagai Cocosfera Sdn Bhd.
Memulakan platform digital, Dr CK Koh turut melaburkan masa serta sumbernya ke dalam beberapa syarikat yang sedang berkembang iaitu DY Global Holdings Sdn Bhd serta M4U Services Sdn Bhd. Di samping itu, Dr CK Koh percaya bahawa perniagaan digital mempunyai banyak potensi terutamanya semasa era pandemik ketika ini.
DORONGAN
“Semestinya isteri tersayang. Kami kenal sudah lama sejak zaman belajar lagi. Saya berasal dari kampung manakala isteri pula ketika itu top student. Jadi dialah yang banyak mendorong saya untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan bersama yang lebih baik. Walaupun banyak cabaran tetapi jodoh kami kuat. Kini saya gembira kerana dapat mengecapi kebahagiaan bersama dan dikurniakan dengan dua cahayamata. Isteri sentiasa memberi sokongan tanpa jemu dari dulu sampailah sekarang.

PERANCANGAN
Pelan persaraan impiannya adalah dalam industri makanan dan minuman (F&B). Oleh itu, pada tahun 2021 Dr CK Koh mula membuka Monros Café di bawah Monros Sdn Bhd yang kemudiannya akan diperkembangkan kepada perniagaan francais pada masa hadapan. Selain memfokuskan kepada bidang perniagaan, Dr Ck Koh juga merupakan penasihat kepada The Royal Town Equestrian Club (TRTEC) dan The House of Love iaitu Pertubuhan Rumah Anak Yatim Berkat. Di samping itu juga, Dr CK Koh aktif dalam pelbagai aktiviti CSR.
Nasihat saya, dalam apa jua perniagaan yang diusahakan kepercayaan adalah amat penting. Sebagai perunding perniagaan adalah sangat penting untuk mendapat kepercayaan daripada para pelanggan. Mereka akan dengar setiap nasihat atau saranan yang kita berikan jika ianya bagus. Begitu juga jika bekerjasama dengan klien atau partner, saya perlu lihat kepada sikap mereka. Seperkara lagi, pastikan mereka merasa selesa sepanjang proses berunding. Kesimpulannya lakukan yang terbaik dalam setiap perkara yang kita lakukan jika mahu impian tercapai.”