Perasaan bangga dan bersyukur! Itulah gambaran perasaan Datuk Aaron Aziz dan Datin Diyana Halik tatkala berkunjung ke Jepun untuk menghadiri majlis graduasi anak mereka, Danish Anaqi.
Biarpun berat melepaskan anak sulung menyambung pembelajaran di luar negara ketika dunia ‘berperang’ dengan COVID-19 pada tahun 2020, Datuk Aaron Aziz, reda dengan pilihan Danish Anaqi, 16 untuk mengejar cita-citanya di Jepun. Danish berada di Jepun mengambil kursus pra diploma di sebuah sekolah selama tiga tahun.
Menurut perkongsian Datuk Aaron Aziz di laman Instagram miliknya, dia tidak menyangka tiga tahun sudah berlalu dengan begitu pantas. Danish berlepas ke Jepun pada tahun 2020 ketika COVID-19 masih berada pada tahap membimbangkan dan ketidaktentuan.
“Alhamdulillah Danish berjaya melepasi pelbagai halangan sepanjang tiga tahun ini. Berhadapan dengan Covid, kehilangan Oma, masalah keretakan tulang kaki, berhadapan dengan gempa bumi di bumi Jepun dan sudah semestinya liku-liku dalam pengajian IB program. Tetapi semuanya berjaya ditempuhinya, syukur Alhamdulillah.”
Danish mengambil kursus pra-diploma dalam jurusan Politik Global. Pada majlis graduasi tersebut, Danish segak mengenakan sepasang Baju Melayu serba hitam dan keluarganya turut hadir mengenakan busana kebangsaan tatkala menghadiri majlis istimewa tersebut.
“Pesan saya cuma satu. Jangan tinggal solat dan jangan lupa jasa dan pengorbanan daddy dalam setiap perkara yang dilakukan oleh Danish dan adik-adiknya,” ujar Datin Diyana Halik yang ternyata amat berbangga dengan pencapaian satu-satunya anak lelaki sulungnya itu.
This website uses cookies.