Anak Fasa GOLDEN AGE Tak Perlukan Semua Ini! Sharing Siti Aminah Sulaiman Tentang Akidah Buat Ibu Bapa Terkejut

Meniti usia awal si manja, tahun-tahun pertama dari saat kelahiran hingga mereka berusia 6 tahun, banyak ibu bapa muda yang masih tercari-cari kaedah didikan yang paling tepat agar zuriat membesar mengikut acuan Islam.

Sayangnya kita fikir tiada peraturan khusus tentang asas pendidikan yang sepatutnya. Lalu kita pun menerapkan pelbagai kaedah lain termasuk teknik didikan Barat dan moden sebagai persediaan awal IQ mereka.

Nona tertarik membaca satu perkongsian di Facebook oleh Penceramah Motivasi, Puan Siti Aminah Sulaiman daripada Anakku Al Hafiz dan sangat bermanfaat kepada kita semua. Mungkin sebaiknya dijadikan iktibar dalam proses kita belajar menjadi seorang ibu bapa terbaik buat amanah yang Allah kurniakan. Jom baca!

=============================

0-6 tahun Golden Age?
Merujuk pada apa Golden Age ni?

  • Bukan Flash Cards
  • Bukan Hafazan Al Quran
  • Bukan Solat
  • Bukan Buku Kanak-kanak
  • Bukan Educational Toys
  • Bukan Set Pembelajaran yang harga 4 angka
  • Bukan Nursery Rhymes

Rupanya silap banyak sangkaan saya. Tersentak saya bila dengar kupasan mengenai nasihat Luqman dalam Al-Quran. Nasihat pertamanya berbunyi:

“Wahai anakku, janganlah engkau menyekutukan Allah. Sesungguhnya menyekutukan (Allah) itu adalah benar-benar kezaliman yang besar”

Rupanya asas pendidikan anak ketika kecil pada masa kritikal yang kita gelarkan sebagai Golden Age ialah pendidikan akidah.

Eh, kenapa tak sebut solat dulu? Solat jatuh ke tangga agak bawah dalam nasihat Luqman. Rupanya anak yang dberi asas pendidikan akidah ketika 0-6 tahun akan mudah untuk bersolat pada usia 7 tahun nanti.

Bagaimana pula dengan didikan kenal Al-Quran dan ajar solat seawal kecil? Bagus! Dan sepatutnya diteruskan. Cuma janganlah terlalu disibukkan dengan Flash Card atau hafazan/solat hingga tertinggal aspek pendidikan akidah.

Membaca Al-Quran dan hafazan hanya merupakan skil yang kita mahu anak kuasai. Tetapi benih keimanan bermula dengan menanam akidah. Soalannya, bagaimana mahu tanamkan akidah dalam diri anak kecil?

Rujuk tip di bawah yang sesuai dipraktikkan untuk anak berusia 2 tahun ke atas.

(1) Perkenalkan Allah dan ciptaan-Nya

“Mak, kenapa Allah buat kita ni ada gigi?” soal anak saya yang berusia 4 tahun sambil tunjuk dalam mulut.

“Mak, dah hujan… Kenapa Allah turunkan air dari atas?”

Saya pasti setiap anak kita selalu tanya soalan pelik-pelik pasal diri mereka atau Allah. Usahakan untuk beri jawapan dan kaitkan dengan sifat-sifat Allah (Asma’ ul husna). Contoh jawapan saya beri:

“Allah bagi adik dan mak gigi supaya kita boleh koyakkan makanan, dan boleh kunyah makanan sampai hancur… sebelum telan. Adik bayangkan kalau kita tak de gigi, tercekik nak telan makanan keras dan besar. Baikkan Allah sebab bagi kita gigi?”

Kadang-kadang giliran kita pula bersoal jawab dengan anak. Contoh:

“Adik agak kenapa Allah bagi jagung ni ada rambut?”

“Kenapa Allah jadikan malam gelap, tak ada cahaya?”

Galakkan anak untuk berfikir tentang kejadian alam dan setiap yang Allah ciptakan tidak sia-sia. Tugas ibu ayah ialah lebihkan bercerita mengenai Allah dan ciptaan-Nya.

(2) Perkenalkan Allah sebagai Ar Rahman Ar Rahim

Bukan Allah yang garang. Bukan Allah yang suka menyeksa. Yang ni aspek paling penting! Ramai yang silap didik anak bab ini. Kenapa kena solat? Kita cakap sebab kalau tak solat Allah marah.

Sebaiknya tukar ayat ke:

Kenapa kena solat?

Sebab Allah sayang orang solat, adik nak masuk syurga dengan mak dan ayah kan?

Ingat ya. Umur 0-6 tak perlu cerita pasal azab Allah atau neraka. Ceritakan tentang sifat Allah Ar Rahman dan Ar Rahim. Ceritakan mengenai syurga dan isi kandungannya. Minta anak bayangkan nikmat syurga yang dia bakal dapat jika buat kebaikan yang Allah suka.

Saya terkejut dengan imaginasi anak saya mengenai syurga. Bagaimana dia bayangkan dia akan mandi dalam sungai di syurga nanti. Mudah untuk mendorong anak buat kebaikan jika hati mereka terpaut pada sifat-sifat Allah Ar Rahman Ar Rahim.

(3) Bila anak sudah mula bertanya mengenai Allah

Bila kita sentiasa berbicara mengenai Allah, anak akan merasakan keberadaan Allah sepanjang masa. Pada peringkat ini, anak akan mula bertanya pelbagai soalan. Ibu ayah jawablah dengan bijak dan berilmu. Jika kurang pasti dengan jawapan jangan segan untuk beritahu pada anak kita tak tahu jawapannya dan kita akan mencari (ini adab ilmu).

Saya masih teringat dialog anak saya ketika dia berusia 3 tahun. Dia takut untuk tidur kerana bilik gelap. Saya belum sempat nak tenangkan tiba-tiba dia sendiri menjawab bahawa, “Allah ada, jangan takut” lalu dia tidur dengan lena.

Puji anak bila mereka selalu kaitkan kehidupan mereka seharian dengan Allah kerana bila kita memuji anak, mereka akan faham bahawa perbuatan mereka adalah desirable attitude (perbuatan yang baik) yang kita mahu kekalkan.

Tanpa pujian, anak akan kurang mengerti mengenai desirable attitude yang kita mahu mereka ada dari kecil.

Apakah desirable attitude yang kita mahu? Anak sentiasa merasa Allah berada di mana-mana, melihat mereka, mendengar mereka. Anak yang faham mengenai keberadaan Allah akan takut untuk buat sesuatu yang Allah tak suka atau haram.

Maka peringkat seterusnya iaitu pendidikan solat akan menjadi lebih mudah pada usia 7 tahun nanti, insyaAllah kerana mereka sendiri akan terdorong untuk bersolat, menutup aurat dan membaca Al-Quran dan hadis.

Semoga penulisan ini membawa manfaat bagi yang sabar membaca dan silakan share untuk ilmu yang berpanjangan.

Sumber: Siti Aminah Sulaiman

Share
Published by
Norzalina