Tular di media sosial sedutan video seorang pelawak, Jocelyn Chia yang secara melampau mempersendakan tragedi MH370 sebagai modal lawaknya.
Jenaka keterlaluan yang menyentuh mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan ‘tidak mendarat’ itu nyata membuatkan ramai yang terkesan dengan kehilangan kapal terbang malang itu terkilan, termasuklah isteri kepada kru pesawat MH370, Intan Maizura Othaman.
Ibu kepada dua cahaya mata itu tampil menyelar dan meluahkan rasa terkilan dengan sikap pelawak itu berani dan sanggup mempersendakan tragedi hitam tersebut.
Intan dalam hantaran di laman Instagram miliknya berkata, apa yang disebut oleh pelawak tersebut tidak kelakar kerana anak lelakinya, Muhammad masih menangis sehingga ke hari ini lantaran kehilangan seorang ayah, malah ramai ibu-ibu masih bersedih dan hiba akibat kehilangan anak akibat insiden tersebut.
“Ia sangat tidak lawak. Tidak kisah seberapa jahatnya kamu, jangan sesekali memetik MH370 atau bergurau senda akan tragedi berkenaan. Anak saya, Muhammad, dia masih lagi menangis sehingga ke hari ini atas kehilangan seorang papa. Dan, kamu boleh lagi mempersendakan tragedi MH370,” luahnya.
“Adakah kamu tahu berapa ramai ibu yang masih menangis sehingga ke hari ini? Kamu tidak tahu kerana kamu tidak mempunyai empati dan hati. Atau mungkin kamu sendiri tidak mempunyai keluarga, kerana jika kamu ada keluarga, saya percaya mereka akan berasa kecewa dan malu atas kebodohan kamu,” tegasnya lagi.
Intan Maizura yang juga merupakan bekas krew Malaysian Airlines juga mengesa semua untuk berhenti menormalisasikan perkara jocelyn chiabodoh demi meraih perhatian.
Untuk makluman, Intan Maizura kehilangan suami, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan yang merupakan krew kabin pesawat MH370 dalam tragedi sembilan tahun lalu. Intan ketika itu sedang mengandung anak kedua, Muhammad.
Pesawat MH370 yang dijadualkan dari Kuala Lumpur, Malaysia, ke Beijing, China dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 dan membawa 239 yang yang terdiri dari krew dan penumpang, sehingga kini masih belum ditemui.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
This website uses cookies.