Isk…nak hantar atau tidak ke sekolah? Tak terlalu awal ke? Dilema sungguh mak-mak bila anak mula menjejak umur setahun ke atas. Apa yang perlu mak-mak tahu sebelum hantar anak ke playschool.
Seronok membelek Instagram angkawasan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar dan isterinya Datin Dr Halina. Seawal usia setahun lagi mereka sudah mula menghantar si kembar Adam dan Noah ke playschool.
Kongsi Datuk di IGnya, sekolah mereka bukan hanya tempat untuk bermain tetapi anak-anak juga boleh bergaul sesama rakan sebaya, bermain, menyanyi lagu kanak-kanak, belajar menggunakan flash cards, mewarna dan banyak lagi.
“It will be good for the boys to learn about socializing and independence from a very young age. Boys tend to have separation anxiety more than girls at that age. They tend to cling more to their parents…”
Tingkatkan keyakinan bersosial
Ads
Kemahiran bersosial boleh dipupuk sejak kecil. Ada yang mudah bergaul dan ada juga yang lebih suka menyendiri. Takpe, beri mereka masa kerana mereka juga baru mengenali dunia luar.
Mereka akan mula bermain dengan rakan-rakan sebaya dan lama-kelamaan mereka akan lebih mesra saat disapa kanak-kanak yang lebih dewasa. Jangan haling mereka bermain dengan permainan kegemaran kerana dari situlah mereka akan mula membuat teman.
Time-out dari mak ayah!
Ads
Jangan salah faham. Anak-anak seronok bersama mak ayah cuma mereka juga perlukan pergaulan luar untuk boost minda. Biarkan sel-sel otak mereka berhubung. Lagipun, mak ayah boleh luangkan masa berdua-duaan. Eratkan hubungan suami isteri.
Potty training
Pastikan anda tahu polisi playschool agar anda boleh mempersiapkan anak-anak lebih awal. Sungguhpun terdapat polisi yang hanya menerima anak-anak yang pandai membuang air sendiri, kakitangan juga sebenarnya perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan. Mak ayah pula jangan lupa sediakan pakaian lebih.
Ads
Beri lebih masa
Semua mak ayah mahu anak cepat pandai. Tidak ada mana-mana sekolah pun yang boleh memberi magis pintar pada hari pertama persekolahan. Biarkan mereka bermain, belajar bersosial, menyanyi dan mewarna terlebih dahulu sebelum mereka mula mengenali abjad dan nombor. Jangan ‘bunuh’ minat anak ok!
Sumber foto: IG Datuk Dr Sheikh Muszaphar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Memiliki harta dan wang ringgit adalah antara penyebab manusia berlumba-lumba untuk bekerja keras, baik dalam perniagaan atau bekerja makan gaji. Tetapi ada aspek yang kita lalai perhatikan sehingga kita sendiri tertanya-tanya mengapa kemiskinan yang semakin dekat.
Dalam satu perkongsian video, Ustaz Fawwaz menerangkan 14 sebab yang menjadi punca manusia jatuh miskin.
Menurut Ustaz Fawwaz, para alim ulama’ menjelaskan di dalam kitab yang diriwayatkan daripada hadith 14 perkara yang kita sering lakukan tanpa sedar.
1.Tidak menjaga solat
–Solat 5 waktu adalah WAJIB tetapi jika solat itu tak cukup 5 dan tak cukup ‘sifat’, perlulah diperbaiki agar rezeki dimurahkan dan diberkati.
–Para wanita juga perlu tahu, bahagian dahi diletakkan pada lantai BUKAN di alas dengan telekung!
2.Terburu-buru keluar dari masjid selepas solat subuh
–Kecuali jika ada urusan
–Untuk para wanita, luangkan masa selepas solat untuk panjangkan wirid, selawat dan berzikir kepada Allah
3.Tidak membersihkan sawang yang terdapat dalam rumah
–Orang tua-tua selalu ingatkan supaya bersihkan sawang di dinding dan celah-celah meja. Ini sebabnya!
4.Mengeringkan atau lap air yang terdapat di wajah dengan pakaian yang dipakai
–Di sunatkan menyediakan sapu tangan agar mudah untuk lap air atau peluh pada wajah
5.Makan dan minum dalam keadaan berjunub/hadas besar
–Sebelum makan atau minum,eloklah mandi wajib dahulu dan membersihkan diri
6.Isteri yang suka mencaci dan memarahi suami
7.Berdiri tanpa menutup aurat
8.Tidur dalam keadaan telanjang atau menutup aurat
9.Suka melakukan maksiat
–Jika anda merokok, sila hentikan kerana merokok hukumnya HARAM!
10.Suka menyapu sampah di dalam rumah pada waktu malam
11.Terlalu banyak tidur
–Tidur terbaik adalah sebelum Zohor dan selepas Isyak.
12.Duduk di pintu rumah
13.Memakai sikat yang rosak
14.Membiarkan pinggan mangkuk yang kotor di dalam sinki pada waktu malam
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hidup ini ibarat putaran roda. Selepas gelap ada terangnya. Selepas susah ada senangnya. Dan jika sekarang miskin, tak mustahil satu hari nanti kaya-raya. Itulah yang dipegang jururawat berhati waja, Zuraimi Ahmad atau Amy kepada Majalah Nona.
Beberapa hari juga menanti jawapan temu bual ini daripada Amy. Namun sebagai frontliners yang berbakti di hospital COVID, Amy cukup sibuk hingga membataskan masanya untuk menjawab. Terasa berat beban kerjaya seorang jururawat, berbakti untuk kesihatan dan kebahagiaan orang lain.
Berusia 38 tahun, anak Pulau Pinang ini juga sebenarnya seorang pengusaha kek dan roti Mama Omey Bakery. Ibu kepada lima cahaya mata itu tekad mempelajari kemahiran bakeri sejak pendapatan keluarganya terkesan akibat pandemik.
“Permulaannya apabila suami saya terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori kerana masalah kesihatan. Ketika dia masih bekerja, pendapatan keluarga kami dikira agak lumayan juga. Pendapatan saya pula sekadar cukup makan kerana menanggung banyak komitmen.
Jadi bila dia berhenti kerja, kami sangat-sangat terkesan. Banyak bayaran tertangguh sampaikan saya terpaksa berhutang dengan ibu bapa untuk belanja harian. Saya juga terpaksa hentikan bayaran perbelanjaan anak-anak seperti van sekolah dan tuisyen kerana tak mampu membayar.
Memang ketika itu hidup kami sekeluarga susah. Suami struggle cari kerja tapi rezeki masih tak menyebelahi kami.”
Cerita Amy lagi, pelbagai ikhtiar dilakukan demi menambah pendapatan mereka. Antaranya berniaga di pasar malam, bazar Ramadan dan carboot sale, jual sabun dan minyak wangi tapi sayangnya kurang sambutan.
Banyak modal lebur dan kami terpaksa berhenti sebab kehabisan sumber. Letihnya hanya Allah yang tahu. Saya dengan bekerja lagi, Ya Allah, besarnya dugaan masa tu.
“Berkat doa yang tak pernah putus, Tuhan bukakan jalan untuk saya belajar buat kek dan roti. Asalnya belajar melalui YouTube je. Kemudian saya ambil kelas kemahiran secara PJJ sebab bekerja sepenuh masa. Di situlah bermulanya kerjaya part time saya sebagai pengusaha kek dan roti, sementara suami bekerja sebagai pemandu GRAB.”
Tak dinafikan sejak pandemik melanda, banyak kehidupan yang terjejas. Amy sekeluarga tak terkecuali.
“Dulu boleh dikira mewah juga pendapatan GRAB. Tapi lama-kelamaan, pelanggan makin berkurang. Orang ramai takut nak keluar rumah, ditambah pula PKP dan kes COVID-19 yang saban hari meningkat tinggi. Bila pendapatan suami terjejas, semuanya terbeban di bahu saya.
Jadi saya tetapkan dalam hati nak belajar bersungguh-sungguh supaya dapat fokus bisnes roti dan kek, sekaligus menampung perbelanjaan keluarga kami.” Amy
DUNIA JURURAWAT
Ada sesuatu yang istimewa tentang Amy kala mendengar mengapa dia memilih kerjaya jururawat. Begitu besarnya hati seorang wanita yang mencintai profesion ini, melebihi rasa cintanya terhadap diri sendiri.
“Mula-mula memang tak minat tapi saya terima juga sebab mak dan abah mahu saya bekerja di sektor kerajaan. Alhamdulillah dan 13 tahun jadi jururawat. Memang saya jatuh cinta dengan kerjaya saya kerana dengan kerjaya inilah saya belajar segala-galanya.
Jururawat adalah satu kerjaya yang mulia dan tak kenal erti penat. Kami bekerja untuk kesihatan dan kebahagiaan orang lain. Di sebalik pengorbanan berbakti pada masyarakat, kerjaya ini mengajar saya erti perikemanusiaan, tanggungjawab dan kesabaran.
Tapi disebabkan pandemik dan faktor pendapatan suami yang terjejas, saya terpaksa bekerja lebih untuk membantu keluarga. Buat bisnes part time yang tak mengganggu kerja hakiki saya dan masa dengan anak-anak. Jadi bisnes yang paling tepat adalah buat kek dan roti. Balik kerja saya sambung dengan perusahaan bakeri sampai ke larut malam.”
Walau bagaimanapun, Amy turut berdepan cabaran persaingan dari rakan pengusaha yang lain. Lumrah pada waktu ini ramai yang kehilangan kerja atau bekerja dari rumah, maka banyaklah peniaga online yang turut meniaga kek dan roti seperti Amy.
“Sebab tu kita kena kerap promosi. Saya gunakan semua platform yang ada. Buang ketepi segala rasa segan dan malu. Saya cakap dalam hati… ‘Buat apa nak malu, aku susah bukan orang tahu. Biarlah.’ Dan saya beri kawan-kawan serta jiran-jiran rasa produk makanan Mama Omey Bakery.
Alhamdulillah. Saya bersyukur dapat feedback yang positif. Sambutan juga memberangsangkan bila ramai yang mula menempah. Cuma masa mula-mula dulu ada jugalah masalah penghantaran atau COD disebabkan saya bekerja.
Mujurlah suami membantu dalam urusan COD untuk hantar kepada pelanggan yang jauh. Kami juga ada gunakan servis runner bila tak cukup tangan. Tiada masalah yang tak mampu diatasi jika kita betul-betul nak berjaya.”
MULTITASKING
Sebagai jururawat yang bekerja tetap, Amy perlu fokus pada waktu bekerjanya iaitu dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Setiap hari Isnin hingga Jumaat, Amy sibuk dengan tugas-tugas di klinik dan menjaga pesakit.
“Boleh dikatakan hari-hari ada order. Kadang-kadang saya terpaksa buat senarai sebab tak mampu nak buat semua tempahan dalam satu masa. Biasanya saya balik kerja dalam pukul 6.00 petang, saya akan uruskan hal di rumah dan anak-anak dulu. Lepas Maghrib barulah saya mula membakar kek dan roti, sambil-sambil mengajar anak-anak buat kerja sekolah.
Bantuan anak-anak dan suami memang sangat penting. Merekalah yang menguruskan pembungkusan, jadi kerja saya jadi cepat sambil kami bergurau atau bersembang menyiapkan tempahan. Lewat malam baru selesai semua dan masuk tidur.” Amy
Begitulah rutin Amy setiap hari, tidak termasuk cuti hujung minggu yang dikhususkan untuk menyiapkan lebih banyak tempahan yang masuk tak berhenti-henti.
Rancangan untuk mengembangkan bisnes… “Kalau ada rezeki lebih, saya nk beli mixer dan oven industrial yang lebih besar supaya memudahkan, mempercepatkan serta boleh memperbanyakkan lagi order saya selepas ni. Sebab sekarang saya masih memggunakan breadmaker dan oven yang kecil, jadi order tu terhad kerana ia memakan masa yang lama.”
Mengakhiri temu bual kami, Amy sempat berkongsi impiannya dalam bisnes. “Saya bercita-cita mahu membuka sebuah kedai bakeri dan kalau boleh, produk Mama Omey Bakery menembusi pasaran Malaysia seperti Mamasab dan Azlina Ina. Harapan saya juga mahu memberi kehidupan yang selesa kepada keluarga saya, insyaAllah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setiap hari Dr Dalilah Kamaruddin, Head and Medical Officer di National Cancer Society Malaysia (NCSM) bertemu dengan pesakit kanser. Kisah mereka tentulah datang dari pelbagai sudut. Namun beliau tetap menjadi pendengar setia bahkan beliau perlu belaku jujur andai pesakit sudah tidak ‘banyak masa’. Bukan senang berada di ‘kerusinya’. Pengalaman Dr Dalilah boleh dijadikan iktibar untuk kita seandainya berhadapan dengan ahli keluarga yang menghidap kanser.
Takwim seharian Dr. Dalilah bagai diikat bersama pesakit. Setiap kali mereka berada di muka pintu, beliau akan sentiasa bersedia dengan mental yang kuat. Mereka mungkin tiba dengan 1001 cerita untuk menutup kesakitan yang ada. Sebagai doktor, pastinya beliau perlu tahu bagaimana untuk memberikan keselesaan kepada mereka.
“Komunikasi sering menjadi cabaran di antara pesakit, doktor dan keluarga. Apabila kita menganggap mereka seperti sebahagian daripada keluarga tentunya kita akan cuba sedaya upaya untuk tidak berselindung mengenai penyakit yang dihadapi. Cuma cara penyampaian perlu disusun dengan baik agar pesakit tidak terkejut.
Kita tahu ‘masanya’ sudah hampir, untuk apa kita berikan harapan palsu? Saya sentiasa menasihati pesakit untuk menerima takdir Allah dan menganggap setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kedengaran klise tetapi itulah hakikat kehidupan. Penyakit itu menjadi pengajaran kepada orang lain untuk lebih berjaga-jaga dan melihat kekuatan diri untuk melawannya sehabis baik dan jangan menganggap ia sebagai satu balasan atas dosa-dosa lalu,”katanya.
Mengimbau kembali saat beliau menyambung pengajian di Pakistan, keadaan di sana sungguh mudarat. Pesakit sukar mendapatkan perhatian khusus kerana kadar kemiskinan melampau. Ada yang terlantar sakit dan ada yang terlantar kebuluran.
“Saya yakin ada hikmahnya kenapa Allah pandu saya untuk mendapatkan pengajian di Pakistan. Saya melihat kesusahan yang mereka tanggung. Mereka sanggup berhutang hanya untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan! Desakan hidup di sana membuatkan saya ingin terus berbakti kepada penduduk di sini,” ujar Dr. Dalilah.
Begitu kuat dalam ingatan seorang pesakit yang saya angkat sebagai survivor paling kuat pernah saya temui. Keluarga mentua ‘menolaknya’ tanpa rasa simpati. Makanan yang ada di rumah tidak boleh disentuh kerana dibimbangi akan dijangkiti kanser. Begitu pendek pengetahuan mengenai kanser. Hanya suami dan dua orang anak lelaki menjadi kekuatan dirinya,” ujar Dr. Dalila.
Sukar sebenarnya untuk berhadapan dengan pesakit dan pada masa sama tidak menunjukkan kesedihan yang turut dirasai di hadapan mereka. Sebagai seorang doktor, ketabahan yang ada patut lebih tinggi daripada pesakit. Dr. Dalila menyambung kisah pesakit mengenai pesakitnya tadi.
“Dek kerana anak-anak membesar dengan melihat ibu mereka sakit, mereka sendiri menjadi begitu protective terhadap ibunya. Ketika saya menghubungi ibu mereka, saya seoralh sedang disoal seperti polis. Mengapa menghubungi ibunya, siapa saya dan apa yang saya mahukan dari ibu mereka kerana ibunya sedang berehat dan tidak mahu diganggu. Umpamanya mereka sedang menapis siapa yang menghubungi mereka.
Selepas memperkenalkan diri, barulah si anak tadi membenarkan kami berbual. Dipendekkan cerita, keriangan dan sifat bubbly dimiliki pesakit ini hilang dari pandangan kami. Dia meninggal dunia selepas bertarung dengan kanser. Suami dan anak-anaknya sangat supportive sehingga sanggup membotakkan kepala sama seperti ibu dan isteri yang kehilangan rambut akibat kimoterapi.
Enam bulan selepas kematian pesakit ini, suaminya menghubungi saya untuk memberitahu di akan berkahwin. Malangnya, pada hari perkahwinan si suami ini pula meninggal dunia akibat kanser yang sudah lama dihidapi. Dia tidak pernah memberitahu arwah isterinya dan sesiapa sahaja mengenai kanser ini kerana ingin menumpukan perhatian yang lebih kepada isterinya yang sakit.
Anak-anak pula dihantar ke asrama agar mereka tidak melihat kematian ibu dan bapanya di depan mata. Saya paling ingat pesan arwah, supaya diuar-uarkan kepada dunia agar kanser ini perlu dirawat dari awal,”katanya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tumpang gembira dengan kehidupan penyanyi muda, Syasya Rizal sekarang. Bukan hanya ‘berhijrah’ dari segi penampilan ke arah lebih baik dan menutup aurat, bahkan kian bahagia melayari hidup sebagai isteri dan kini berstatus ibu ...