Ikut jejak langkah bapa, Paetongtarn Shinawatra kini Perdana Menteri Thailand dan lakar sejarah sebagai Perdana Menteri termuda serta wanita kedua memegang jawatan tertinggi negara itu. Di Thailand, nama keluarga Shinawatra bukan lagi asing dalam kalangan masyarakat. Sejak berdekad lamanya, ahli keluarga ini turut dikenali dalam bidang perniagaan.
Bapa Paetongtarn, Thaksin Shinawatra berusia 75 tahun merupakan Perdana Menteri Thailand ke-23 yang memimpin tampuk pemerintahan dari tahun 2001 hingga 2006 dan usahawan berjaya serta berstatus billionaire.
Thaksin berkahwin dengan Potjaman Damapong pada 1976 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Panthongtae Shinawatra, Pinthongtha Shinawatra dan Paetongtarn Shinawatra.
Menelusuri latar belakang Paetongtarn Shinawatra, pemimpin wanita ini berusia 38 tahun dan ibu kepada dua cahaya mata. Dia berkahwin dengan juruterbang, Pidok Sooksawas pada 22 Mac 2019.
Dikenali dengan nama panggilan Ing, wanita ini melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Politik di Chulalongkorn University dan menerima ijazah dalam bidang pengurusan hotel antarabangsa dari University of Surrey.
Ketika usia 17 tahun, Paetongtarn Shinawatra menjadi tumpuan khalayak apabila dia bekerja separuh masa di salah sebuah cawangan McDonalds di Thailand.
Memetik laporan China Daily, Paetongtarn cuba menyembunyikan status diri daripada pengetahuan ramai pada hari pertama dia bekerja di sana namun usaha tersebut gagal apabila bapanya yang ketika itu Perdana Menteri singgah ke cawangan berkenaan.
Dedah Thaksin kepada media waktu itu, dia mahu mendidik anaknya mengenai nilai kehidupan dan kerja keras untuk mendapatkan wang.
Paetongtarn secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Thailand pada 18 Ogos 2024 selepas menerima pengesahan daripada Raja Vajiralongkorn.
Karier politik anak perempuan Thaksin ini bermula apabila dia menyertai parti Pheu Thai pada tahun 2021. Ibu saudaranya, Yingluck Shinawatra turut pernah menyandang jawatan Perdana Menteri Thailand pada tahun 2011 hingga 2014.
Sebelum menceburi bidang politik, Paetongtorn mengurus perniagaan bapanya dalam bidang hartanah, hotel dan telekomunikasi. Dia menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di Rende Development Co, yang diuruskan oleh kakak, Pintongta Shinawatra Kunakornwong dan hotel mewah Rosewood Hotel di Bangkok.
This website uses cookies.