Anak Gadis Puan Sri Normala Samsudin Kongsi Impian Perkahwinan, Mahu Tamatkan Zaman Bujang Sebelum Usia 30 Tahun

Melirik kepada susuk tubuhnya yang tinggi lampai, ramping serta memiliki senyuman menawan saling tak tumpah seperti ibunya, Puan Sri Normala Samsudin. Dr Ruhila Roslan memiliki pakej lengkap bukan sekadar cantik dan bijak, malah gadis berusia 28 tahun ini punya kerjaya hebat iaitu sebagai seorang doktor gigi.

Dr Ruhila bersama ibunya yang jelita, Puan Sri Normala Samsudin.

Seperti mana gadis lain, Dr Ruhila turut mempunyai impian perkahwinannya yang tersendiri. Bergelar anak kepada figura terkenal sudah tentu ramai yang beranggapan majlis perkahwinannya itu nanti akan kelihatan hebat dan mewah.

Cantiknya Dr Ruhila saling tak tumpah seperti ibunya.

Namun apa yang dikongsi oleh Dr Ruhila ini membuatkan kita akan lebih terpegun dengan sikapnya yang suka merendah diri sekaligus menyangkal tanggapan awal tadi.

“Semestinya saya mengimpikan rumahtangga dan keluarga yang bahagia. Perancangan awal saya mahu menamatkan zaman bujang sebelum usia 30 tahun. Namun segalanya berbalik kepada jodoh dan rezeki.

Diharapkan ‘si dia’ yang bakal menjadi suami saya kelak seorang yang setia, memahami, menyayangi keluarga, bertanggungjawab dan mempunyai matlamat untuk berjaya bersama-sama.

Walaupun nanti apabila sudah berkahwin saya mempunyai kehidupan sendiri namun saya tetap mahu berada dekat dengan keluarga. Mereka sentiasa menjadi keutamaan saya.

Bercakap tentang majlis perkahwinan impian, saya sukakan yang ringkas. Saya meminati tema garden wedding yang menyerlahkan elemen nature. Majlis pula tidak perlu terlalu gah kerana yang penting buat mana yang perlu sahaja.

Saya bukannya mahu mengejar gelaran ‘Wedding of The Year’ kerana yang penting perkahwinan itu diberkati dan tak membazir.

IBU SUMBER KEKUATAN
Mama seorang wanita yang kuat. Saya banyak belajar daripada pengalaman Mama termasuk mengambil semangat dan kekuatan yang ada dalam dirinya. Kadangkala terdetik juga di hati saya, adakah saya sekuat Mama?

Banyak nasihat diberikan oleh Mama agar saya menjadi seorang yang kuat terutama apabila menjadi seorang isteri dan ibu kelak.

Susah nak lihat Mama marah atau sedih kerana beliau sentiasa nampak gembira dan bahagia. Saya percaya itu juga salah satu rahsia awet muda Mama selain gemar aktiviti-aktiviti lasak seperti hiking dan traveling. Mama juga gemar bersenam dan berkebun.

Saya dan Mama memang rapat. Kalau duduk berdua tu selalunya kami suka berkongsi cerita dan masalah antaranya perihal kerja saya. Alhamdulillah Mama seorang pendengar yang baik. Mama juga sangat menitikberatkan soal agama. Mama sering berpesan kepada anak-anaknya sentiasa menjaga diri, maruah dan pertuturan.

Bukan sekadar cantik, Dr Ruhila juga seorang gadis yang lasak.

Selain itu, Mama sering mengingatkan saya agar menjaga kesihatan contohnya mengambil vitamin C dan minum air putih secukupnya. Untuk menjadi seorang yang berjaya pentingnya mempunyai tahap kesihatan yang baik.

RAHSIA LANGSING
“Saya tidaklah terlau terikat dengan amalan diet sebab saya jenis yang suka makan. Berat badan pun mudah turun dan naik. Apa yang saya lakukan ialah apabila mula terasa berat badan bertambah saya akan mula kawal makan termasuk bersenam

secara teratur dan berjoging.

Kalau berat badan naik selalunya saya akan mudah rasa letih terutama ketika bekerja. Apa yang penting jaga pemakanan dan amalkan gaya hidup sihat. Saya juga penggemar sayur-sayuran dan buah-buahan yang dapat membantu mengurangkan rasa lapar.

IMPIAN
Saya merancang untuk melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi iaitu menjadi pakar dalam bidang pergigian.

Mudah mudahan impian saya ini menjadi kenyataan suatu hari nanti. Bukan hanya untuk memenuhi impian diri sendiri malah untuk membuatkan Mama bangga dengan saya,” akhirinya.

Kredit Foto: IG @ruhilaroslan

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad