Siapa sangka dalam usia 27 tahun anak jati Kota Bharu, Kelantan ini sudah pun bergelar jutawan. Kematian bapa serta dilahirkan dalam keluarga susah menjadi titik tolak kepada kebangkitan usahawan cantik ini.
Wan Nur Siti Aisyah Wan Hasan yang mesra disapa Sha Hasan ini merupakan ibu kepada seorang anak. Dia kni gigih membina legasi bisnesnya, Shalicious bersama suami tercinta, Al Hafiz Zakaria.
“Saya berasal dari keluarga susah, arwah ayah dulu peniaga jalanan hanya buka gerai tepi jalan. Kami memang hidup susah. Ayah meninggal ketika saya berumur 10 tahun.
“Bermula saat itu, ibu terpaksa bekerja demi menyara kami sekeluarga. Tak sanggup tengok kepayahan ibu, saya nekad nak ubah nasib keluarga.
“Sejak dari sekolah lagi saya suka berniaga. Apa saja rasa nak jual saya jual. Bukan saja di sekolah rendah malah sekolah menengah juga.
“Bila habis SPM saya dapat sambung belajar peringkat matrik di Negeri Sembilan dan juga universiti tapi saya pilih untuk belajar di kampung saja.
“Ikutkan keluarga tak galakkan saya berniaga sebab nak saya ada kerja tetap. Tapi saya terus berniaga sambil belajar. Sebab itulah saya pilih sambung belajar di kampung sebab dekat dengan rumah dan mudah nak berbisnes.
“Pelajaran tetap keutamaan saya sebab tak nak kecewakan harapan keluarga terutama ibu.”
“Bisnes makin lama makin berkembang sampai tak menang tangan. Mulalah saya ponteng kelas, tak sempat nak masuk kelas sebab kerap nak kena COD dan sebagainya.
“Ketika itu saya betul-betul struggle bina jenama Shalicious. Saya berusaha sungguh-sungguh sehinggalah setahun selepas itu saya dapat membina Wisma Shalicious di Kelantan.”
Kini Sha Hasan memiliki beberapa cabang bisnes lain yang membantu orang ramai khususnya warga kampung dalam menambah pendapatan mereka. Selain Malaysia, Shalicious juga telah masuk ke pasaran Indonesia secara sah.
DETIK DIUJI
“Pada 2018 saya ada berpuluh-puluh orang staf, bisnes pun tengah bagus. Tiba-tiba Allah uji, saya kehilangan staf sekaligus dalam satu masa.
“Bila masuk pejabat, semua staf dah tak ada sebab berhenti secara serentak kerana telah ‘disailang’ oleh kawan sendiri yang kononnya nak membantu kita.
“Akibat terlalu tertekan, saya terpaksa berjumpa pakar psikologi. Memang betul-betul depression dan ambil masa yang lama untuk pulih. Saya juga terpaksa bergantung dengan ubat.”
ASET PERTAMA DIMILIKI
“Saya memang ‘gila’ beli tanah. Kalau ada sesiapa yang nak jual tanah murah-murah di Kelantan saya akan beli. Tapi saya akan tengok dulu ikut kesesuaian dan harganya. Itulah aset paling bernilai sebab kita boleh buat macam-macam. Selain buat bisnes, boleh jana pendapatan.
“Selalunya bila berjaya capai target, saya akan membantu beberapa tahfiz serta kampung-kampung yang saya pegang untuk berikan sumbangan. Itulah reward sebenar bagi saya.”
SUAMI TULANG BELAKANG UTAMA
“Terlalu banyak pengorbanan suami kerana beliau banyak membantu. Kami sama-sama usahakan bisnes ini dan pada masa sama suami pun ada bisnesnya sendiri. Dia tahu minat dan impian saya dalam bidang kecantikan terlalu besar.
“Sewaktu saya diserang depression, suamilah yang uruskan anak dan rumah. Suami tak pernah mengalah dan menyalahkan. Suami seorang yang sangat sabar dan support apa saja yang saya buat selagi ia tidak salah.
“Semasa depression, saya terpaksa makan ubat setiap kali nak tidur. Suami pastikan saya tak terlalu berfikir yang bukan-bukan. Dia jugalah yang jaga anak, siapkan makanan dan uruskan hal-hal pejabat.
“Paling sedihnya bila suami dah tak tahu nak buat apa, dia pernah bawa saya ke sebuah kampung di Kelantan sebab dia tahu saya suka berkongsi kegembiraan dengan orang lain. Di situ ada lebih 150 buah rumah dan keluarga asnaf yang memerlukan.
“Kami pergi rumah ke rumah untuk berikan bantuan. Semuanya diuruskan oleh suami. Katanya ramai lagi orang yang memerlukan saya. Sejak itu saya mula terfikir jika kita diuji dengan hebat, ramai lagi orang yang diuji lebih dari kita. Suami selalu cakap Allah SWT tak akan beri kejayaan atau kekayaan kalau bukan demi sebuah perjuangan.
“Nasihat saya bagi yang nak berjaya dalam bisnes, jangan ada banyak alasan. Kalau tak pecahkan ketakutan dan rasa malu, sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat tengok potensi diri.”
Kredit Foto: Instagram Sha Hasan
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.