Kejayaan anak muda ini mengemudi perniagaan memang wajar dijadikan inspirasi. Mana tidaknya, baru berusia 26 tahun tapi sudah memiliki pelbagai cabang bisnes yang bernilai hampir jutaan ringgit. Apatah lagi, pemilik nama Nur Hazreen Mohd Ramzi ini bukanlah dilahirkan dalam kalangan keluarga berada. Bapanya pernah bekerja sebagai pemandu lori sementara ibu pula suri rumah. Namun kebajikan setiap anak khususnya dalam mendapat pendidikan yang sempurna sentiasa menjadi keutamaan.
Mesra disapa sebagai Reen, pengasas Produklega Supplies Sdn Bhd ini meluahkan rasa syukur kerana minat berniaga sejak kecil akhirnya mendatangkan pulangan lumayan. Lebih-lebih lagi, rezeki tersebut dapat dikongsi bersama kaum suri rumah yang lain. Tidak malu mendedahkan kehidupan silam, Reen berkata dia terbuka untuk berkongsi pengalaman demi mencetus semangat dan inspirasi kepada masyarakat.
Ujarnya, “Saya lahir daripada keluarga sederhana. Ayah pemandu lori, pembekal pasir dan ibu pula suri rumah. Kami berasal dari kampung dan pernah menetap di Hulu Kelantan, Jeli dan Pasir Mas. Walau bukan orang senang tapi kedua-dua ibu ayah saya bekalkan kami adik-beradik dengan ilmu. Alhamdulillah, saya berjaya masuk ke sekolah Sains kemudian diterima ke Matrik dan melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda Kaunseling minor
Psikologi di Universiti Malaya.Saya mula berniaga secara tidak langsung sejak usia enam tahun. Perniagaan pertama saya waktu tu ialah menjual belon dan pin tudung. Belon yang siap ditiup dan dipasang batangnya dijual pada harga 30 sen. Selain itu, saya juga pernah jual pin tudung. Ceritanya, bila ibu beli berkotak pin tudung tapi saya curi-curi bawa dan jual di sekolah. Masa saya darjah satu, ibu belikan pin tudung khas untuk saya dan dijadikan modal untuk berniaga.”
Sambil tertawa mengenang kembali zaman berniaga waktu kecil, Reen yang juga usahawan Produklega Import & Export, Nasi Kukus Tonggek di Aeon Kota Bahru dan Shah Alam serta pemilik Nuborn Material Enterprise mengakui mahu bergelar usahawan berjaya dan dalam masa sama menjadi suri rumah yang ada pendapatan di samping mempunyai masa mengurus keluarga dan anak-anak.
Namun semua yang diraih Reen hari ini tidak semudah yang disangka. Jelas ibu kepada seorang anak ini, bermacam-macam pergorbanan telah dilalui sepanjang berkecimpung dalam bidang perniagaan. “Saya mula serius berniaga dan mendaftarkan perniagaan pada tahun 2016. Saya berkahwin dalam usia muda iaitu 20 tahun. Tapi perkahwinan saya tak kekal lama hanya bertahan selama tiga tahun.
Oleh kerana kahwin terlalu awal dan status kewangan tak stabil, saya nekad tubuhkan Nuborn Material Enterprise iaitu menjual barangan kosmetik jenama sendiri. Kerana terlalu fokus dengan bisnes, saya banyak habiskan tenaga dan masa sampai mengabaikan yang sepatutnya. Saya bercerai pada tahun 2018. Usia 22 tahun, saya dah beli rumah tapi demi kelangsungan hidup dan komitmen waktu itu saya terpaksa menjual aset untuk bina syarikat Produklega Trading.
Mengambil insiatif dari susahnya untuk dapatkan supplier murah, saya mula mengimport bekas kosmetik dari China dan raw material dari Korea. Dari situ saya bina Produklega Supplies Sdn Bhd khas untuk pengasas yang inginkan produk jenama dari luar negara yang pembuatan dari top factory in the world dan produk berkelas dunia,” ungkap Reen yang pernah import produk pertamanya, paper wax dan hasil jualan dijadikan modal untuk import lesen yang kini berjumlah 38,000 setahun.
Tambahnya lagi, “Di Produklega Supplies kami menawarkan perkhidmatan A to Z, maksudnya dari brainstorming sampai packaging, design dan marketing. Selain itu, klien juga dibenarkan memilih kilang-kilang yang kami sediakan iaitu 8 kilang dari lima negara. China ada empat kilang, Korea, Jepun, Thailand dan Indonesia masing-masing ada satu kilang. Semua kilang ini mencapai standard GMP & ISO dan setiap produk dibekalkan pensijilan FDA dan lab test di Malaysia.
Saya juga dalam proses menyewa hab di USA untuk Produklega Export. Kini, kami dah ada klien dari Nigeria, Ohio, California, New York. Kesemua klien kami mengeluarkan produk jenama sendiri melalui kami tetapi tidak melalui Malaysia. Produk yang dihasilkan di China misalnya akan dihantar terus ke sana melalui platform kami di Amazon, Ebay & Alibaba.”
Langit tidak selalunya cerah, pada awal tahun 2020 Reen terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit. “Ketika itu saya masih baru dalam kontrak S&P (Sales and Purchase). Kami terima tempahan 150 ribu bekas kosmetik bernilai RM278,643.20. Setiap angka itu saya ingat sampai sekarang.
Disebabkan founder tidak menyatakan produk yang dimasukkan ke dalam bekas ialah temperature sensitive, ini menyebabkan bekas tersebut pecah dan kilang enggan bertanggungjawab. Jadi, saya terpaksa tanggung separuh kerugian dan bakinya ditanggung syarikat.”
Di sebalik mengalami kerugian dalam perniagaan, Allah hadirkan sinar bahagia buat Reen apabila dia sah bergelar isteri kepada seorang juruterbang, Muhammad Afiq Faisal. Memandangkan tahun 2020 negara dilanda pandemik Covid-19, pendapatan suami turut terjejas. Enggan berputus asa, pasangan suami isteri ini sepakat membuka satu cabang bisnes baharu iaitu Produklega F&B dengan membeli 2 cawangan Nasi Kukus Tonggek.
“Untuk Produklega F&B, ini adalah investment kami paling tinggi setakat ini iaitu hampir setengah juta. Bercerita tentang pendapatan, ada sesetengah bulan boleh mencecah sehingga 50 ke 60 ribu ringgit sebulan. Ada pasang dan surut bergantung kepada situasi ekonomi dan perayaan.
Walau apa pun, yang paling bernilai bagi saya adalah apabila saya dapat luangkan masa bersama suami dan anak tanpa sekatan waktu bekerja dari jam 9 pagi hingga 5 petang,” akhirinya yang berhasrat memiliki hab Produklega di China dan Timur Tengah.
Kredit foto: Instagram Reen Ramzi
This website uses cookies.