Terdapat anak-anak yang mudah tidur malam namun ada juga sebaliknya sehingga mereka merasakan tidur itu satu aktiviti yang sangat membosankan. Mungkin salah satu daripada punca berikut menyebabkan anak anda sukar tidur malam. Berusahalah untuk mengatasinya.
Walaupun kecil tetapi berterusan pasti akan membuahkan hasil. Anak-anak yang mudah tidur awal akan turut memberi manfaat buat ibu bapa.
TAKUT TIDUR ASING DENGAN IBU BAPA
Seringkali, anak-anak kecil merasa takut dan cemas ketika tidur bersendirian di biliknya. Waktu tidur dianggap satu detik ‘menakutkan’ buat dirinya. Mungkin takut gelap dan suasana sunyi ketika berseorangan.
Kajian menunjukkan ketakutan terhadap tidur boleh mengakibatkan si anak sering bermimpi buruk di samping mengalami masalah dari segi emosi. Anda boleh menemani anak sampai dia tertidur. Atau, menghias bilik tidur dengan koleksi gambar atau mainan kesayangannya. Kawal juga suhu bilik agar tidak terlalu panas atau sejuk.
MIMPI BURUK
Tabiat suka menonton TV atau membaca buku cerita yang menakutkan sebelum tidur boleh mengundang mimpi buruk semasa tidur. Sebaiknya, berikanlah anak bahan-bahan bacaan yang menenangkan. Anda juga boleh mengajak anak-anak untuk berfikir tentang perkara yang menyenangkan seperti hobi, sesuatu yang disukainya atau bercerita sebelum tidur.
WAKTU TIDUR YANG SALAH
Elakkan menyuruh anak-anak tidur terlalu awal sebelum badan mereka benar-benar bersedia untuk tidur. Anak yang masuk tidur terlalu awal akan menjadikannya bosan dan kemungkinan menyebabkan anak mudah terfikir tentang perkara yang menakutkan.
MASALAH RITMA TIDUR
Jika anak anda sukar mendapatkan waktu tidurnya pada waktu malam atau susah berjaga pada waktu siang kemungkinan dia mengalami masalah ritma tidur. Anda boleh mengajak anak keluar pada waktu siang agar dia terdedah dengan sinaran matahari.
Menjelang malam dan tiba waktu tidur, matikan lampu bilik tidurnya termasuk alatan elektronik yang memancarkan cahaya. Ia boleh menghalang penghasilan melatonin iaitu hormon untuk tidur sekaligus menyukarkan anak tidur.
TELEVISYEN & ALAT ELEKTRONIK
Kajian menunjukkan terlalu kerap menonton TV pada waktu siang atau malam boleh menjejaskan waktu tidur anak-anak akan. Kajian juga menunjukkan anak yang menonton rancangan TV khusus untuk orang dewasa boleh menurunkan durasi dan meningkatkan gangguan tidur.
STRES & RASA CEMAS
Sebenarnya, stres dan rasa cemas boleh dipengaruhi oleh persekitaran anak-anak seperti masalah dengan kawan-kawan, terlalu memikirkan tentang peperiksaan atau dan sebagainya. Sebelum tidur, ajak anak untuk berbincang secara santai agar dia dapat meluahkan apa yang sedang difikirkan. Berikan nasihat agar fikirannya lebih tenang sekaligus memudahkannya untuk tidur.
SALAH WAKTU TIDUR SIANG
Tidur siang sememangnya bagus untuk anak tetapi jika ia dibiarkan terlalu lama lebih-lebih lagi pada waktu yang salah boleh mengganggu waktu tidur malam anak. Kebanyakan anak akan tidur pada lewat petang sehingga mengalami kesukaran untuk tidur pada sebelah malamnya.
TIP : ANAK MUDAH TIDUR
This website uses cookies.