Tengah ralit tengok wajah terkini selebriti beraya, ternampak pula foto selebriti cantik Zakiah Anas dan keluarga. Wow, macam tak makan dek usia! Tetap anggun dan memukau seperti dulu. Paling tak sangka, sudah ‘besar panjang’ anak-anak Zakiah Anas ini. Segak dan lawa… iyalah, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Memang mewarisi kecantikan ibunda tersayang.
Agak lama tidak mendengar khabar tentang Personaliti TV Popular, Zakiah Anas. Sejak mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Raja Shahrul Azmi Raja Sahar pada 12 Disember 2012 nama Zakiah Anas seakan menyepi dalam dunia penyiaran.
Memandangkan tumpuan utamanya kini lebih kepada keluarga tercinta namun kerinduan Zakiah Anas terhadap dunia pengacaraan masih membara. Apatah lagi, sayang rasanya jika pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang tersebut disia-siakan begitu saja.
Jika dulu wajahnya sering menghiasi program di kaca televisyen, kelibat Zakiah Anas hari ini sering dilihat di majlis-majlis rasmi sebagai pengacara anjuran syarikat swasta dan kerajaan. Bukan hanya manis dengan penampilan sopan dan bertudung, wanita yang sudah melewati usia 50 tahun ini masih kelihatan sihat dan menawan seperti zaman kegemilangannya suatu masa dulu.
Berkongsi di IG miliknya, Zakiah bukan hanya aktif mempromosikan produk busana muslimahnya, ‘by Zakiah Anas’ bahkan ibu cantik ini juga gemar berkongsi wajah anak-anaknya yang kini semakin meningkat usia. Anak lelaki sulung, Aiman Muzzammil misalnya sudah berusia 25 tahun sementara anak kedua pula berumur 23 tahun.
Biarpun anak-anak dah besar tapi jelitawan ini tetap mencuri perhatian kerana penampilannya yang kekal awet muda.
Melihat perkembangan terkini Zakiah seolah-olah tiada apa yang berubah melainkan penampilannya yang lebih sopan selepas memutuskan untuk memakai hijab. Ternyata, nampak lebih ayu dan manis dipandang.
Terdetik untuk mengetahui rahsia tubuh langsing seorang ibu dan pengusaha label Anas by Zakiah Anas ini, Nona sempat menjengah laman media sosialnya @zakiah_anas. Sekian lama tidak mengikuti perkembangan Zakiah, rupa-rupanya figura ini gemar melakukan sukan lasak sambil ditemani suami dan rakan-rakan. Oh, patutlah kekal slim!
Disebabkan menggemari aktiviti hiking, Zakiah pernah menawan beberapa puncak seperti di Gunung Keriang, Kedah. Antara rakan-rakan yang berkongsi hobi sama seperti Zakiah termasuk Datin Nor Azlina Redzuan, Che Puan Azrinaz Mazhar Hakim dan Ruhil Shafinaz.
Salute semangat kental Zakiah meskipun usia sudah mencecah 50 tahun!
Kredit: Instagram Zakiah Anas