
Ibu bapa mana yang tak gembira dan bangga apabila anak-anaknya berjaya dalam akademik. Penyanyi rock terkenal era 90an, Rahmad yang juga vokalis kumpulan Mega berkongsi berita gembira apabila anak lelakinya, Suhazri Amrin, 27, baru saja berjaya menggenggam Sarjana Sains (Master).
Sebelum ini, anaknya itu telah menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda Kejuruteraan Elektrik pada tahun 2018 sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana.
Rahmad hadir meraikan konvokesyen anaknya di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke 17 di Kompleks Sukan UMP.
Menerusi Instagram, Rahmad berkogsi momen indah itu sambil menitipkan doa buat anaknya itu agar terus melakar kejayaan di masa hadapan.
“Tahniah buat anakanda Suhazri Amrin kerana telah berjaya menyelesaikan Sarjana Sains di UMP. Papa doakan semoga terus berjaya.”
Selain koleksi foto, Rahmad turut berkongsi video sekitar majlis tersebut.
Lebih manis, Rahmad turut membuat kejutan dengan membuat persembahan sambil ditemani anaknya ketika membuat persembahan di pentas. Rahmad mendendangkan lagu popularnya berjudul Takdir Dan Waktu yang telah menarik perhatian tetamu yang hadir.
Menurut Rahmad, peranan ibu bapa sangat penting bagi memastikan anak-anak minat terhadap ilmu. Ibu bapa haruslah sentiasa menyokong minat serta pencapaian akademik anak-anak.
“Jangan sekat minat anak. Kita harus lihat kecenderungan dan potensi anak-anak serta menyokong apa jua minat mereka.”
Instagram Rahmad turut dihujani ucapan tahniah daripada para peminat, pengikut serta rakan-rakan artis. Antaranya Datin Salwa Abdul Rahman, Haiza Hanafi, Azian Mazwan dan Feeya Iskandar.
Sumber Foto: Instagram Rahmad Mega
Datin Seri Haflin Aktif di Kota Washington DC, Villa Danialla Belum Dijual Pada Harga 26 Juta!

Bukan mudah! Hakikat sebenar sebagai duta Malaysia di Amerika Syarikat, ia satu tanggungjwab besar dalam membawa nama Malaysia ke mata dunia. Majalah NONA berkesempatan menghubungi Datin Seri Haflin Nazri Aziz bertanyakan perkembangan beliau di sana.
Dikhabarkan terjual pada harga RM26 juta, kisah status Villa Danialla Beach Resort termasuk Villa Haflin Private Residence menjadi mukadimah bicara kami.
“Buat masa sekarang belum lagi ada pembeli dan saya masih menguruskan perniagaan dari jauh. Alhamdulillah, saya ada team yang terbaik di sana.
Pada bulan puasa, perniagaan tidaklah terlalu sibuk seperti hari biasa. Saya masih berharap mungkin ada pembeli dari pihak korporat yang berminat dalam bidang perhotelan.”
Perasaan Datin Seri Haflin sewaktu menjejakkan kaki di Amerika? “Jujurnya ketika sampai saya rasa amat bersyukur kerana diberi peluang datang ke sini. Saya rasa ini adalah tanggungjawab besar untuk saya membantu suami sebagai duta Malaysia dalam usaha mengeratkan lagi hubungan diplomasi Malaysia dan Amerika Syarikat.”


Bicara tentang aktiviti harian sekarang… “Kami sekeluarga baru sahaja menetap di sini kira-kira sebulan lebih. Pada peringkat awal peranan saya sebagai ibu tentu sahaja sibuk dengan persiapan persekolahan anak, Jean Pierre Azize. Di sini Jean Pierre perlu lebih berdikari tidak sama seperti di Paris dahulu, dia perlu pergi sekolah sendiri naik bas.
Waktu pagi saya akan sibuk menyediakan sarapan dan bekal lunch box untuknya. Saya juga perlu menyediakan keperluan dan pakaian Datuk Seri, kalau sebelum puasa tentu sahaja breakfast perlu disediakan.
Bila berpindah ke Rumah Malaysia kat sini, kami perlu mengambil masa untuk sesuaikan diri dan susun deko kediaman mengikut keselesaan keluarga.
Saya sebagai orang rumah, tugas saya untuk susun atur dan menghias semua ruang agar kelihatan menarik. Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik dan kami masih lagi menanti barang-barang rumah yang dibawa dari Malaysia ke sini,” jelas Datin Seri Haflin.
Menyentuh tentang peranan sebagai isteri duta dan aktiviti yang dilaksanakan, Datin Seri Haflin kelihatan aktif menyerikan pelbagai program di media sosial.
“Saya sememangnya fokus dengan apa yang dilakukan dan sentiasa hadir bersama Datuk Seri menyertai undangan pelbagai majlis. Inilah peluang untuk saya lebih mengenali pelbagai pihak di sana, membuat PR komunikasi dan berkongsi tentang Malaysia.
Inilah sebahagian tugas saya dalam usaha mempromosikan Malaysia di mata dunia. Suasana ini begitu serasi dengan jiwa saya yang sukakan seni dan budaya Malaysia, terutamanya mempromosikan makanan dan budaya pelbagai bangsa. Negara kita sangat unik, saya rasa inilah usaha terbaik saya buat Malaysia yang dicintai.
Bila jadi isteri duta, secara automatik saya menjadi Presiden Perwakilan untuk Washington DC yang mana di bawah Perwakilan kami sekarang ada 35 ahli wanita Malaysia yang aktif. Saya amat bangga dengan sumbangan wanita Malaysia di sana, mereka bersungguh-sungguh dalam mempromosikan Malaysia di sana.
Kami juga telah mengadakan pertemuan untuk sama-sama berbincang pelbagai aktiviti yang bakal diadakan dalam usaha merapatkan lagi kerjasama Malaysia dan Amerika, termasuk komuniti negara ASEAN lain yang ada di sini.
InsyaAllah, selepas Raya nanti pelbagai aktiviti akan diadakan. Buat masa sekarang dalam bulan puasa, kami aktif mengadakan majlis khatam Al-Quran, bazar Ramadan dan majlis berbuka puasa.
Saya juga aktif bersama The ASEAN Spouses Circle Washington DC, meliputi sepuluh negara Asean. Saya telah bertemu dan turut berbincang untuk pastikan setiap aktiviti yang dirancang berjaya. Selain itu, saya turut menjadi ahli International Neighbors Club One (INC 1).
Saya berharap dengan menyertai kelab ini, akan dapat membuat networking dengan semua pihak dan dapat mengadakan kerjasama bersama PERWAKILAN Malaysia,” bicara Datin Seri Haflin dengan penuh semangat.
Apa pendapat Datin Seri, bila ada pihak tidak berpuas hati mengenai perlantikan Datuk Seri Mohamed Nazri sebagai duta ke Amerika Syarikat?
“Sukar untuk saya komen tentang perkara ini, kita tidak boleh menutup mulut semua pihak. Tapi bagi saya dan suami, kami lihat secara positif dan berusaha memastikan peranan kami di sini dapat dilaksanakan dengan baik dan dapat membanggakan tanah air.
Yang pastinya keputusan itu melibatkan dua negara. Pihak Amerika yang akan membuat pilihan dan menilai selama 6 bulan untuk menerima Datuk Seri Mohamed Nazri sebagai duta Malaysia di Amerika,” jelas Datin Seri Haflin yang sering mengubat rasa homesick dengan bertemu rakyat Malaysia di sana.
“We’re not alone, kita rakyat Malaysia di sini bagai sebuah keluarga.”
Sebaris Jennifer Lopez, YUNA Lakar Sejarah Wanita Hijab Pertama Terlibat Kempen Jenama COACH

Penyanyi bertaraf antarabangsa, pemuzik, komposer dan penulis lirik, Yunalis Dato’ Mat Zara’ai ataupun Yuna bukan suatu nama yang asing bagi pengiat dan peminat dunia seni. Wanita yang berusia 34 tahun ini yang berjaya melebarkan sayap sehingga ke Amerika Syarikat ini dilihat sebagai seorang personaliti yang pandai menjaga adab sopan dan juga adat sebagai orang timur dalam berfesyen.


Isteri kepada pengarah video, Adam Yousof Mohamed Sinclair ini, telah melakar sejarah peribadi apabila muncul sebagai wanita berhijab pertama dari Asia Tenggara dipilih untuk turut serta dalam kempen global fashion house terkemuka, Coach.
Kempen yang bertajuk Holiday Is Where You Find It itu memaparkan tema kepercayaan positif, mencari kebahagiaan dan keselesaan dalam kebersamaan serta tradisi. Lebih membanggakan lagi apabila Yuna sebaris dengan artis terkenal antarabangsa seperti Jennifer Lopez dan Michael B. Jordon terlibat dalam kempen tersebut.


Sebagai seorang penyanyi Muslim yang berpegang teguh kepada kesopanan dalam berpakaian. Yuna dilihat sebagai seorang penyanyi yang memiliki identiti sendiri. Gayanya memberikan suntikan ‘diversity’ atau kepelbagaian yang mewarnai industri muzik antarabangsa.


Yuna turut berkongsi di laman media sosial milik peribadinya mengenai perjalanan kerjayanya sehingga berada di tahap sekarang. “Saya tidak melakukannya untuk menjadi terkenal, saya tidak melakukannya untuk menjual produk.


Saya lakukannya kerana saya percaya ia adalah jalan saya dan saya tetap berada di laluan itu walaupun menerima banyak kritikan, saya tahu saya harus berani,” coret Yuna yang berasal dari Alor Setar, Kedah ini dan mula berhijab pada usia 19 tahun.


Tambahnya lagi, “Saya mahu nyanyikan lagu-lagu yang saya tulis, pakai pakaian yang saya selesa, walaupun ketika dunia tidak bersedia untuk melihat wanita berhijab di mana-mana platform fesyen,” tulis graduan lulusan undang-undang yang pernah berkolaborasi bersama penyanyi terkenal seperti Usher, Pharell Williams dan Jhene Aiko.
“Sebagai Wanita Berbadan Besar, Kita Harus Bijak Bawa Diri”,- DOTTIE Tak Malu Dengan Diri Sendiri

Sedar atau tidak, wanita bernama Nur Syuhaida Abdul Razak atau lebih mesra disapa sebagai Dottie sudah 8 tahun bergelar seorang anak wayang. Anak jati Perak ini mula dikenali peminat tempatan selepas membintangi drama sulungnya berjudul Dottie yang telah ditayangkan di Astro Ria pada tahun 2010 bergandingan dengan Sharnaaz Ahmad. Dalam perkembangan terkini, Dottie baru sahaja selesai penggambaran drama lakonannya yang akan disiarkan tidak lama lagi.
Menyentuh mengenai isu plus size, pasti Dottie mempunyai tanggapan tersendiri. Bila sebut mengenai badan besar, pasti dikaitkan dengan penyakit seperti obesiti, kencing manis dan sebagainya. Memang ada kebenarannya namun bagi Dottie, tidak semua yang berbadan besar memunyai penyakit dan yang kurus bebas dari penyakit. Apa yang penting, pengambilan makanan yang seimbang perlu dititikberat agar kesihatan lebih terjamin.
“Sebenarnya ada betulnya orang yang berbadan besar mudah mendapat penyakit. Sebab itulah, kita harus menjaga pemakanan dan selalu melakukan senaman. Namun tidak semestinya mereka yang kurus dan ramping tidak mempunyai penyakit. Maksudnya disini, terpulang pada cara kita menjaga diri dan gaya hidup yang kita amalkan. Tetapi streotaip masyarakat kita, bila bercakap mengenai badan besar pasti akan dikaitkan dengan penyakit,” bicara Dottie.
Sesetengah wanita menganggap isu badan besar adalah perkara yang cukup sensitif. Namun bagi Dottie sendiri, beliau tidak pernah menghiraukan kata-kata orang disekelilingnya malah tidak menjadikan ia alasan untuk terus maju ke hadapan. Perpegang teguh dengan pendiriannya itu, tidak hairanlah beliau masih bertahan hingga ke hari ini. Menurut Dottie lagi, sebagai wanita berbadan besar, kita harus bijak membawa diri.
“Saya tidak kisah apa orang cakap mengenai diri saya. Apa yang saya tahu, saya hanya menjadi diri sendiri “and I just be myself”. Saya percaya, apa pun yang orang sekeliling cakap pada kita, di kemudian hari kita jugalah yang menentukan masa depan kita samada mahu happy, Berjaya dan sebagainya. Kita tak pelu mendengar pendapat orang lain mengenai diri kita. Paling penting, kita harus bijak membawa imej sebagai seorang plus size.
“Saya bangga dengan diri dan keadaan fizikal saya. Ia menjadi motivasi diri sendiri dan memberi inspirasi kepada mereka yang juga mempunyai bentuk badan yang besar. Sebagai seorang selebriti, ada pengikut yang suka melihat cara saya berpakaian dan cara saya membawa diri. Dari situ saya rasa boleh memberi sedikit sebanyak semangat dan keyakinan pada mereka yang juga mempunyai bentuk badan yang besar. Mungkin sesetengah orang yang berbadan besar malu dengan bentuk fizikal mereka, yes! Malu perlu ada namun ia perlu bertempat. Tapi jangan sesekali malu untuk menjadi diri sendiri. Kita perlu sayang diri kita sebelum kita sayang orang lain,” ungkap Dottie yang memilih Adele dan Queen Latifah sebagai sumber inspirasi.