Anak Dedah Rahsia KAK TON, “Mak Tak Tinggal Buat SOLAT SUNAT Walau Pun Bisnes Maju… Dia Inspirasi Saya!”

7949

Sejak kemunculannya dalam drama popular Lelaki Kiriman Tuhan, tidak dinafikan nama Harris Annuar semakin dikenali ramai. Bergelar pemenang tempat ketiga Hero Remaja 2017, lelaki bertubuh tinggi lampai ini merupakan anak bongsu kepada usahawan terkenal ‘Kak Ton’ atau nama sebenarnya Zaiton Hassan.

Kembali aktif mempromosikan produk kesihatan dan kecantikan miliknya di kaca televisyen, figura yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Pravenus Beauty Sdn Bhd ini masih ligat berniaga meskipun sudah meniti usia 60 tahun. Baik secara dalam talian mahupun jualan terus, Kak Ton tetap tidak menang tangan menguruskan tempahan pelanggan setia.

IKLAN
IKLAN

Kak Ton bersama anak-anak lelakinya

Situasi tersebut diakui Harris yang sering berada di samping ibu tersayang dan menyaksikan sendiri detik jatuh bangun wanita berjiwa kental tersebut. Bakal menginjak usia 26 tahun pada 14 Mei depan… pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan Kepujian ini tanpa berselindung mengagumi personaliti ibu tersayang. Selain menyifatkan karakter ibunya sebagai seorang yang lucu, petah bercakap dan tegas, Kak Ton juga digambarkan ibarat srikandi yang tidak kenal erti putus asa.

“Apa yang anda nampak dia dalam TV, begitu juga sikapnya di dunia realiti. Memang transparent habis sebab mak tak pandai bermuka-muka dan telus dengan sesiapa pun. Dia memang suka bercakap sampai kadang-kadang susah hendak suruh dia berhenti. Samalah juga situasinya bila bersiaran dalam program TV. My mom hanya akan berhenti bercakap bila dia sudah puas beritahu apa yang hendak disampaikan. Anak-anak semua dah lali dengan perangai mak,” terangnya sambil tertawa.

Pernah berdepan perit maung sepanjang mengendalikan empayar Pravenus Beauty, Harris dan empat adik-beradik yang lain menjadi saksi kejatuhan perniagaan tersebut sekitar tahun 2004 apabila gerai jualan yang disewa terkena gangguan sihir. Turut terpalit dengan kesukaran hidup waktu itu, Harris terpaksa akur melihat dua kereta keluarganya dijual semata-mata untuk menyelamatkan keadaan.

Bersama anak perempuan, Nadia Annuar

My mom mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan pada tahun 1999. Masa itu, mak cuma jual produk jamu dari rumah. Saya ingat lagi dia letak semua barang jamu dalam sebuah peti berwarna hitam. Bila bisnes makin dapat permintaan, mak sewa sebuah kedai di Seksyen 18, Shah Alam.

Bayangkan, dia sanggup berkongsi ruang kedai itu dengan dua lagi peniaga lain. Mulanya tak ada apa-apa masalah sehinggalah perniagaan mereka terkena sihir. Jalan penyelesaian terakhir yang dia ambil adalah dengan menjual kereta yang ada. Saya ingatkan duit yang dia dapat tu untuk buat modal pusingan. Sebaliknya mak guna untuk menunaikan umrah bersama ayah. Sepanjang berada di sana, dia tak putus-putus berdoa meminta pertolongan daripada Allah.”

Murni sungguh jiwa Kak Ton yang ‘berkiblatkan’ keredaan dan rahmat Allah SWT untuk meneruskan perniagaan tersebut. Sekembalinya dari Tanah Suci, ibu kepada lima orang anak ini mendapat jemputan dari sebuah stesen televisyen untuk mempromosikan produknya. Dalam tempoh masa yang diberi selama lima minit saja, Kak Ton menggunakan masa dengan sehabis baik untuk memperkenalkan produk Beauty Umaira.

Dengan izin Allah, sebaik melangkah keluar daripada program berkenaan talian telefon Kak Ton dihujani dengan panggilan orang ramai yang ingin membeli Beauty Umaira. Situasi yang tidak pernah dialaminya selama ini. Berkat doa dan kerja keras Kak Ton, puluhan ribu unit produk berkenaan berjaya dijual.

Khabarnya, Kak Ton juga antara wanita pertama yang menjejakkan kaki di bumi Palestin untuk memberikan sumbangan pada tahun 2012.

“Dari dulu sampai sekarang mak percaya, lagi banyak kita memberi… lagi banyak rezeki yang akan kita terima. Paling saya kagum dengan dia adalah hubungannya dengan Allah. Walau dah dapat rezeki melimpah-ruah dan bisnes makin maju, mak tak tinggal buat solat-solat sunat setiap hari. Macam satu rutin wajib baginya.

Malah, dia juga rajin berzikir. Sampai tertidur pun ada. Tahun pertama dapat duit jualan, mak bawa 40 stokis mengerjakan umrah. Tahun berikutnya pula dia tunaikan niat bawa golongan mualaf. Seterusnya anak-anak dan kawan rapat. Mungkin sebab itu Tuhan limpahkan rezeki meluas kepada mak.”

Berkali-kali meluahkan rasa kagum dengan sifat tabah dan cekal ibunya, Harris tanpa segan silu menjadikan perjuangan Kak Ton sebagai inspirasi dalam menempuh titian kerjaya dan kehidupan.

Semoga pengalaman hidup anak dan ibu ini mampu dijadikan teladan kepada khalayak untuk mencipta kekayaan di dunia dan akhirat kelak!

 

Foto: Instagram Kak Ton