Tidak dinafikan, agak sukar ketika ini untuk melihat anak-anak muda isi masa atau ‘lepak’ di masjid sebelum menunaikan solat, lebih-lebih lagi ketika pemodenan gajet mendominasi dunia.
Bagaimanapun, situasi tersebut nyata berbeza di Masjid Darul Murtadha, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini apabila lebih 1,000 anak muda terdiri kebanyakannya remaja berhimpun dari pagi hingga malam!
Ini kerana, Yayasan Murtadha Berhad di bawah bimbingan pengasasnya, Ustaz Yaakub Yusra dengan cemerlang dan luar jangka telah menarik minat golongan terbabit menerusi pengisian bermakna Liga Sepak Penalti dan sukan elektronik, Madad E-Football 23 Mobile.
Jelas Ustaz Yaakub, sebanyak 124 pasukan mengambil bahagian dalam Liga Sepak Penalti yang julung-julung kali diadakan itu dan penyertaan memberangsangkan sebanyak lebih 64 peserta untuk e-football.
“Dalam program Lepak Geng Utagha, kami menyasarkan anak-anak muda dan menariknya sebanyak 124 pasukan terlibat dalam Liga Sepak Penalti, terdiri daripada lebih 700 orang peserta.
“Manakala, 64 peserta mendaftar untuk menyertai Madad E-Football 23 Mobile, malah ada yang datang saat akhir untuk menyertai pertandingan kali ini,” katanya.
Melihat kepada situasi ada remaja yang ‘candu’ terhadap dunia media sosial dan gajet, kata Ustaz Yaakub lagi, pihaknya turut menyediakan pendekatan ‘reverse psychology’ untuk melaksanakan program Geng Lepak Utagha ini.
Malah dalam jangka masa panjang, perancangan Ustaz Yaakub adalah mengadakan Liga Sepak Penalti terbesar di Malaysia yang dijangka akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada akhir tahun.
Perancangan itu akan membabitkan lebih 1,000 pasukan dan hadiah terkumpul lebih tinggi.
Pada masa sama, sebanyak tujuh rombongan bas dari beberapa negeri antaranya Pahang, Perak dan Perlis hadir untuk kuliah dhuha di Masjid Darul Murtadha, Murtadha Dakwah Centre.
“Sebelum perasmian bermula, peserta diajak untuk sama-sama terlibat dalam Kuliah Dhuha yang menampilkan barisan tokoh agamawan popular seperti Ustaz Firdaus Firabid, Ustaz Ahmad Yusof Ustaz dan Ustaz Abdullah Khairi.
“Pada sebelah malam pula ada penampilan khas untuk sesi forum bersama bekas pemain bola sepak profesional kebangsaan Malaysia, Baddrol Bakhtiar,” tambahnya lagi.
Masjid sebagai One Stop Centre Program ini juga merupakan inisiatif Masjid Darul Murtadha yang berperanan sebagai One Stop Centre, bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah solat, tetapi juga diperluaskan kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Program ini juga antara kesinambungan penubuhan Kelab Budak Masjid, inisiatif untuk mendekatkan anak muda ke masjid. Melalui program ini, Yayasan Murtadha Berhad memberikan wang sagu hati kepada anak-anak muda yang hadir untuk solat berjemaah di masjid.
Mengambil pendekatan itu, Masjid ini mempunyai hotel kapsul yang memberikan kemudahan kepada musafir untuk berteduh sebelum memulakan perjalanan mereka.
Malah, masjid ini turut menyediakan taman permainan kanak-kanak bagi menggalakkan anak-anak dan ibu bapa mengunjungi masjid.
Masjid Darul Murtadha merupakan sebahagian projek pembangunan Murtadha Dakwah Centre yang meliputi pembangunan rumah warga emas, kompleks tahfiz integrasi dan stadium e-sport, hub sukan sunnah serta penyediaan khidmat pengurusan jenazah yang dilakukan secara percuma.
This website uses cookies.