Anak Pengusaha Pakaian, GAURI KHAN Sukses Bina Empayar Hiasan Dalaman & Jelita Usia 52 Tahun!

8 Oktober lepas, genap 52 tahun usia Gauri Khan. Kian matang dan berpenampilan anggun, ratu hati Shah Rukh Khan ini sentiasa menjadi tumpuan peminat suaminya. Bukan hanya disebabkan rupa paras yang menawan, bahkan kejayaan Gauri menguruskan empayar perniagaan miliknya menjadi sumber inspirasi wanita.

Walau suaminya seorang aktor terkemuka dalam industri seni India dan antarabangsa namun Gauri enggan terlalu bergantung kepada suami.

Sebaliknya, ibu glamor ini selesa bergelar usahawan yang meneraju syarikat hiasan dalaman sebagai karier. Sekaligus menjana pendapatan hasil usaha sendiri.

Pastinya di sebalik kemahsyuran dan kejayaan Shah Rukh Khan, ada seorang wanita yang teguh berdiri di belakangnya dan setia menyokong kerjaya suami iaitu Gauri Khan.

Dilahirkan pada 8 Oktober 1970 di New Delhi, India, Gauri atau nama sebenarnya Gauri Chibber dikatakan mula mengenali Shah Rukh Khan pada tahun 1984.

Hubungan mereka pada mulanya mendapat tentangan daripada keluarga masing-masing namun pasangan romantis ini nekad melangsungkan perkahwinan pada 25 Oktober 1991, selepas tujuh tahun mengenali hati budi.

Waktu itu, Shah Rukh Khan baru ‘bertatih’ dalam industri perfileman India.

Kini, hasil perkahwinan selama lebih tiga dekad mereka dikurniakan tiga anak iaitu Aryan Khan, Suhana Khan dan AbRam Khan. Paling menarik perhatian, biarpun sudah berstatus isteri dan ibu tapi Gauri masih cantik bergaya.

Malah pereka fesyen popular India, Satya Paul turut memuji cita rasa fesyen suri hati Shah Rukh Khan ini.

Memetik laporan portal India Today, Gauri merupakan graduan Lady Shri Ram College dan pernah mengikuti kursus pendek seni reka fesyen selama enam bulan di Delhi. Kursus fesyen tersebut diambil memandangkan bapa Gauri adalah pengusaha pakaian.

Gauri juga bukan calang-calang wanita kerana dia turut bertindak selaku penerbit filem dan membina syarikat produksi, Red Chilies Entertainment bersama suami tercinta.

Terbiasa dengan rutin harian yang sibuk, Gauri turut meluaskan empayar dengan mengusahakan Gauri Khan Designs iaitu sebuah syarikat hiasan dalaman yang menawarkan perkhidmatan rundingan untuk rekaan ruang bangunan mewah, kediaman, pejabat, restoran termasuk hotel dengan penataan dekorasi serba glamor dan klasik.

Antara personaliti yang pernah menjadi kliennya ialah isteri lelaki terkaya Asia, Nita Ambani, Aishwarya Rai, Kajol, dan beberapa selebriti Bollywood lain. Pandai Gauri mengurus dan membahagikan masa untuk keluarga juga kerjaya.

 

Share
Published by
Suzi