Perasaan sayu seorang bapa jelas tergambar melalui posting Azhar Sulaiman di laman Facebook miliknya apabila terpaksa berpisah dengan orang tersayang.
Berjauhan dengan keluarga sememangnya detik sukar digambarkan melalui kata-kata apatah lagi terpaksa melepaskan anak-anak tersayang ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran.
Ya, momen berpisah dengan anak yang sedang menuju ke alam dewasa untuk mengejar cita-cita sememangnya menerbitkan rasa gusar dan pelbagai perasaan lain di kalangan ibu bapa.
Nampaknya itulah kenyataan yang harus dihadapi oleh Azhar Sulaiman dan keluarga apabila anak keduanya yang merupakan pasangan kembar, Andika Rees Pahamin dan Kasih Iris Leona berangkat ke United KIngdom (UK) untuk menyambung pengajian untuk tempoh selama tiga tahun.
Azhar Sulaiman yang juga merupakan menantu kepada Bekas Pengerusi AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Rajab memuat naik sebuah video keberadaan mereka sekeluarga di lapangan terbang menghantar pasangan kembar ini menaiki pesawat ke UK.
Sebagai seorang bapa, Azhar sempat menitipkan pesanan kepada pasangan kembar ini agar belajar bersungguh-sungguh dan tidak mengabaikan solat lima waktu.
Menurut aktor yang mencecah usia 51 tahun itu, Andika bakal melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang manakala Leona pula memilih jurusan Pengurusan.
“Mami (panggilan Azhar) tak rasa sedih sangat mungkin sebab mereka dari kecil dah biasa mengembara ke seluruh dunia menyertai acara Jamboree Pengakap atau Girl Guide Dunia.
Tiga tahun tak lama dan cukup masa untuk Leona balik dengan imej baru..UK kan sejuk..Ha..ha..ha”-tulisnya
Untuk rekod, Andika Rees Pahamin Rees pernah menjadi wakil Malaysia untuk pasukan hoki ais negara yang bertanding di Kyrgyzstan. Pasangan kembar ini meperolehi keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 7A pada tahun 2019.
Sekadar info, Azhar berkahwin dengan isterinya, Chempaka Emalin Pahamin pada 1995. Pelakon yang memperolehi pendidikan dari Universiti Newcastle Upon Tyne, Newcastle, United Kingdom ini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Kasih Leia Ixora, Andika Rees Pahamin dan Kasih Iris Leona.