Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan membenarkan anak bongsu pengasas kosmetik Dnars Skincare, Qaseh Khadija Ahmad Rizal Shah tinggal bersama kakak, nenek dan ibu saudara.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Zaini Sulaiman, selepas Qaseh Khadija, 10, menerusi sesi pertanyaan di kamar memilih untuk tinggal bersama kakaknya, Irdiena Hakim Jasman, 20, nenek, Khatijah Mirdin, 71 serta ibu saudara, Faradilla Rohban Ahmad, 36.
Memetik Berita Harian Online, peguam yang mewakili plaintif, Naimah Saupi, berkata prosedur hari ini dibuat berdasarkan permohonan pihak plaintif yang memohon mahkamah memerintahkan defendan kemukakan Qaseh Khadija bagi pertanyaan di kamar hakim.
“Keputusan agak mengejutkan apabila Qaseh Khadija memilih untuk tinggal bersama kakak, nenek serta ibu saudaranya di kediaman ibunya, Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.
“Kini hak penjagaan Qaseh Khadija sudah berpindah kepada kakak, nenek serta ibu saudaranya dan kita akan mengadakan perbincangan dengan peguam defendan berhubung hak lawatan. Mereka masih boleh berjumpa seperti sedia kala dan kita tidak mahu silaturahim antara anak dan bapa terputus.
“Alhamdulillah keputusan hari ini satu rahmat buat keluarga plaintif,” katanya ketika dihubungi.
Media sebelum ini melaporkan, anak perempuan pengasas kosmetik Dnars Skincare memfailkan tuntutan hadhanah terhadap adik bongsunya di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.
Tuntutan itu dibuat oleh Irdiena Hakim Jasman, Khatijah dan Faradilla Rohban sebagai plaintif yang diwakili peguam, Naimah dan Shaharuddin Mohamed, manakala Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 46, sebagai defendan.
Mereka memfailkan tuntutan hadhanah (hak lawatan, bermesra dan bermalam) terhadap Qaseh Khadija yang juga adik bongsu kepada Irdiena Hakim.
Sementara itu, Irdiena Hakim meluahkan rasa syukur apabila adiknya membuat keputusan untuk tinggal bersamanya.
“Tiada kata-kata yang dapat saya gambarkan apabila selepas beberapa tahun dipisahkan dengan adik, akhirnya Qaseh Khadija memilih untuk tinggal bersama saya.
“Sebaik Qaseh Khadija membuat keputusan, saya terus berlari memeluk Qaseh Khadija di kamar hakim kerana terlalu gembira,” katanya.
Sumber: Berita Harian Online
Peguam yang mewakili plaintif, Naimah Saupi, berkata prosedur hari ini dibuat berdasarkan permohonan pihak plaintif yang memohon mahkamah memerintahkan defendan kemukakan Qaseh Khadija bagi pertanyaan di kamar hakim.
“Keputusan agak mengejutkan apabila Qaseh Khadija memilih untuk tinggal bersama kakak, nenek serta ibu saudaranya di kediaman ibunya, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad
di Pasir Pekan.This website uses cookies.