Anak Bekas PM & Isteri Khairy Jamaluddin, NORI ABDULLAH Ibu 3 Anak Yang Aktif Kerja Amal!

Meskipun berstatus anak kepada bekas Perdana Menteri dan isteri ahli politik namun Nori Abdullah enggan kejar populariti. Selesa mengembangkan karier dan cukup menjaga privasi, tidak dinafikan ramai yang ingin mengetahui wanita di sebalik kejayaan Yang Berhormat Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ ini.

Turut kelihatan memberi sokongan kepada suami tercinta ketika hari penamaan calon bagi Parlimen P107 Sungai Buloh pada 5 November lalu, Nori yang setia di sisi KJ saat ditemui media sempat melempar senyuman kepada khalayak. Personaliti Nori yang sederhana dan tidak begitu mencampuri kerjaya suami membuatkan dia disenangi ramai.

Terkenang kembali momen Nona bersama Nori sewaktu ibu penyayang ini menjadi penghias muka depan bagi Edisi Sihat & Cantik kira-kira enam tahun lepas. Disifatkan seorang wanita sofistikated dan berdikari, Nori menyambung legasi Allahyarhamah ibu tersayang Tun Endon Mahmood yang memartabatkan batik dan pejuang kanser payu dara.

Malah, dia juga merupakan Pengerusi Yayasan Budi Penyayang.

Penghias muka depan Nona 2016
Koleksi foto Majalah Nona
Koleksi foto Majalah Nona
Koleksi foto Majalah Nona

Tatkala diminta berkongsi peribadi suami di matanya, anak kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi ini menjelaskan, “Kalau saya diperlukan untuk menyokong acara atau kempen yang dijalankan oleh Khairy, pasti saya akan turun padang begitulah juga dengan Khairy, dia akan sentiasa menyokong acara yang dilakukan oleh Yayasan Budi Penyayang jika kehadirannya diperlukan.

Credit Instagram @khairykj

Bagi saya dia ialah seorang yang memberi inspirasi. Dia sangat berdisiplin, rajin bekerja dan paling penting dia seorang yang sangat komited dengan kerjayanya. Sebagai contoh, bila dia kata dia nak buat sesuatu memang apa yang dikatakan itu menjadi, bukan setakat seratus peratus tapi lebih dari itu usaha yang akan diberikan.”

Nori dan Khairy mendirikan rumah tangga sejak tahun 2001 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Jibreil Ali, Timor Abdullah dan Raif Averroes.

Anak kedua mereka iaitu Timor Abdullah merupakan seorang kanak-kanak autistik dan mereka sekeluarga menerima keadaan itu dengan penuh reda. “Setelah didiagnosis pakar perubatan, pada usia tiga tahun Timor disahkan menghidap ASD iaitu Autism Spectrum Disorder, maka boleh dikatakan ia banyak mengubah kami.

Saya juga memberikan tumpuan yang lebih sedikit kepada Timor memandangkan dia memerlukan perhatian yang lebih. Tiada apa yang perlu kita malukan dengan anak-anak autistik kerana mereka anugerah Tuhan yang paling indah.”

Credit Facebook Yayasan Budi Penyayang
Credit Facebook Yayasan Budi Penyayang
Credit Facebook Yayasan Budi Penyayang
Credit Facebook Yayasan Budi Penyayang

Pada 13 November lalu, Nori menghadiri Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Kelab Penyayang 2022 dan Pelancaran Piala Sukarelawan Menteri Pendidikan Malaysia 2023 di Kajang. Selaku Pengerusi Yayasan Budi Penyayang juga, Nori turut mengikuti sesi lawatan ke Hospital Sungai Buloh dan aktif menjayakan program Yayasan Budi Penyayang dengan agensi berkaitan bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

 

 

Share
Published by
Suzi