Sudah masanya untuk generasi pereka fesyen baru bersinar. Bertuah Miriam Omar apabila karya fesyennya terpilih untuk dipentaskan di pertunjukan maya berskala antarabangsa #SHEINFORALL Spring/Summer ’22.
Merupakan satu-satunya wakil negara dan Asia Tenggara, rekaan Miriam Omar telah digayakan oleh supermodel antarabangsa dan dipancarkan secara langsung di seluruh app SHEIN, YouTube, Facebook dan Instagram pada 20 Februari lalu.
Baru sahaja mendirikan rumah tangga pada Januari, wanita asal Kuala Lumpur ini memulakan kerjaya dalam industri kreatif dan e-dagang sebelum menumpukan sepenuh masa pada bidang seni lukisan.
Bekas pelajar Raffles Design Institute ini juga pernah menjadi salah seorang daripada enam pemenang Global Study Awards pada tahun 2016, seterusnya berpeluang melanjutkan pelajaran di Chelsea College of Art and Design di London.
Miriam melalui Project Mirro mencurahkan pelbagai sentuhannya dalam seni rekaan tekstil, rekaan perabot, lukisan, ilustrasi dan mural.
Dengan kolaborasi pereka fesyen baru, SHEIN X dilancarkan sebagai satu platform fesyen global mengetengahkan karya-karya mereka ke peringkat dunia. Inisiatif ini berjaya mencungkil ramai nama-nama pereka berbakat besar, bebas dan penuh idea luar biasa.
Sebagai seorang artis seni yang gemar melukis, Miriam mempertaruhkan koleksi ‘Walk in the Meadow’ yang diilhamkan daripada keindahan bunga-bunga liar di atas padang rumput yang terbentang.
Menerusi koleksinya, Miriam mendedahkan dia menggabungkan warna dan cetakan yang diinspirasikan oleh landskap terkenal, alam semula jadi, manusia dan tekstil.