Jelas terpancar sinar kegembiraan pada raut wajah milik penyanyi era 90an, Arni Nazira apabila anak sulungnya, Puteri Aleeya Antasha berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.
Lebih membanggakan selain menerima Diploma in Event Management, Puteri Aleeya yang kini berusia 22 tahun turut menjadi penerima Anugerah Akademik di atas kecemerlangannya memperoleh Dean’s List pada setiap semester.
Untuk info, Puteri Aleeya merupakan anak sulung kepada Arni Nazira dan Dato’ Awie. Pasangan ini berkahwin pada tahun 1998 namun bercerai pada tahun 2006.
Menerusi satu video ringkas di Instagram, Arni Nazira yang terkenal dengan lagu berjudul ‘Cinta Antara Benua’ menitipkan rasa syukur dan bangganya sebagai ibu.
“Alhamdulillah dan tahniah Kakak Putri atas konvokesyen tempoh hari. Syukur pada Yang Esa berkat usaha dan ketekunan, Kakak berjaya beroleh ‘Anugerah Akademik’ bagi Diploma in Event Management.
“Mummy & Daddy doakan moga Kakak dan adik-adik terus berjaya dalam semua bidang yang diceburi. Mudah-mudahan Kakak dan adik-adik terus cemerlang di dunia serta akhirat.
“Insya Allah, Allah sentiasa pelihara dan limpahi rahmatNYA buat Kakak dan anak-anak Mummy. Syukur Ya Allah di atas segala kurnia.”
Sewaktu dihubungi Majalah NONA, Arni berkongsi perasaan sebenar serta momen-momen ketika bertemu anaknya itu di Majlis Konvokesyen MSU ke-30 yang berlangsung pada awal Disember 2022.
“Saya sampai lewat sikit, lebih kurang dalam tengah hari. Ketika itu majlis konvokesyen pun sudah selesai. Saya dengan anak-anak yang lain ucap tahniah kepada Kakak dan berikannya hadiah serta bunga. Nampak Kakak happy sangat dapat jumpa adik-adiknya.
“Syukur alhamdulillah akhirnya Kakak berjaya menamatkan pengajian selama dua tahun setelah mengharungi pelbagai cabaran.
“Walaupun menjadi pelajar yang sangat aktif di kampus namun Kakak juga seorang yang study hard. Tak pernah sekali pun Kakak mengeluh atau mengadu stress atau penat belajar.
“Gembira, bangga bercampur sebak kerana impiannya selama ini nak sambung belajar tercapai. Bila berjaya tamatkan pengajian dengan cemerlang itu yang membuatkan saya bertambah sebak. Kakak memang seorang anak yang kuat semangat.”
Menurut Arni yang kini berusia 44 tahun, Puteri Aleeya seorang anak yang baik, mendengar kata serta menghormati orang lain.
Arni mengharapkan agar Puteri Aleeya terus komited untuk menimba ilmu setinggi yang boleh. Sebagai ibu dia sentiasa ada dan mendoakan kejayaan anak-anaknya.
“Semoga impiannya untuk menuntut ilmu setinggi yang boleh akan tercapai. Sebagai ibu saya sentiasa mendoakan yang terbaik demi masa depannya termasuk anak-anak yang lain juga. Saya mahu lihat mereka berjaya dan Allah SWT permudahkan segala urusan anak-anak.
Pesan Arni buat Puteri Aleeya: –
“Bila dah berjaya dan ada kerjaya hebat suatu hari nanti, diharapkan Kakak kekalkan sikap merendah diri, jaga solat, jaga akhlak dan taat perintah Allah SWT. Semoga kakak berjaya dunia akhirat serta memberi manfaat kepada orang lain. Paling utama letakkan agama di hadapan barulah kejayaan lain menyusul, InsyaAllah.”