Tahukah anda, Indonesia merupakan pengeluar makanan laut kedua terbesar dunia tetapi dari segi pengedaran hasil laut ia masih jauh ketinggalan berbanding Malaysia? Di Indonesia, para nelayan terpaksa melalui 7 hingga 8 lapisan sehingga produk hasil laut sampai ke restoran dan sekaligus menjadikan margin keuntungan yang diperolehi oleh kaum nelayan amat sedikit. Malah, harga yang diletakkan oleh orang tengah jauh lebih tinggi dan keuntungan mereka berlipat kali ganda.
Menyedari kewujudan sistem yang tidak adil itu, ia mencetus idea buat tiga sahabat, Farid Naufal, Indraka Fadhillah dan Utari Octavianty menubuhkan laman sesawang dipanggil ARUNA.
Bermula daripada minat yang sukakan makanan laut, dan kegigihan untuk mengubah masa depan dirinya yang berasal daripada sebuah keluarga nelayan, perjalanan bisnes wanita muda bernama Utari Octavianty menjadi mudah selepas laman web ciptaannya, ARUNA popular pada tahun 2015.
Menurut laporan portak CNBC, Utari bersama dua rakannya membangunkan platform dagangan tersebut untuk menghubungkan pelanggan terus kepada pembekal hasil laut. Beliau pada mulanya menyertai pertandingan Hackathon Merdeka untuk mendapatkan modal perniagaan dan siapa sangka, mereka menangi pertandingan tersebut.
Bermodalkan dua buah komputer peribadi dan wang tunai berjumlah RM3,242 yang dimenangi, mereka bertiga terus membuka langkah drastik. Tiga anak muda Indonesia yang kesemuanya berusia bawah 30 tahun ini berjaya menubuhkan syarikat awalan digital atau startup yang kini dilaporkan telah menerima peruntukan berjumlah AS$100 juta!
Tiada siapa yang menyangka niat murni mereka yang pada mulanya hanya untuk membantu meningkatkan pendapatan nelayan di Indonesia akhirnya mendapat sambutan luar biasa dari ramai pelabur di seluruh dunia.
Menurut Utari, konsep Aruna cukup mudah. Ia bertindak sebagai platform yang menemukan pelanggan secara terus kepada nelayan. Mereka hanya membina laman sesawang hasil kemenangan pertandingan sebanyak RM2,000 seterusnya menerima tempahan yang begitu banyak pada minggu pertama dilancarkan.
KISAH PERIBADI JADI SANDARAN NAK UBAH NASIB
Bersandarkan kisah kehidupan peribadi yang berasal dari sebuah perkampungan nelayan di Kampung Bahru, Kalimantan Timur, Indonesia, Utari Octavianty gigih mengubah masa depan dirinya sehingga boleh dijadikan contoh dan teladan terbaik buat para wanita seluruh dunia.
Walaupun baru mencecah usia 28 tahun, Utari membuktikan tiada yang mustahil untuk merubah taraf hidup sehingga bergelar jutawan.
Kehidupan di perkampungan terpencil mengehadkan anak-anak nelayan untuk mendapatkan akses pendidikan sempurna dan dianggap tidak boleh berjaya. Namun begitu, ibu bapa Utari tidak pernah menjadikan soal kemiskinan sebagai halangan untuk mereka membekalkan ilmu kepada Utari. Malah, ibu bapa Utari tetap berusaha untuk menghantarnya ke sekolah di bandar.
“Disebabkan miskin, sementelah saya anak nelayan, saya diejek dan dibuli oleh rakan sebaya. Masa itu saya hanya pendam dan menulis semua itu dalam sebuah diari.
“Pada saat itu juga saya berazam untuk memastikan kampung saya terkenal bukan kerana kemiskinan, tetapi sebuah lokasi yang berpotensi,” katanya.
Benarlah, rezeki memihak kepada mereka yang rajin dan sentiasa berusaha. Semua yang dihasratkan menjadi realiti. Pada usia masih muda, Utari memulakan karier sebagai penyelaras (aggregator) rantaian bekalan makanan laut dan memberikan nelayan akses kepada rangkaian global.
“ARUNA sudah mencatat jumlah permintaan makanan laut bernilai 1,000 tan daripada pelanggan yang rata-ratanya pemilik restoran dan pengimport. Malah ARUNA berjaya mengeksport 44 juta kilogram makanan laut ke tujuh negara tahun lalu, antaranya termasuklah Amerika Syarikat dan China,” katanya.
Pada Januari lalu, ARUNA turut mengumumkan pembiayaan susulan Siri A bernilai RM138.9 juta diketuai oleh Vertex Ventures Asia Tenggara dan India. Hari ini, syarikat yang dibangunkan sudah bernilai jutaan ringgit.
Sehingga kini, lebih 26,000 nelayan merentasi 150 komuniti nelayan di Indonesia menggunakan perkhidmatan ARUNA untuk meningkatkan pendapatan. Utari Octavianty kini bukan sahaja menerajui ARUNA INDONESIA, malah mengembangkan sayap perniagaannya dengan menubuhkan Seafood By Aruna, menubuhkan Yayasan Maritim untuk membantu keluarga nelayan di daerah pesisir laut dengan konsep sustainabiliti serta mewujudkan kolam atau sangkar udang kara untuk meningkatkan pendapatan para nelayan.
Ketiga-tiga pengasas ARUNA turut terpilih dalam “30 Under 30 Asia 2020″.
Forbes 30 Under 30 Asia merupakan penghargaan tahunan untuk mengiktiraf usahawan dan penggerak perubahan berusia dibawah 30 tahun.
This website uses cookies.